Kuala Terengganu: Harga barang, bukan hudud!
(Hrkh) – Ketika Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad mengingatkan pembangkang supaya jangan jadikan isu kenaikan harga barangan sejak tahun lepas sebagai bahan kempen untuk meraih undi dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Malaysian Insider melaporkan, soal cari makan lebih penting dari hudud bagi para pengundi Kuala Terengganu.
Beberapa orang rakyat berbangsa Cina di bandar itu berkata, mereka tidak menolak hudud kerana mereka merasa ia tidak melibatkan rakyat bukan Islam.
Seorang pesara berbangsa Cina mempersoalkan apa mustahaknya diriuh-rendahkan soal hudud?
"Ia adalah undang-undang jenayah untuk orang-orang Islam sahaja. Kami bukan orang Islam. Ia tak ada kena-mengena dengan kami," katanya.
Beliau hairan mengapa isu tersebut dibising-bisingkan oleh Barisan Nasional (BN).
"Orang-orang Cina dan Melayu tidak ada masalah antara satu sama lain. Kami semua berkawan di sini," tambah beliau yang kecewa dengan parti-parti tertentu yang membangkitkan isu perkauman yang tidak wujud di kalangan rakyat Kuala Terengganu.
Seorang peniaga Cina tempatan pula menyifatkan isu hudud sengaja dibangkitkan untuk mengaburi dan mengalih tumpuan rakyat dari isu sebenarnya.
"Semua fasal duit," kata peniaga berumur 54 tahun itu, yang enggan namanya disiarkan.
Beliau berkata, rasa tidak puas hati golongan akar umbi dalam masyarakat Cina semakin membara terhadap para pemimpin kerajaan BN, terutama dari MCA.
"Mereka lebih berminat mendapatkan projek untuk kroni mereka daripada mengambil peduli kebajikan rakyat," katanya.
Beliau berkata, rakyat tempatan lebih bimbang tentang soal mencari makan dalam ekonomi yang lembab.
Beliau juga merungut tentang royalti minyak yang tidak pernah mereka nikmati.
Orang-orang Cina yang miskin juga berhak menerima wang ehsan dari perbendaharaan negeri. katanya.
Seorang penjual buah-buahan, Zaidi Mat Harun mengadu, pendapatannya antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan hampir tidak dapat menampung perbelanjaan hariannya ketika harga barangan terus melambung naik.