BATU BURUK DAN BATU-BATU NYA
DARI JELEBU
Hishamuddin Rais
Ketika di sekolah menengah dahulu saya selalu membaca sajak sajak J.M Aziz. Bait-bait tentang laut, kolek, penyu dan ikan menjadikan saya asyik untuk tahu tentang Kuala Terengganu. Sajak-sajak dari Seberang Takir ini menjadikan saya ngelamun memikirkan tentang Pulau Duyung dan Kuala Ibai.
Pertama kali saya sampai ke Kuala Terengganu pada tahun 1975 – ketika hendak melarikan diri dari di tangkap sesudah Peristiwa Baling 1974. Saya ditumpangkan di sebuah rumah di Pekan Cina.
Kali ke dua, tiga tahu dahulu saya datang untuk menemu bual pelajar-pelajar yang bakal memasuki ASWARA. Dua tahun dahulu saya datang sekali lagi untuk tujuan yang sama. Setiap kali saya datang ada sahaja perubahan di kota indah ini.
Sehari sebelum penamaan calon PRK P36 ini saya sampai sekali lagi ke Kuala Terengganu. Kali ini saya datang dengan penuh kesedaran untuk membaca perubahan politik besar yang akan berlaku.
Ada banyak pekara yang amat menarik dalam PRK P36 ini. Beberapa hari sesudah YB Razali Ismail yang mewakili P36 meninggal dunia – saya mendengar khabar bahawa Mat Sabu adalah bekas calon terakhir dari Pakatan Rakyat. Pada PRU ke 13 yang lalu Naib Presiden Pas ini hanya di kalahkan dengan 628 undi sahaja. Kemudian saya juga difahamkan bahawa kawasan ini pernah di wakili oleh Pas pada satu ketika dahulu. Ini bererti P36 ini satu wilayah yang lincah politik pengundinya.
Kelincahan politik pengundi ini memungkinkan P36 ini kembali ke tangan Pas. Kemungkinan ini cukup menjanjikan.
Lihatlah betapa indahnya kocakan politik Kuala Terengganu. Ini sama indahnya dengan pesisir pantainya yang landai dan sungainya yang luas. Sesekali terfikir juga – kenapa kota Kuala Terengganu ini tidak menjadi ibu kota Malaysia. Alangkah indahnya sebuah kota di tepi sungai dan di pagari oleh Laut Cina Selatan.
Di Kuala Terengganu juga – lebih tepat lagi di Pantai Batu Buruk – untuk pertama kalinya peluru hidup telah digunakan oleh pihak polis untuk menembak para penyokong BERSIH pada malam 8hb September 2007 dahulu. Dari apa yang saya difahamkan penembakan dengan peluru hidup ini atas arahan pihak diatas. Pihak diatas dalam istilah Malaysia bermakna Kementerian Dalam Negeri.
Dan jangan terperanjat – pada ketika itu yang menjadi Menteri Dalam Negeri ialah Abdullah Badawi dan yang menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri ialah Wan Farid Salleh. Wan Farid yang sama inilah juga yang sedang bertanding untuk melawan calon Pas – Abdul Wahid Endut di P36. Lihat betapa lincahnya politik Kuala Terengganu.
Susuk calon Barisan Nasional ini cukup menarik. Beberapa hari sebelum penamaan calon, Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor telah berkata bahawa ' Wan Farid adalah pilihan yang salah'. Ini di ikuti pula oleh kenyataan Mahathir Muhamad yang memperlekeh Wan Farid. Mahathir Muhamad melihat Wan Farid hanyalah seorang 'macai' kepada Abdullah Badawi.
Tidak cukup dengan kenyataan yang memperlekehkan Wan Farid , tiba-tiba Najib Razak yang mengepalai kempen di PRK P36 berkata bahawa pertandingan kali ini bukan satu 'referendum' untuk dirinya. Hujan tidak ribut pun tidak tetapi Najib Razak telah merasakan bahang ombak panas dari Batu Buruk.
Najib Razak memaksa dirinya membuat kenyataan sedemikian untuk melindungi dirinya dari terkena balingan-balingan batu. Batu-batu semakin banyak bertaburan di baling oleh ahli-ahli parti Najib sendiri. Ada yang membaling ke muka Wan Farid dan tidak kurang juga yang membaling ke rusuk Najib sendiri.
