Tinjauan umum: Pengundi mahu calon bersih, tolak rasuah
(Hrkh) – Pilihan raya kecil P.36 kali ini menjadi 'kayu pengukur'kepada rakyat di seluruh negara bagi membuat perubahan secara menyeluruh dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
Para pengundi di Kuala Terengganu mahukan calon yang bakal dipilih pada 17 Januari ini adalah di kalangan mereka yang benar-benar bersih, mesra rakyat dan tidak rasuah. Umno dan Barisan Nasional (BN) merupakan sebuah parti rasuah yang lahir dari hasil kepimpinan yang rasuah dan patut ditolak oleh pengundinya.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz sendiri melahirkan rasa jijik dengan perangai serta perbuatan ahli-ahli Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan rasuah.
"Pemimpin Umno sekarang rasuah. Beri rasuah salah (dosa), tak beri rasuah kalah, jadi Umno-BN duduk dalam serba salah," ujarnya dalam satu majlis ceramah kempen, di Kampung Tanjung, baru-baru ini.
Justeru itu, katanya tidak ada sebab mengapa calon PAS yang bersih serta tidak mengamalkan rasuah ditolak oleh rakyat sebelum ini.
Kata Dato' Nik Aziz, PAS mempunyai ramai tokoh-tokoh muka baru yang bersih serta tidak terlibat dengan gejala rasuah.
Tinjauan Harakah menemui para pengundi di empat buah Dun di Kuala Terengganu bagi mengenali personaliti calon PAS pada pandangan mata masyarakat di Kuala Terengganu.
Saudara Azwan Ali, 26, pekerja kontrak dari Kampung Padang Hiliran yang pertama kali mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu kini akan berhadapan pula dengan pilihan raya kecil P.36 Kuala Terengganu.
"Undi adalah rahsia tetapi saya sukakan calon PAS yang diwakili oleh Mohd Abdul Wahid Endut kerana dia sangat dikenali di Kuala Terengganu.
"Dia (Wahid) tidak sombong dan lebih dekat dengan rakyat kerana mudah mesra dengan sesiapa sahaja," ujarnya.
Seorang Juruteknik, Kamaruddin Hamzah, 27, dari Kampung Hiliran Jejawi menyifatkan pemilihan calon PAS bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu suatu pilihan yang tepat.
Katanya, calon PAS yang bertanding pilihan raya kecil ini mempunyai peluang cerah untuk menang kerana mendapat sokongan padu dari golongan muda.
"Dia (Wahid) ada banyak pengalaman dan pernah terajui Exco Kerajaan Negeri yang ada kaitan dengan belia, usahawan dan peniaga.
"Saya yakin orang yang seperti Haji Mohd Abdul Wahid boleh menang kerana rekod cemerlang jadi wakil rakyat lima penggal," jelasnya.
Saudara Mohd Hanafi Mohd Fadhilah, 27, mahukan calon bersih serta bebas dari anasir rasuah yang menjadi darah daging pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, rakyat perlu bijak membuat pilihan serta mengundi calon yang benar-benar bersih serta tidak mengamalkan rasuah.
"Saya tidak mahu calon yang rasuah, calon yang 'mencuri' duit rakyat dan calon yang khianat terhadap agama, bangsa dan negeri.
"Kerajaan PAS Terengganu yang ditadbir oleh ulama' pernah dikhianati dengan cara 'merompak' hasil royalti minyak supaya kerajaan PAS tumbang," ujarnya kepada Harakah, baru-baru ini.
Seorang pengusaha restoran, Encik Mohd Najmi, 42, berkata calon PAS Haji Wahid bukan sahaja pilihan PAS tetapi menjadi pilihan Pakatan Rakyat.
Ini kerana, katanya setiap kali calon PAS melawat kawasan termasuk di Kampung Tiong dan Kampung Cina sambutan sangat baik dan mesra.
"Haji Wajid calon pilihan tepat yang boleh mengalahkan calon BN kerana rakyat setempat boleh menilai perangai antara kedua-dua calon yang bertanding," tegasnya.
Seorang sukarelawan Amal, Ahmad Zulkarami Salleh, 26, berkata majoriti umum rakyat di peringkat akar umbi mahukan calon PAS dipilih dalam pilihan raya kecil ini.
"Saya baru berjinak-jinak dengan Unit Amal kerana tertarik dengan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan dan selalu berjumpa dengan Haji Wahid yang turut serta dalam program seumpama itu," ujarnya.
Katanya, calon PAS itu mudah bergaul dengan semua masyarakat tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.
Menurutnya, seluruh warga anggota Unit Amal Terengganu merakamkan ucapan tahniah kepada calon PAS (Wahid) yang pernah menerajui Dewan Pemuda PAS Terengganu.
Rakannya, Wan Mohd Naim Ismail, 23, mahukan calon PAS itu dinobatkan sebagai ahli Parlimen Kuala Terengganu sebaik sahaja selesai hari pengundian pada 17 Januari ini.
"Saya ajak semua rakan-rakan yang sebaya dengan saya atau para pengundi dalam kawasan Kuala Terengganu ini untuk sokong calon PAS ini.
"Dia (Wahid) seorang yang petah berhujah, berdebat dan terbukti dapat menghangatkan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu," ujarnya.
Menurutnya, rakyat akan kerugian jika tersalah pilih dan memilih pemimpin yang ada kaitan dengan amalan rasuah, perkauman, sombong dan berstatus bangsawan.