Kehadiran Ezam di Kuala Terengganu bakal kurangkan undi BN?


(Hrkh) – Sumber dalaman jentera Umno di sini menyatakan kebimbangan di atas kehadiran bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor untuk berkempen bagi BN di sini.

Sumber itu mendakwa, Ezam telah terbukti menjadi antara faktor kepada kekalahan Umno/BN dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh 28 Ogos lalu.

Ujar beliau, kempen-kempen Ezam yang banyak berkisarkan menceritakan dakwaan keburukan bekas ketuanya, Dato' Seri Anwar Ibrahim membuatkan bukan sahaja pembangkang, malah ahli Umno juga meluat.

Baginya, satu ketika lalu (ketika era reformasi), Ezam adalah orang yang paling lantang menghentam Umno dengan pelbagai tuduhan.

Namun kini Ezam adalah orang yang menjilat semula apa yang dikecam sebelum ini, malah menjadi 'ayam sabung' kepada kempen BN di Permatang Pauh, katanya.

Akhirnya kehadiran Ezam di sana (Permatang Pauh) turut menyumbang kepada kekalahan calon BN, Dato' Ariff Shah Omar, katanya.

Justeru bagi beliau, kehadiran Ezam di Kuala Terengganu juga mungkin akan mengulangi peristiwa yang sama seperti di Permatang Pauh.

Dalam beberapa edaran risalah di sekitar masjid dan barong-barong Umno, Ezam dan beberapa rakannya dijadualkan akan memulakan kempen pada 9 Januari di beberapa lokasi termasuk di Flat Kolam.

Sebelum ini, Ketua AMK Terengganu, Fariz Musa telah melaungkan cabaran kepada Ezam agar mendedahkan 'enam kotak rahsia' berhubung rasuah dalam Umno yang pernah dilaungkan Ezam satu ketika lalu.

Menjawab cabaran itu, Ezam mendakwa enam kotak rahsia itu sebenarnya ada di tangan Anwar.



Comments
Loading...