Berjayakah BN menukar imej dengan media


Mungkin strategi ini akan berkesan jika pilihan raya diadakan di zaman 1970an atau 1980an dahulu. Ketika itu, semua media dikawal sepenuhnya oleh BN. Tiada internet, tiada youtube, tiada akhbar alternatif dan tiada sms. Tetapi terbukti dalam zaman serba canggih ini, pujukan yang cuba dibawa BN itu menjadi temberang kerana rakyat mendapat maklumat lain dari yang disalurkan oleh media BN.

Zulkifli Sulong, The Malaysian Insider

“Cakna rakyat, pemimpin berjiwa rakyat.” Inilah dua jenis slogan yang dipasang oleh jentera pilihan raya BN di sekitar Kuala Terengganu.

Semasa pilihan raya umum Mac 2008 lalu, slogan BN adalah “Selamat, aman dan makmur”.

Jika diamati betul-betul, kedua-dua slogan ini ada persamaannya. Menjelang pilihan raya umum 2008 lalu, keadaan negara penuh dengan masalah keselamatan.

Adik Nurin Jazlin dipulangkan pembunuhnya dalam beg pakaian manakala kehilangan adik Sharlini Mohd Nashar tidak ditemui hingga kini. Atas dasar itu, BN datang dengan slogan “Selamat, aman dan makmur” dalam pilihan raya Mac 2008 itu.

Kini, untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu, BN datang dengan slogan “Cakna rakyat’ dan seumpamanya. Apa makna cakna? Cakna bermakna mengambil berat atau prihatin terhadap rakyat khasnya mereka yang terpinggir dan berada di bawahan.

Ini bermakna, jentera BN cuba memberitahu pengundi Kuala Terengganu, kerajaan mereka khasnya calon mereka, Datuk Wan Ahmad Farid adalah calon yang cakna rakyat.

Apakah idea ini akan berjaya.

Sebagaimana pilihan raya umum 2008, BN cuba datang kepada pengundi dengan membawa imej yang sebenarnya bukan imej kerajaan BN ketika itu tetapi masalah yang dihadapi oleh BN.

Kalau 2008, rakyat hadapi masalah keselamatan, BN datang dengan slogan selamat. Kononnya BN boleh membawa keselamatan. Lalu di seluruh pelusuk negara, poster dan banner besar dipasang yang menunjukkan Abdullah sedang memeriksa pembarisan pasukan polis. Kononnya, BN akan memastikan polis menjamin keselamatan rakyat.

Mungkin strategi ini akan berkesan jika pilihan raya diadakan di zaman 1970an atau 1980an dahulu. Ketika itu, semua media dikawal sepenuhnya oleh BN. Tiada internet, tiada youtube, tiada akhbar alternatif dan tiada sms. Tetapi terbukti dalam zaman serba canggih ini, pujukan yang cuba dibawa BN itu menjadi temberang kerana rakyat mendapat maklumat lain dari yang disalurkan oleh media BN.

Dan sebagaimana diketahui, tsunami politik berlaku dalam pilihan raya 2008 lalu. Rakyat menolak BN secara besar-besaran dan kempen ‘selamat’ BN ditolak rakyat kerana keadaan sebenarnya, memang pengundi rasa mereka tidak selamat.

Kini, untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu, jentera kempen BN nampaknya mengambil pendekatan yang sama. “Cakna rakyat” menjadi slogan kempen BN. Padahal, dari awal lagi media yang sudah agak terbuka sekarang sudah melaporkan calon BN mempunyai masalah dengan personalitinya.

Datuk Seri Mohd Najib sendiri, selaku pengarah pilihan raya BN, beberapa hari sebelum mengumumkan Wan Ahmad Farid sebagai calon berkata, ciri-ciri calon BN hendaklah mereka yang rendah diri, tidak hidung tinggi dan dekat dengan rakyat.

Tetapi, apabila Najib sendiri mengumumkan Wan Ahmad Farid adalah calon BN pada 20 Disember, beliau sebenarnya telah melanggar syarat yang telah ditetapkannya sendiri. Wan Ahmad Farid diakui oleh pihak kawan dan lawan tidak mempunyai ciri yang dikehendaki oleh Najib itu.

Media yang dimiliki dan dikawal oleh BN sendiri, NST, pada 21 Disember, sehari selepas nama calon BN diperkenalkan, telah menulis mengenai sifat calon BN ini. Media lain juga membuat laporan yang sama, apatah lagi media yang pro pembangkang.

Ini bermakna, sekali lagi jentera BN cuba menguji teori yang sama, “kuasa media boleh memasukkan sesuatu yang tidak benar ke dalam pemikiran pengundi”. BN cuba mempengaruhi pengundi dengan ‘kuasa medianya’ sekali lagi.

Kalau Mac 2008, jentera BN cuba mengasak pemikiran pengundi, BN boleh menjamin keselamatan negara padahal ketika itu mereka merasai sendiri negara tidak selamat.

Pengundi Kuala Terengganu  tahu, “cakna rakyat” bukannya ciri atau kekuatan calon BN. Calon BN ini lahir dan membesar dalam keluarga elit dan agak jauh dengan rakyat. Beliau mempunyai kekuatannya tersendiri tetapi bukannya cakna rakyat.

Untuk itu, kalau sesiapa pergi ke bandar Kuala Terengganu sekarang, penuh poster dan banner BN yang bertulis, “pemimpin berjiwa rakyat” dan seumpamanya. Poster dan banner ini cuba memberitahu rakyat perkara yang selama ini mereka tahu itu bukan ciri calon BN.

Apakah media dan jentera kempen BN kali ini berjaya mencipta sesuatu yang ‘artificial’ kali ini. Kita tunggullah 17 Januari ini.



Comments
Loading...