Suara rakyat kuasa keramat siri 3


BOHONG!!! BOHONG!!! BOHONG!!!!!

Turut menjadi lelucon dalam pemberitaan berhubung pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu kali ini adalah  laporan  usaha Pergerakkan Puteri Umno membuka kelinik bergerak yang dijadikan bahan penting.

KAMAL AMIR MENULIS

BOSAN, meluat, menyampah, jengkel lagi menjijikkan setiap kali menatap berita di media massa arus perdana. Bukan sahaja liputan yang  dilakukan bersikap berat sebelah, malahan terkadang lebih banyak pembohongan dilakukan dalam usaha untuk terus memenjara minda rakyat untuk terus terpasung.

Satu ketika dahulu semasa kehidupan saya sebagai  “orang surat khabar”  setiap petugas serta calon wartawan sentiasa disemai dan dididik untuk bercerita benar dengan mengamalkan prinsip 5 W yakni “What, where, when, whom dan why” di mana jika diterjemah dalam bahasa Melayu membawa pengertia “Apa, di mana, bila, siapa dan bagaimana”.

Setiap pengamal media yang hidupnya mencari nafkah sebagai sumber rezeki mesti berpegang kepada  lima  prinsip tersebut tanpa boleh menokok tambah ataupun membuat laporan palsu. Malahan setiap berita itu mesti digarap tanpa diizinkan sebarang bentuk pandangan sesaorang wartawan yang membuat atau menulis laporan itu.

Entah di mana silapnya, dunia kewartawanan hari ini sudah begitu jauh berubah. Setiap laporan yang disiarkan ternyata tidak lagi menepati asas-asas kewartawanan yang tulin. Bukan sahaja bahasa pemberitaan lintang pukang malahan lebih menyedihkan masyarakat seakan dikelirukan oleh pemberitaan cukup berat sebelah disamping mencampur adukkan antara berita dan rencana.

Pilihanraya kecil bagi kerusi Parlimen P36 Kuala Terengganu begitu jelas memperlihatkan bagaimana dunia kewartawanan seakan “dilacurkan” oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk membawa pelbagai bentuk berita sempang peranang serta  tidak menepati prinsip asas.

Saya tidak berhasrat untuk memihak kepada mana-mana calon yang bertanding, jauh sekali  menjadi agen pengampu bermindakan “ikan sepat kering”. Namun apabila membaca laporan di dada akhbar arus perdana serta siaran media elektronik ternyata begitu rakusnya pihak berkepentingan  menodai dunia kewartawanan sehingga tergambar seolah-olah adanya pengamal media seperti telah disogok atau dibeli.

Contoh paling jelas apabila di hari penamaan calun, keseluruhan media arus perdana menyogokkan berita palsu atau cerita bohong kononnya terdapat tiga puluh ribu penyokong  mengiringi calon Barisan Nasional sementara tiga atau empat ribu dipihak calon Pakatan Rakyat serta  Cuma dua tiga kerat sahaja mengiringi calon bebas.

Bagaimana boleh terjadi laporan sedemikian rupa? Melihat dari rakaman gambar-gambar  yang terpapar dalam media alternatif (tentunya pengendali laman blog) puluhan ribu maknusia berduyun-duyun berada di pihak calon Pakatan Rakyat sebaliknya situasi disudut calon BN seakan-alan lengang. Malahan lebih mengaibkan terdapat pula wajah seorang ahli pergerakan Wanita Umno membuka lebar-lebar mulutnya (menguap dalam keadaan mengantuk).

Tidakkah pengamal media arus perdana sedar bagaimana ledakan dunia tanpa sempadan menjadikan massa memperolehi sumber berita dengan begitu cepat dan pantas. Bagaimana mungkin pembohongan berita sedemikian rupa boleh dilakukan? Apakah mereka yang menodai kesucian dunia kewartawanan tidak merasa malu  dengan kerja – kerja  sebegitu jijik hanya untuk memperolehi laba?

Begitu juga dengan laporan dan komen-komen tentang padu  serta  kuatnya sokongan kerabat dalam Barisan Nasional  terhadap calon  yang  diketengahkan oleh parti tersebut, sedangkan  terdapat bilik gerakan MCA dan MIC (kerabat terkanan dalam Barisan Nasional) bukan sahaja tidak berpenghuni, malahan terbiar kosong dan terkunci.

