Polis terlalu ramai,VWan Farid salah guna kuasa Timbalan KDN?


Intan Abdullah | Foto Wan Zahari Wan Salleh, HARAKAH

Kehadiran sejumlah besar polis di bandar Kuala Terengganu sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini menimbulkan tanda tanya yang masih tidak berkesudahan.

Jika sebelum ini, penulis melaporkan mengenai jumlah anggota yang ditempatkan di satu-satu kawasan mencecah lebih daripada 6,000 orang, dengan kos yang begitu tinggi pada kali ini pihak tertinggi pasukan polis pula berdolak-dalik dan berselindung di sebalik tindakan mereka tersebut apabila ditanya alasan.

Menurut maklumat yang diterima, alasan misi khas yang mengejutkan semua pihak termasuk anggota polis sendiri adalah usaha ini adalah ke arah pembaikan dari aspek keselamatan dalam pilihan raya hasil daripada pengalaman mereka dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh.

Berdasarkan faktor tersebut, pihak polis kemudian bertindak meletakkan anggotanya di setiap pondok polis yang dibina berjumlah 19 buah sebagai pusat operasi mereka.

Tinjauan yang dibuat Harakahdaily secara rawak mendapati hal tersebut menimbulkan rasa tidak senang di kalangan penduduk setempat memandangkan bilangan pondok yang banyak dengan kedudukan yang agak dekat antara satu sama lain.

Malah tidak kurang juga yang menganggap kehadiran polis dalam operasi besar-besaran ini mencetuskan suasana takut dan resah di kalangan masyarakat setempat. Namun ada yang berpandangan kehadiran polis adalah bagi menyelesaikan sebarang ketegangan yang mungkin berlaku di antara petugas-petugas parti politik yang bertanding. Image

Walau bagaimanapun, banyak cakap-cakap yang masih meyakini bahawa akan berlaku provokasi daripada operasi besar-besaran oleh pihak polis ini. Contoh yang paling mudah adalah daripada peristiwa berdarah Batu Buruk apabila kekecohan yang berlaku dicetuskan oleh seorang yang tidak dikenali dan siasatan mendapati ianya dimulakan oleh anggota polis yang berpakaian preman.

Apapun, hal tersebut tetap memberikan kesan yang negatif kepada imej polis serta anggota keselamatan tambahan pula calon BN merupakan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang dianggap menyalah gunakan kuasanya.

Jika beliau memikirkan mengenai tohmahan dan fitnah yang bakal dilemparkan kepadanya semasa kempen pilihan raya ini mengaitkan dirinya dengan jawatan yang dimiliki, Wan Farid sepatutnya melepaskan jawatannya bagi mengelakkan sebarang sangkaan buruk terhadapnya.

Beliau perlu lebih bijak meneliti kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi termasuklah hal seumpama itu, yang sudah semestinya akan dimainkan oleh pihak yang tidak mahu melihatnya menang.

Malangnya, beliau seolah-olah suka dan meredhai apa yang berlaku apabila difitnah ditambah lagi selepas penafian penggunaan kuasa Timbalan Menteri dalam kerahan ribuan anggota polis dan keselamatan buat pertama kalinya di bandar Kuala Terengganu ini. Image

Tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya sebelum ini, sehingga kerajaan sanggup membelanjakan sejumlah wang yang besar serta mengerahkan ribuan anggota polis untuk berkubu di Bandaraya Pesisir Air ini.

Polis menyamar sebagai penyokong PAS

Hal tersebut menimbulkan tandatanya, namun dijawab dengan alasan kononnya ia adalah satu langkah penambahbaikan bagi memastikan perjalanan kempen dan kelancaran program di hari pengundian. Selain itu, ia adalah satu usaha pencegahan peringkat awal bagi mengelakkan sebarang gangguan serta kejadian yang tidak diingini berlaku.

Semasa majlis penamaan lalu, kelihatan juga banyak anggota polis berpakaian preman bertugas di sepanjang jalan sekitar penyokong Pakatan Rakyat dalam jumlah yang besar. Menurut sumber maklumat tertentu, terdapat sebahagian anggota polis cawangan khas yang ditugaskan keluar daripada tempat penginapan mereka dengan mengenakan pakaian penyokong PAS seperti kopiah dan baju melayu atau kemeja-t yang mempunyai logo PAS.

Perkara-perkara seperti ini mencetuskan rasa tidak selesa bagi parti-parti politik yang bertanding apatah lagi dalam situasi yang kian menghampiri hari pengundian. Pelbagai kemungkinan dan peristiwa yang boleh berlaku lantaran Kuala Terengganu menjadi medan tumpuan kepada seluruh pemerhati politik, ditambah lagi dengan bahang kehangatan pemilihan Umno tidak lama selepas pilihan raya ini.

Sudah pasti ada di kalangan pemimpin atau pihak tertentu dalam parti berteraskan Melayu itu ingin menggunakan kesempatan keemasan ini bagi memastikan agenda pemilihan tersebut dapat disertai seterusnya dimenangi.

Jika ditinjau ke kawasan Kubu Polis atau lebih dikenali sebagai Martek yang dibina di setiap Dun serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu, kawasan yang dipilih seperti martek Dun ladang yang terletak di Pantai Batu Buruk memakan ruang jalan awam kerana kenderaan polis diletakkan di kiri dan kanan jalan.

Apatah lagi, jalan raya sepanjang Pantai Batu Buruk juga ditutup kerana ia merupakan sebahagian daripada 'Kem Polis' untuk meletakkan kenderaan pelbagai jenis dan kanopi yang dibina bagi tujuan penginapan, kantin, dan sebagainya dalam satu tempat.

kira-kira 1500 anggota polis ditempatkan di satu-satu Martek mengikut Dun masing-masing iaitu martek Ladang di pantai Batu Buruk, Martek Batu Buruk di Cendering, Martek Wakaf Mempelam di Jalan Wakaf mempelam dan martek Bandar di Jalan Sultan Sulaiman.



Comments
Loading...