Rakyat nikmati banyak manfaat sepenggal berada di bawah PAS
(Hrkh) – Sekarang adalah permulaan terbaik bagi rakyat Terengganu untuk mengembalikan semula kebajikan rakyat yang dipinggirkan kerajaan sekarang.
Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, sepenggal pentadbiran kerajaan PAS Terengganu pada 1999 hingga 2004 sudah memperlihatkan banyak perbezaan khususnya dari segi kebajikan.
"Sedangkan apa yang berlaku sekarang kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih suka membazir. Hanya dengan mengundi Pakatan Rakyat boleh memberi ingatan secara berkesan kepada kerajaan negeri yang ada sekarang.
"Kita tidak perlu menilai lebih jauh antara BN dan Pakatan Rakyat, sudah cukup untuk mengukur dari segi pembaziran menerusi pembinaan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam dan penganjuran Monsoon Cup," katanya ketika meraikan rombongan dari Terengganu di sini, baru-baru ini.
Oleh itu katanya, pengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu perlu menggunakan peluang Sabtu ini untuk mengembalikan semula hak mereka.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan berkata, kejayaan ulama mentadbir Terengganu sebelum ini ternyata membawa banyak kebaikan kepada rakyat.
Sementara itu, Adun Perupok, Dato' Omar Mohammed meminta pengundi di Kuala Terengganu mencontohi rakyat di lima negeri yang diterajui Pakatan Rakyat sekarang.
"Kalau lima negeri telah jatuh kepada Pakatan Rakyat, takkan kita nak pilih balik kerajaan BN," ujarnya.
Rombongan berkenaan juga berkesempatan melawat Pasar Besar Siti Khadijah, kediaman Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka dan pasar borong Wakaf Che Yeh.