Media alternatif tidak pula mengemukakan laporan atau liputan berlakunya pergeseran dalam Barisan Nasional meskipun umum sedia mengetahui ujudnya situasi  “renggang dan retak menanti belah” antara Gerakan, MCA dan PPP.  Sebaliknya secebis surat oleh Karpal Singh yang tetap dengan pendiriannya menolak hukum hudud dijadikan seolah-olah berlaku “ribut taufan” dalam pakatan rakyat.

Pentas-pentas ceramah atau gelanggang pemimpin mengemukakan pandangan dalam siri kempen di Kuala Terengganu terus menjadi medan penipuan paling menjijikkan apabila  tiada langsung tersiar  mana-mana pentas politik calon dari Pakatan Rakyat. Sebaliknya setiap kali lintas  langsung dari Kuala Trengganu dilakukan oleh media elektronik pasti wajah ceria Datuk Wan Ahmad Farid dijadikan bahan utama sementara dua calon lain “ghaib” dan dilesapkan tanpa adanya elemen demokrasi dalam pemberitaan.

Bukan sekadar itu sahaja malahan kehadiran pemimpin bertandang kerumah Allah untuk menunaikan fardhu sembahyang turut disiarkan sebagai bahan utama seperti yang disiarkan oleh RTM saat Dato’ Seri Najib menghadiri solat Jumaat di salah sebuah masjid di Kuala Terengganu. Apakah sebelum ini Dato Najib tidak  pernah pergi sembahyang Jumaat sehinggakan kehadirannya di masjid tersebut menjadi berita utama?

Turut menjadi lelucon dalam pemberitaan berhubung pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu kali ini adalah  laporan  usaha Pergerakkan Puteri Umno membuka kelinik bergerak yang dijadikan bahan penting. Kalaupun  benar ujudnya pusat tersebut namun tidakkah wartawan yang menyiarkan berita sedemikian sedar bagaimana kesan daripada itu membuatkan rakyat dijengah rasa loya dan menyampah disamping turut menggambarkan begitu terdesaknya parti Barisan Nasional untuk mengapai undi hingga sanggup menonjolkan adegan sedemikian.

Apakah sebelum ini rakyat di Kuala Terengganu memang  dinafikan hak dan kemudahan menerima rawatan dari kelinik desa atau hospital daerah? Apakah Kuala Terengganu memang tidak mempunyai kelinik sehinggakan untuk pilihanrtaya kecil itu  kelinik bergerak sebegitu apa diperlukan serta boleh menarik dan mengapai sokongan rakyat?

Saya melihat penyiaran berita “terpaksanya “ Pergerakkan Puteri Umno mengujudkan kelinik bergerak  di musim pilihanraya kecil itu sebagai bahan berita cukup negatif  disamping menafikan sama sekali kejayaan kerajaan Barisan Nasional mengujudkan pusat kesihatan yang sewajarnya sebagai antara kemudahan asas terpenting kepada rakyat.

Dalam erti kata lain, ia turut mendedahkan tidak perihatinnya kerajaan negeri Terengganu yang kini diterajui  oleh Barisan Nasional  terhadap aspek keperluan asas rakyat. Seantero dunia tahu Terengganu merupakan antara negeri di Semenanjung memperolehi hasil lebih sepuluh billion ringgit dari hasil royalti minyak. Masakan dengan kekayaan sebegitu  pemimpinnya  tidak mampu menyediakan kemudahan pusat kesihatan.

Kalaulah ujudnya Kelinik bergerak tersebut hanya sebagai salah satu khidmat kecemasan atas keperhatinan Pergerakan Puteri Umno  boleh jugalah diterima akal. Namun apabila menonton laporan di kaca TV  memaparkan rasa syukur pengundi datang ke pusat tersebut untuk mendapat rawatan bukan kecemasan membuatkan  saya terfikir  daif sungguh kerajaan negeri Terengganu kerana setelah lebih lima puluh tahun negara mencapai kemerdekaan masih gagal menyediakan pusat kesihatan yang begitu penting kepada rakyat.

Alangkah aib dan malunya menatap berita yang telah ternoda sebegitu di media arus perdana. Sampai bilakah wartawan harus menjadi kuda tonggangan orang politik untuk mereka rakus melacurkan dunia kewartawan? Saya amat berharap agar fenomena sebegitu jijik akan segera diperbetulkan demi menjamin masyarakat sentiasa menghormati  masyarakat penulis.



Comments
Loading...