Pilihan raya kecil Kuala Terengganu ujian buat Najib


Dari segi isu nyata BN tidak mempunyai banyak modal besar pada masa ini. Isu-isu projek kilat dan segera adalah isu lama yang telah difahami sendiri oleh BN sejauh mana impaknya. Selalunya setiap kali berlaku pilihan raya kecil ratusan juta projek dijanjikan.

ANTARA KITA

Mohd Sayuti Omar

REALITINYA yang bertanding dalam pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu adalah antara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 47 yang mewakili Barisan Nasional (BN) manakala Abdul Wahid Endut, 52 yang mewakili PAS. Merekalah yang 'menandatangani' untuk bertarung dan menjadi taruhan parti masing-masing. Merekalah yang akan mewakili rakyat Kuala Terengganu di Parlimen nanti sekiranya menang.

Bagaimana pun dari segi spritual pertandingan itu merupakan proksi dan ujian kepada mereka yang menjadi 'gembala' kepada kedua calon itu – yang akan mendapat laba secara tidak langsung di sebalik pilihan raya itu jika calon masing-masing menang. Dalam hal ini bagi BN, gembalanya ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menjadi 'taukeh' atau 'sponsor' kepada pilihan raya itu.

Walaupun Wan Ahmad Farid dikaitkan sebagai calon Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, namun itu tidak membawa apa-apa erti lagi memandangkan faktor Abdullah dalam Umno dan BN hari ini sudah tidak ada apa-apa kuasa selaku ketua. Kewujudan Abdulah dalam Umno hari ini bagaikan halimunan yang menanti angin lalu untuk melenyapkan diri dari buana Umno.

Keadaan itu menyebabkan pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu merupakan ujian pertama untuknya (Najib). Pilihan raya itu akan menguji pretasi dan wibawa beliau yang bakal mengambil alih jawatan presiden Umno pada Mac depan.

Inilah pilihan raya kecil pertama berlaku selepas termaterainya peralihan kuasa di antara Abdullah Ahmad Badawi dengan Mohd Najib Razak. Justeru pilihan raya ini adalah dibawah tanggungjawab Najib seratus peratus dan Abdullah tidak ada kena mengena lagi dan mungkin beliau tidak pun akan memberi apa-apa reaksi berhubung pilihan raya berkenaan!

Kerana itu Najib tidak dapat mengelak dan berdolak dalih daripada bertanggungjawab dan memikul apa-apa bebanan ataupun risiko yang lahir daripada pilihan raya berkenaan. Seandainya Wan Ahmad Farid ditakdirkan kalah maka kekalahan itu perlu dipulangkan sepenuhnya kepada Najib.  Kekalahan itu juga akan mencalarkan wibawa Najib yang kini dijulang tinggi dan diramalkan dapat memulihkan 'kebantrakan' dalam Umno selepas mengambil alih jawatan presiden Umno nanti.

Sebab itulah Najib bersungguh mahukan BN mengekalkan kerusi itu. Selain daripada untuk mengekalkan kedudukan kerusi BN di Parlimen sebanyak 140 kini adalah juga untuk menjaga wibawanya supaya tidak tercemar. Seperti dikatakan tadi kekalahan menyebabkan orang akan menilai mengenai Najib dan kekalahan itu akan dikaitkan dengan masa depan dan kemampuan Najib.

Walaupun BN kalah dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ogos tahun lalu, tetapi ia tidak memberi kesan langsung kepada Najib. Kerana pada waktu itu agenda 'rampasan kuasa' menerusi pelan peralihan kuasa masih belum berlaku. Orang melihat kekalahan di Permatang Pauh itu kekalahan mutlak Abdullah selaku presiden dan Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang.

Sudah pasti kalau PAS menang ia akan menambahkan koleksi kerusi oleh Pakatan Rakyat. Kemenangan itu menambahkan satu lagi kerusi kepada Pakatan Rakyat yang kini sudah ada 81 + 3 kerusi. Mungkin penambahan itu tidak membawa apa-apa erti untuk meneruskan projek "16 September" yang terbangkalai tetapi kemenangan itu akan menyuntik semangat kepada Pakatan Rakayat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan penuh yakin.

PAS Terengganu juga turut menerima keuntungan dengan kemenangan itu nanti. Ia akan menajdi lebih yakin untuk menawan semula Terengganu. Seperti mana diucapkan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali ketika berjumpa dengan anak-anak Terengganu di perantauan dua hari sebelum penamaan calon, pilihan raya 17 Januari itu penting bagi kedua –dua pihak. Bagi PAS kemenangan itu akan memberi isyarat sejauh manakah kemampuan PAS untuk menawan semula Terengganu pada pilihan raya akan datang.

Sudah tentu sekiranya PAS berjaya merampas kerusi Kuala Terengganu, ini memberi amaran awal kepada Umno bahawa dengan pendekatan, pergolakan atau pelan peralihan yang hendak dilakukan memberi kesan kepada Umno. 

Sesiapa pun tidak dapat mengambus pergolakan dalaman Umno Terengganu waktu ini. Peristiwa 'kelenggahan' atau krisis melantik Menteri Besar Terengganu selepas pilihan raya umum lalu sudah menjadi rahsia umum.

Umno Terengganu kini dikatakan terbelah kepada tiga kumpulan besar. Satu kumpan berpihak kepada Menteri Besar kini, Datuk Ahmad Said, satu kumpulan lagi berpihak kepada bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh manakala satu lagi kumpulan veteran.