Kenyataan dari Najib ini memperlihatkan bahawa Barisan Nasional sebelum masuk gelanggang telah mula gulung tikar. Semua kenyataan-kenyatan ini adalah 'peluru-peluru hidup' yang wajib digunakan oleh Pas dan Pakatan Rakyat untuk 'menembak' jatuh calon yang dianggap kewibawaanya hanya bertaraf ' macai' tidak lebih dari itu.
Untuk sesiapa yang pertama kali sampai ke Kuala Terangganu pasti akan kagum melihat kota kecil yang indah ini. Tetapai awas – di belakang keindahan alam semula jadi ini ada 'bangkai-bangkai penyu' yang tidak mahu hanyut-hanyut ke Laut Cina Selatan. Bau busuk bangkai-bangkai penyu inilah yang patut kita sesama hidukan bukan sahaja kepada bakal pengundi di P36 tetapi kepada seluruh warga negara.
Perhatikan dengan mata yang rapi apabila memandang ke Seberang Takir. Pulau-pulau yang merah itu adalah percubaan manusia yang ingin melawan alam. Perhatikan tembok-tembok batu di tengah laut – itu juga adalah tanda keangkuhan manusia yang cuba megalih perjalanan air agar berderu masuk seperti masuknya Wang Ikhsan ke dalam kantong mereka. Semua ini adalah 'projek tipu helah' dari para penyokong Abdullah Badawi termasuk macainya Wan Farid.
Projek tipu helah ini mereka panggil Monsoon Cup. Sebenarnya tidak ada yang Monsoon dan tidak ada yang Cup. Apa yang wujud hanyalah satu cara yang dipanggil projek – hakikat tujuan asalnya hanyalah untuk menyalorkan berjuta-juta duit ke dalam saku tuan empunya projek.
Saya cukup yakin projek Monsoon Cup ini pasti akan 'meninggal dunia' sama seperti Le Tour de Langkawi, F1, South South Dialog dan beratus lagi projek di zaman Mahathir. Semua projek berbentuk ini tujuan asalnya bukan untuk kebajikan penduduk tempatan tetapi untuk merembat duit negara.
Sila pandang dan teliti Perkampongan Hadari. Di kampong ini dikatakan ada Masjid Kristal, ada replika masjid-masjid bersejarah dan entah apa lagi bangunan hinggakan belanjanya sampai 250 juta ringgit. Kononya untuk menjadikan Kampong Hadari sebagai tarikan pelancung. Sedarlah, hanya pelancung yang bodoh sahaja yang datang untuk melihat barang 'tiruan dari plastik'.
Para pelancung lebih senang melihat pantai yang landai, pulau yang hijau dari melihat sungai dan pantai yang berselirat dengan plastik. Atau pesisir pantai yang telah ditimbun tambah dengan batu-batu yang hodoh. Pelancung yang berilmu akan pergi ke tempat yang asli. Kalau kita hendak makan keropok lekor kita tidak akan pergi ke Paris tetapi kita pergi ke Lesong.
Saya sendiri amat teringin, tetapi belum sempat untuk datang melihat Perkampongan Hadari. Niat saya bukan untuk melihat keindahan Masjid Kristal tetapi saya hendak terperanjat melihat bagaimana projek tipu rakyat 250 juta ringgit ini dapat dilakukan atas nama agama Islam. Nilai 250 juta ringgit ini angka resmi. Berapa agaknya angka yang tidak resmi?
Justeru, saya cukup yakin kemenangan ada di dalam tangan Pakatan Rakyat. Jika Pakatan Rakyat dapat mengambil kembali kerusi P36 ini maka ini bermakna ombak tsunami PRU 13 belum reda.
Tidak dapat tidak kemenangan di P36 ini akan memastikan langkah ke hadapan untuk Pakatan Rakyat sampai ke Putrajaya. Kemenangan Pakatan Rakyat ini juga akan membuktikan bahawa kepimpinan Najib Razak sebagai ketua kempen Barisan Nasional tidaklah se gah mana.
Saya cukup yakin warga Kuala Terangganu tidak akan melupakan peristiwa Batu Buruk di mana peluru hidup telah digunakan untuk menembak orang ramai. Pada 17 Januari ini warga Kuala Terangganu tidak perlu membaling-baling batu lagi. Apa yang wajib mereka lakukan hanyalah memangkah calon Pakatan Rakyat.
Kemenangan Pakatan Rakyat di Kuala Terangganu adalah batu buruk yang akan menghempap United Malays National Organisation untuk selama-lamanya.
( Tulisan ini keluar dalam akhbar Harakah Jumaat yang lalu )