CCM Youth Press Release dd Jan 7, 2009: Bantahan Larangan KDN
COUNCIL OF CHURCHES OF MALAYSIA YOUTH
* Siaran Media Eksklusif *
** PEMUDA MAJLIS GEREJA MALAYSIA MEMBANTAH LARANGAN KE ATAS GEREJA KATOLIK MENGGUNAKAN BAHASA MALAYSIA DALAM PENERBITAN MINGGUAN THE HERALD -THE CATHOLIC WEEKLY **
*JANUARI 7, 2009*
Pemuda Majlis Gereja Malaysia (Pemuda CCM / CCM Youth) merasa kesal dan bimbang atas larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap gereja Katolik menerbitkan edisi bahasa Malaysia akhbar The Herald-The Catholic Weekly.
Pemuda CCM juga berpendapat bahawa larangan edisi Bahasa Malaysia ini tidak munasabah, malah tidak adil saksama. Bukankah gereja kita diterima sebagai sebahagian masyarakat majmuk negara tercinta kita? Negara Malaysia sangat bangga dengan masyarakat majmuknya di mana rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama hidup bebas, aman dan damai. Oleh itu, ia sangat menghairankan kenapa segolongan rakyatnya sekarang tidak dibenarkan menggunakan Bahasa Malaysia, biarpun untuk terbitan the Herald yang terhad untuk penganut Kristian dan istilah Allah telah digunakan oleh penganut Kristian di Malaysia sejak generasi-generasi yang lalu.
Di samping itu, bukankah orang beragama Kristian di negara ini juga warganegara yang berhak dan patut digalak menggunakan bahasa kebangsaannya dalam segala urusan hariannya? Bahasa Malaysia adalah hakmilik bersama. Sering kita mendengar seruan pemimpin-pemimpin negara kita agar rakyat Malaysia berbahasa Malaysia. Oleh sedemikian, Pemuda CCM berasa hairan atas larangan KDN ini. Larangan KDN ini adalah tidak adil dan, malah, merupakan sesuatu penindasan atau diskriminasi terhadap penganut Kristian yang berbahasa (dan berbangsa) Malaysia.
Pemuda Majlis Gereja Malaysia membantah larangan KDN ke atas Gereja Katolik menerbitkan edisi Bahasa Malaysia akhbar The Herald-The Catholic Weekly. Kami meminta kerajaan Malaysia supaya menghentikan penindasan oleh KDN ini dan membatal larangan tersebut, demi kebebasan rakyat beragama Kristian. Kami juga membuat tuntutan bahawa perkataan Allah yang digunakan antara golongan Kristian di negara-negara Arab, Indonesia, dan juga di Sabah dan Sarawak telah lama digunakan.
SUMBER: PEMUDA MAJLIS GEREJA-GEREJA MALAYSIA (COUNCIL OF CHURCHES OF MALAYSIA (CCM) YOUTH)
(ditandatangan)
Daniel Chai
Setiausaha Pemuda
Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia
Mobile| +6012 237 6102
Email| [email protected]
Januari 7, 2009