Analisis: Sikap ‘elit’ Wan Farid malukan Najib?
Wan Nordin Wan Yaacob, HARAKAH
Rata-rata pengundi mahupun jentera pilihan raya tidak kira dipihak PAS atau Umno/BN menyebut peri pentingnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu bagi kedua-dua pihak Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional dalam menentukan hala tuju pilihan raya umum (PRU) yang ke 13 nanti.
Seperti kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali "jika BN kalah dan InsyaAllah BN akan kalah, yang paling terkesan adalah 'Prime Minister in waiting' (Perdana Menteri akan datang) Dato� Seri Najib Razak yang mengetuai kempen BN'.
Beberapa sumber dalaman Umno turut menyatakan sedemikian rupa memandangkan pilihan raya ini menemukan calon PAS yang amat dikenali ramai, Mohd Abdul Wahid Endut dengan calon BN, Dato' Wan Farid Wan Salleh.
Wan Farid disebut sebagai orang pilihan Abdullah, sedangkan Pengarah Pilihan Raya BN kali ini ialah Najib Razak yang dipercayai berada dalam keadaan gusar setelah Presiden Umno memandatkan Wan Farid sebagai calon.
Kredibiliti Wan Farid di sini sering dipertikaikan, memandangkan beliau dikatakan seorang yang 'elit' dan sebagai seorang Ketua Bahagian Kuala Terengganu dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Wan Farid sukar ditemui di khalayak ramai.
Cuma wajahnya tersiar di dada-dada akhbar sejak beberap hari lalu akibat rutin yang perlu dilalui oleh seorang calon pilihan raya untuk berkempen, kata seorang pengundi, Mamat Ngah yang duduk di Kampung Permint Jaya.
Kelibat Wan Farid jarang sekali dilihat termasuk dalam acara-acara yang melibatkan rakyat kebanyakan, dan kedudukan beliau selaku 'orang elit' menjarakkan hubungan masyarakat dengannya, malah di kalangan penyokong Umno sendiri pun adan yang rimas dengan Wan Farid.
Sebagaimana kata Mustafa Ali, keputusan PRK Parlimen Kuala Terengganu akan memberi kesan yang besar kepada pilihan raya umum yang ke 13 akan datang.
Namun umum mempercayaiPRK kali ini paling perit bagi Najib jika beliau berhadapan dengan kekalahan, memandangkan ini tugasan pertama beliau sebelum diterima sebagai Presiden Umno pada Mac ini.
Trend pengundi mutakhir ini pula menunjukkan kebangkitan rakyat sedang berlaku dikalangan masyarakat Melayu, Cina dan India ekoran daripada kelemahan kerajaan BN dan parti-parti komponennya yang sedang mengalami perpecahan dalaman.
Petanda kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di PRK Kuala Terengganu akan memberi kekuatan baru kepada rakyat seluruhnya, dan ia sebagai satu pengalaman perit kepada Najib sebelum menggapai tampuk pemerintahan dari tangan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Seperti kata Mustafa Ali bahawa kemenangan Pakatan Rakyat akan mengubah senario politik Negara secara total.
Namun, dalam perasaan itu beliau sesekali mengingatkan jentera pilihan raya PAS dan Pakatan Rakyat agar tidak memikirkan faktor calon BN sebagai landasan, sebaliknya kerja keras mesti ditunjukkan untuk mencapai kemenangan.
Begitupun perpecahan yang berlaku dalam Umno/BN kerana pemilihan Wan Farid yang ada campur tangan 'orang tingkat 4' ini, jentera PAS tidak boleh tidak memikirkan soal kehadiran polis dan isu manipulasi undi pos saat-saat akhir menjelang pengundian.
Hal ini pernah ditegaskan Jurucakap Sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa bahawa betapa BN pada pilihan raya lalu menang kerana manipulasi undi pos, politik wang dan manipulasi jentera kerajaan termasuk polis dan penerangan.
Jika di ukur dek kemampuan, sudah tentunya faktor ini boleh menjahanamkan usaha PAS, namun paling Umno/BN tidak tertanding kelebihan PAS ialah, calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut selaku 'old timer' wakil rakyat yang menang bagi lima penggal berturut-turut di Dun Wakaf Mempelam.
Khidmat dan jasa bakti Wahid mendapat kepercayaan rakyat dan pengundi Wakaf Mempelam sejak 18 tahun lalu, dan kesederhanaan Wahid selaku wakil rakyat yang berkhidmat sedikit sebanyak perlu difikirkan pengundi di kawasan lain sebagai 'guide' memilih wakil rakyat.
Kini semuanya terserah kepada pengundi, samada mahu menguburkan hajat Wan Farid untukl terus menjadi Timbalan Menteri KDN (tawaran jika menang Parlimen Kuala terengganu) sambil memalukan Najib yang penuh skandal.
Atau rakyat mahukan wakil rakyat yang benar-benar menepati hasrat rakyat selaku penunjuk jalan dan pembimbing rakyat.