Kehadiran PM jumpa jentera di KT kerana BN berpecah?
(Hrkh) – Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mendakwa, kehadiran tergesa-gesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi bertemu jentera Barisan Nasional di sini berikutan adanya perpecahan berlaku.
Menjawab soalan yang ditimbulkan wartawan dalam sidang medianya di Pusat Media PAS, Kuala Ibai dekat sini, Nasharudin tidak menafikan kemungkinan tersebut.
Malah beliau menyatakan sememangnya berlaku perpecahan di kalangan jentera BN di sini dalam beberapa isu termasuk yang membabitkan calon itu sendiri.
Mengikut rekod bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga biasanya selaku Pengerusi BN sebelum Abdullah tidak pernah turun berkempen bagi pilihan raya kecil.
Biasanya hanya timbalannya sahaja yang akan mengemudi jentera kempen, sebaliknya Abdullah dikatakan nampak tergesa-gesa turun ke Kuala Terengganu bagi bertemu jentera BN.
Mengulas isu dakwaan bekas MB Selangor, Dato' Dr Mohd Khir Toyo berhubung PAS tiada pilihan selain kononnya terpaksa memilih Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Adun Wakaf Mempelam sebagai calon PAS pula, Nasharuddin menempelak kenyataan Khir itu.
PAS sebaliknya memilih Wahid kerana kredibilitinya sebagai calon popular yang mampu memenangkan PAS dan mampu berkhidmat untuk rakyat, katanya.
Wahid adalah anak tempatan yang sangat diterima rakyat di sini, sebaliknya pemilihan calon BN, Dato' Wan Farid Wan Salleh pula dikatakan mengundang perpecahan dalam Umno/BN, ujar Nasharuddin.
Justeru katanya tidak timbul soal PAS memilih Wahid berikutan tiada calon yang berwibawa.