Jadi selain daripada Wan Ahmad Farid tertekan dengan pilihan raya itu, yang turut berdebarnya ialah Najib. Juteru Najib kena buat dan melakukan apa saja. Awal-awal lagi dalam usaha untuk mengawal persepsi umum terhadap pilihan raya itu Najib telah membuat kenyataan BN ada kelebihan dalam menghadapi pilihan raya berkenaan. Kenyataan itu tidak dapat disembunyikan ia menggambarkan kecemasan dan ketidakyakinan beliau dengan pilihan raya itu. Beliau menzahirkan perasaan itu menerusi wawancaranya dengan akhbar perdana.

Manakala semalam sebaik selesai penamaan calon Najib meyatakan keyakinannya BN akan memperolehi kemenangan lebih besar. Apakah sandaran beliau berbuat demikian? Mungkin memandangkan kepada jumlah pengiring calon BN agak ramai daripada biasa.

Media kroni menjumlahkan 15,000 penyokong BN mengiringi Wan Ahmad Farid. Sekiranya angka itu benar ia mungkin memberi petanda kekuatan BN! Namun BN tidak boleh duduk bersilang panggung kerana mereka harus melihat kepada jumlah pengiring dan penyokong PAS yang ternyata lebih besar daripaa itu. Laporan media bebas mengatakan penyokong PAS mencecah 25,000.

Dalam pada itu jumlah penyokong yang ramai mengiringi Wan Ahmad Farid sesuatu yang tidak menghairankan. Sebab hampir semua mereka yang ingin bertanding dalam Umno Mac depan turut hadir. Semua calon dari Perlis hingga ke Sabah turun memeriahkan penamaan calon itu. Sudah pasti mereka tidak turun bersendirian tetapi membawa penyokong masing-masing kerana ingin mempamerkan kekuatan mereka juga.

Sekiranya sandaran dan keyakinan awal Najib itu berpandukan kepada jumlah penyokong yang ramai ia sesuatu yang akan mengecewakan Najib kerana penyokong luar itu adalah sebagai fotomargana saja. Kalau pun jumlah penyokong itu dijadikan indikator, peluang cerah terletak kepada PAS kerana penyokong PAS relatif lebih ramai.

Seperti dinyatakan tadi disebabkan pilihan raya tersebut juga penting kepada Najib maka orang-orang Najib akan berkerja bermati-matian bagi memastikan kemenangan Wan Ahmad Farid. Mereka akan melakukan apa saja tektik dan strategi baik untuk meraih kemenangan.

Lantaran itu PAS tidak boleh terlalu bersikap defensif dalam menghadapi serangan bakal dilakukan oleh para hulubalang Najib. Kemungkinan kempen ala agresif akan berlaku apabila BN sudah merasakan mereka terdesak dan akan kalah.

Dari segi isu nyata BN tidak mempunyai banyak modal besar pada masa ini. Isu-isu projek kilat dan segera adalah isu lama yang telah difahami sendiri oleh BN sejauh mana impaknya. Selalunya setiap kali berlaku pilihan raya kecil ratusan juta projek dijanjikan. Betapa banyaknya projek yang dijanjikan seolah-olah seluruh jalan raya di  kawasan menghadapi pilihan raya itu akan ditatah dengan perak dan emas. Namun apabila selesai semuanya kembali kepada asal tinggallah rakyat tercungap-cunggap melalui kehidupan biasanya.

Makanya isu projek segera tidak mudah melenakan rakyat. Apaka lagi rakyat Kuala Terengganu yang sebahagian besarnya mendapat maklumat dan berpengetahuan. Mereka tidak mudah digulakan ataupun senang dan mudah termakan dengan janji politik kerajaan.

Tema kempen BN yang diistyharkan Najib, "mesra rakyat" juga bukan perkara baru. Malahan BN menggunakan tema-tema yang lebih melenkolik dari itu. Tetapi hasilnya tidak ke mana. Kempen hanya indah pada tema namun perubahan kepada rakyat tidak berlaku.

Masalah kelembaban ekonomi, kenaikan harga barang, penagangguran yang tinggi dan pelbagai projek mega di Terengganu yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat nergeri itu akan turut memberi kesan dan dinilai penuh teliti oleh pengundi Kuala Terengganu.

Isu-isu seperti projek Mooson Cup, masjid Kristal terus menjadi pertikaian rakyat khasnya kaum nelayan. Mereka bertanya apakah gunanya projek berkenaan kerana mereka tidak dapat meraih labanya. Jadi kempen mesra rakyat rasanya tidak lebih daripada retorika BN saja untuk mengabui mata rakyat Kuala Terengganu.

Secara umumnya PAS mempunyai kelebihan dalam pilihan raya ini. Sebagai calon underdog PAS tidak perlu gelabah kerana selera politik nasional kini berpihak kepada pembangkang. Keazaman rakyat untuk melihat berlaku perubahan kerajaan di peringkat pusat mungkin akan turut bergelora sama ke kawasan tepian Laut China Selatan itu.

Semangat dan roh pilihan raya umum lalu masih tersisa. Kekalahan tipis PAS untuk mengambil alih kerajaan Terengganu dalam pilihan raya lalu mungkin menjadi dendam kepada rakyat Terengganu. Disebabkan inilah pilihan raya pertama selepas pilihan raya umum mungkin 80,229 pengundi di situ akan melepaskan dendam mereka dengan memberi kemenangan kepada PAS.



Comments
Loading...