Suara rakyat suara keramat
BN BAKAL TUMBANG LAGI…..
Bagaimana mungkin calon Barisan Nasional bakal memperolehi kejayaan untuk mempastikan kerusi Parlimen Kuala Trengganu kekal menjadi milik Barisan Nasional apabila perlakuan sedemikian dipamerkan oleh kalangan pemimpin dan penyokongnya hingga mencetuskan rasa mual dan meluat rakyat tempatan.
KAMAL AMIR MENULIS
PILIHANRAYA kecil Parlimen Kuala Trengganu bakal menyaksikan untuk kali kedua calon Barisan Nasional terhukum oleh “ Suara Rakyat Kuasa Keramat” apabila kebobrokkan pemimpin masakini masih belum mahu belajar dari kesilapan musim pilihanraya umum 8 Mac 2008 dan pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Rakyat Kuala Trengganu bagaikan dijengah rasa jelik dan meluat oleh feil dan gelagat pemimpin bergelar menteri yang datang bertandang ke Kuala Trengganu teriring bersama para pengawal keselamatan mempamerkan kehebatan mereka bersimpang siur didada jalan siap dengan kenderaan pengiring memasang siren seolah-olah bandar Kuala Trengganu berada di medan perang.
Berbeza dengan sikap Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, walaupun status beliau sebagai Menteri Besar namun semasa mengiringi calon pakatan rakyat beliau bersama-sama penyokong dan pengundi dengan berkaki ayam sambil saling menghulur tangan berjabat salam tanpa adanya sebarang riak atau protokol yang menjengkelkan.
Sepanjang tempoh penamaan calon dari jam 9 pagi Tan Sri Khalid tidak sedikitpun menampakkan atau mempamerkan dirinya sebagai orang ternama (VIP) sebaliknya dengan senyuman meleret beliau berjalan kaki sambil bersalaman dengan para penyokong dan pengundi. Malahan ramai juga yang tergamam bila dijabat tangan mereka oleh Menteri Besar Selangor itu kerana tidak menyangka sikap mesra rakyat dipamerkan olehnya.
Beberapa orang pengundi di Kuala Trengganu melahirkan rasa kurang senang mereka oleh kawalan protokol terhadap pimpinan dari Barisan Nasional yang seolah-olah mengujudkan jurang pemisah begitu ketara antara rakyat marhain dan pemimpin, sedangkan berkali-kali Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengungkapkan agar pemimpin Barisan Nasional yang turun berkempen seharusnya bersikap mesra rakyat.
Ternyata begitu jauh bezanya watak, tingkah laku serta gaya cara pimpinan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional di mana kalangan pemimpin Umno yang dibawa berbondong-bondong dari luar Kuala Trengganu bukan sahaja kurang memahami budaya “orang Trengganu kite” malahan terdapat juga pemimpin yang mempamerkan keangkuhan berkereta besar dan sentiasa mengelilingi menteri-menteri untuk tidak memberi ruang kepada para pengundi bermesra.
Bagaimana mungkin calon Barisan Nasional bakal memperolehi kejayaan untuk mempastikan kerusi Parlimen Kuala Trengganu kekal menjadi milik Barisan Nasional apabila perlakuan sedemikian dipamerkan oleh kalangan pemimpin dan penyokongnya hingga mencetuskan rasa mual dan meluat rakyat tempatan.
Sementara itu saat perarakan calon ke pusat penamaan calon pula turut menyaksikan bagaimana jumlah pengiring yang terdiri dari ahli parti serta para penyokong begitu ketara memihak kepada calon pembangkang di mana menurut anggaran kasar hampir tiga puluh ribu penyokong berada bersama calon Pas sementara Wan Ahmad Farid (BN) pula diringi oleh sekitar lima ribu penyokong yang dipunggah dari luar menggunakan hampir 80 buah bas sedangkan hanya sekitar dua puluh peratus dari jumlah tersebut terdiri dari kalangan pengundi tempatan.
Apakah mampu Barisan Nasional mempertahankan kerusi warisan peninggalan Allahyarham Datuk Ismail apabila situasi sedemikian begitu jelas memperlihatkan semarak “suara rakyat kuasa keramat” kian terjelma untuk menghukum calon dari Barisan Nasional?
Selain dari taburan janji seribu mimpi kepada para pengundi, menurut laporan yang diterima ternyata Barisan Nasional berada dalam keadaan cukup terdesak kali ini hingga memaksa para pemimpinnya lebih banyak memberi tumpuan kepada para pengundi cina berjumlah 10.3 peratus dari sejumlah lebih 80,000 pengundi di kawasan Parlimen tersebut dengan melongokkan jutaan ringgit peruntukan kepada sekolah China, persatuan-persatuan dan masyarakat China di Kuala Trengganu.
Biar apapun usaha cuba dilakukan bagi memancing simpati untuk meraih sokongan, menurut beberapa sumber sejak hari penamaan calon, para pengundi di Kuala Trengganu bagaikan sudah membulatkan tekad untuk tidak lagi bersedia memilihcalon Barisan Nasional.
Sehari sebelum penamaan calon diadakan, Naib Presiden Umno yang juga calon Timbalan Presiden, Tan Sri Muhayuddin Yassin dilaporkan telah membuka gelangang kempen bersama dengan mantan Menteri Besar Trengganu Datuk Idris Jusuh. Malangnya usaha tersebut dikatakan gagal menarik perhatian masyarakat setempat kerana kehadirannya cuma dianggarkan sekitar 100 orang sahaja.
Beberapa orang kenalan di sekitar kawasan parlimen Kuala Trengganu memberitahu, anehnya penulis blog sensasi Raja Petra Kamarudin yang turut hadir menemui para pengundi dipersikataran kawasan kampong lebih mendapat sambutan berbanding Tan Sri Muhayuddin Yassin dan Idris Jusuh walaupun di kawasan tersebut tidak mempunyai kemudahan perkhidmatan internet.
“Tiba-tiba saja Raja Petra Kamarudin menjadi begitu popular, malahan lebih hebat dari bapa menteri. Setiap warung kopi yang dikunjungi oleh Pet pasti mengundang keceriaan apabila ramai datang untuk bersalam dan bermesra dengannya. Hebat juga penulis laman webb yang turun naik mahkamah serta sering kali terseret ke balai polis itu.
“Dengar khabarnya sepanjang musim kempen pilihanraya kali ini, Pett dijangka bakal membuka gelangang tidak kurang dari tiga puluh ceramah. Saya yakin ia pasti menjadi lebih meriah lagi apabila beliau akan bergandingan bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah. “ ujar seorang teman dari Kuala Trengganu yang sejak dua tiga hari sebelum penamaan calon sudah berkampong di Kuala Trengganu.
Biar apapun, yang pasti kalangan pimpinan dari Barisan Nasional sendiri merasa sangsi serta kurang yakin calon BN bakal memperolehi kejayaan kali ini. Sebentar tadi seorang pemimpin Umno dari Perak menghubungi memberitahu calon dari BN sekadar memperolehi tiga puluh peratus undi sahaja.
Semasa diajukan pertanyaan apakah beliau tidak bersedia untuk turun berkempen di Kuala Trengganu, sambil ketawa sinis pemimpin tersebut menyatakan “biarlah orang Trengganu menyelesaikan masaalah mereka. Untuk apa turun berkempen kalau yang datang dua tiga puluh orang sahaja sedangkan gelanggang pembangkang pasti mengumpulkan ribuan manusia…”
Tunggu…… saya akan cuba mencatatkan laporan terperinci setiap hari perkembangan di Kuala Trengganu.