Moral Umno terjejas pegawai pengurus pilihan raya tarik diri


(Hrkh) – Situasi awal nampaknya berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat apabila moral Umno terjejas teruk setelah Pegawai Pengurus pilihan raya, Dato' Mat Razali Kassim menarik diri.

Malah belum pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya di negara ini apabila pegawai pengurus pilihan raya menarik diri di saat-saat akhir menjelang hari pengundian.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali berkata, tidak pernah lagi berlaku dalam sejarah pengendalian pilihan raya di negara ini pegawai pengurus pilihan raya menarik diri.

"Tindakan itu sekurang-kurangnya menjejaskan moral Umno yang kini sedang berusaha keras bagi menarik sokongan rakyat.

"Kita mempunyai bukti yang kukuh pegawai terbabit cuba mengugut kakitangan di bawahnya di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi memberi sokongan kepada calon BN," katanya ketika ditemui selepas Munajat Perdana di Masjid Penghadang Baru di sini, pagi tadi.

Petang semalam pegawai pengurus pilihan raya tersebut membuat kejutan apabila melepaskan jawatan bagi mengendalikan pilihan raya terbabit.

Beliau yang juga Datuk Bandar Kuala Terengganu menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang juga Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan menggantinya berkuat kuasa serta-merta.

Mat Razali dipetik sebagai berkata, semua dakwaan pembangkang beliau berjumpa kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan meminta mereka menyokong BN tidak benar.

Mustafa yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat berkata, pihaknya mempunyai bukti yang kukuh mengenai kenyataan mengugut bekas pegawai pengurus pilihan raya terbabit terhadap kakitangannya supaya menyokong BN.

Beliau berkata, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan pegawai pengurus pilihan raya perlu bersikap berkecuali.

Katanya sebagai pengadil pegawai berkenaan perlu bertindak adil kepada calon-calon yang bertanding.

Semalam dua orang pemuda Raja Arizal Raja Arif, 32 dan Mohd Fadzil Wahad membuat laporan polis terhadap pegawai pengurus pilihan raya kerana membuat ugutan terhadap pengundi.

Manakala kelmarin Ketua Angkatan Muda KeADILan, Mohd Fariz Musa juga membuat laporan terhadap Mat Razali.

Mustafa juga berharap SPR menjelaskan segera kenyataan pihak tertentu yang menggambarkan undi bukan lagi rahsia kerana ia boleh menakutkan kakitangan kerajaan.

"Saya telah memaklumkan perkara itu kepada pengerusi SPR dan setakat ini belum kelihatan lagi kenyataannya mengenai perkara tersebut," ujarnya.



Comments
Loading...