Beli undi RM500 seorang, Dato’ Mustafa jelaskan pada SPRM


(Hrkh) – Timbalan Pengarah Jentera Induk PAS bagi Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu mengesahkan beliau didatangi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari Khamis 8 Januari lalu.

"Pada pagi Khamis, mereka menelefon saya, mereka mahu berjumpa, tak apalah boleh berjumpa di pejabat saya,"ujar beliau memberitahu pihak media tentang pertemuannya dengan SPRM dalam sidang media, di Markas Besar PRK Kuala Terengganu, Kuala Ibai di sini.

Menurutnya tiga orang pegawai tersebut datang ke pejabatnya atas arahan pihak pusat setelah beliau mendedahkan perkara tersebut kepada pihak media.

Beliau berkata operasi membeli undi dengan wang RM500 sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini mempunyai 'modus operandi' yang tersusun.

"Berdasarkan makluman yang saya terima, wujud satu unit yang menjalankan operasi ini, salah seorang dari mereka telah (saya) ditemui dan mendedahkan perkara tersebut,

"Orang yang berkenaan (menawarkan wang) telah menemui 'prospek' yang boleh dibeli, (dan menyatakan kepada prospek) sekiranya ada pengundi yang sedia undi Barisan Nasional, beliau sedia membantu (dengan wang RM500 seorang)," jelas Dato' Mustafa.

Katanya individu yang menawarkan wang tersebut menyangka prospek yang ditemuinya bukan dari kalangan penyokong kuat PAS.

Menurut Dato' Musatfa, sebaliknya 'prospek' yang ditawarkan dengan 'rasuah' tersebut merupakan 'orang kuat PAS' lalu melaporkan kepadanya.

"Individu yang ditawarkan (rasuah) itu adalah orang kuat PAS dan telah memberitahu saya, selepas itu saya mendedahkan perkara tersebut kepada media," katanya.

Katanya beliau mendedahkan perkara tersebut kepada media adalah bertujuan supaya pihak yang menawarkan rasuah itu menghentikan operasinya dan PRK Kuala Terengganu menjadi lebih bersih tanpa rasuah dan politik wang.



Comments
Loading...