Kemenangan bakal ubah politik negara secara total – Mustafa Ali
(Hrkh) – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu adalah penting bagi kedua-dua pihak Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) dalam menentukan hala tuju pilihan raya umum (PRU) yang ke-13.
Malah, sekiranya BN kalah yang paling terkesan adalah 'Perdana Menteri akan datang' Dato' Seri Najib Razak yang mengetuai kempen BN.
Demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri yang juga Timbalan Pengarah Jentera Induk PAS Dato' Mustafa Ali dalam Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) di Gong Kapas dekat sini semalam.
Menurutnya, kebangkitan rakyat sedang berlaku di kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India ekoran daripada kelemahan kerajaan BN dan parti-parti komponennya yang sedang mengalami perpecahan dalaman.
Tambahnya, kemenangan Pakatan Rakyat akan memberi kekuatan baru kepada rakyat seluruhnya.
"Kemenangan Pakatan Rakyat akan mengubah senario politik negara secara total," katanya yang dipetik daripada Buletin Online.
Oleh yang demikian, beliau menyeru seluruh tenaga dan kekuatan Pakatan Rakyat mesti digembelengkan dengan sepenuhnya dan digunakan bagi memastikan calon PAS, Mohd Abd Wahid Endut yang mewakili Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.
Justeru, semua petugas-petugas pilihan raya Pakatan Rakyat akan menggunakan kaedah ataupun pendekatan yang mesra pengundi bagi memastikan setiap undi akan memihak kepada Pakatan Rakyat.
Katanya, kekuatan Pakatan Rakyat masa kini sukar ditandingi oleh BN kerana perpaduan di kalangan pemimpin dan ahli pakatan rakyat begitu kukuh.
"Berbanding dengan komponen Barisan Nasional misalnya MCA di mana umumnya mengetahui di antara pemimpin nombor satu dan nombor dua MCA tidak bersefahaman.
"Bila Presiden MCA Ong Tee Kiat datang ke Terengganu untuk berkempen, Timbalan Presidennya, Chua Soi Lek tidak akan hadir, sebaliknya apabila Chua Soi Lek yang datang untuk berkempen di Kuala Terengganu, Ong Tee Kiat pula yang tidak datang," tegasnya memberitahu para hadirin pertemuannya secara kebetulan dengan Chua Soi Lek baru-baru.
Beliau menyeru semua petugas pilihan raya Pakatan Rakyat bekerja bersungguh-sungguh sehingga calon PAS mencapai kemenangan dan diisytiharkan sebagai ahli parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.