Sokongan Melayu belum jelas, Cina dijangka memihak Pakatan
(mStar Online) – Menjelang pengundian Sabtu ini, arah aliran sokongan pengundi Melayu di Kuala Terengganu masih belum jelas manakala pola undian pemilih-pemilih Cina pula dijangka beralih kepada pembangkang.
Tinjauan pendapat umum kendalian Merdeka Center menunjukkan kira-kira 11 peratus pengundi masih belum membuat keputusan mengenai calon dan parti yang mereka bakal menyokong.
"Kajian menunjukkan sukar untuk menentukan keinginan memberi undi di kalangan pemilih ketika tinjauan pendapat umum ini dikendalikan.
"Berdasarkan pemerhatian terhadap data dikumpulkan, kajian ini percaya pengundian di kalangan Melayu dijangka berbelah bahagi dengan jurang yang kecil, dengan kemungkinan lapan peratus belum membuat keputusan lagi," kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian.
Kata beliau, kecenderungan di kalangan pengundi Cina pula sukar untuk diukur tetapi pemerhatian ke atas respons yang diberikan terhadap isu-isu dibangkitkan menunjukkan sokongan mereka akan sedikit memihak kepada pembangkang.
Malah, kata beliau, pengundi-pengundi kerusi Kuala Terengganu mengutamakan kualiti calon berbanding faktor-faktor lain seperti isu dan parti-parti yang bertanding.
Tinjauan umum itu dikendalikan antara 7 dan 11 Januari lalu untuk menilai persepsi pengundi di sini terhadap isu-isu dan perkembangan yang menyelubungi pilihan raya kecil ini.
Seramai 527 pengundi berdaftar iaitu 408 kalangan pengundi Melayu dan 119 pengundi Cina ditemu bual dalam tinjauan ini.
Tinjauan menunjukkan bahawa majoriti pengundi di bahagian ini, yang majoritinya pengundi Melayu merasakan negeri Terengganu dan negara pada umumnya berada dalam landasan yang betul.
Bagaimanapun penelitian terperinci kajian ini mendapati sentimen pengundi Cina adalah lebih 'berhati-hati' dan rendah berbanding pengundi Melayu.
Kata beliau, di kalangan pengundi Cina isu peringkat nasional lebih mempengaruhi mereka berbanding isu peringkat negeri.
Berhubung kedudukan landasan negara, hanya 36 peratus responden Cina bersetuju bahawa ia berada dalam landasan yang betul dan berbelah bahagi apabila disoal mengenai arah aliran landasan di peringkat negeri, jelas beliau.
Pada masa yang sama, kata Ibrahim, 70 peratus pengundi Melayu mengatakan bahawa "keadaan adalah baik" di peringkat negeri Terengganu.
Mengenai isu-isu yang menyentuh perhatian responden, tambah beliau, 21 peratus pengundi mahu inflasi dikawal, 26 peratus ingin melihat usaha memantapkan Islam, dan 16 peratus mahukan pembangunan berterusan.
Di kalangan pengundi Cina, 53 peratus mahu kerajaan melayan bukan Melayu dengan lebih adil dan 18 peratus yang lain mahu rasuah dihapuskan.