Penyu menangis lihat royalti minyak dibelanjakan


Dalam memenuhi tujuan pribadi ia telah memperkayakan segelintir pimpinan Umno negeri dan bagi memenuhi tujuan politik kekayaan ini telah digunakan untuk menaja projek-projek ekonomi dan politik di luar Terengganu yang ada kaitan dengan Umno.

Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif, HARAKAH

PENYAJAK Terengganu J.M. Aziz yang catat pengelihatan pernah menulis sebuah sajak yang merujuk kepada penyu Terengganu yang menangis. Ia memperlihatkan seorang ahli seni yang sensitif terhadap masalah sosial tempatan; cuma beliau tidak kaitkan dengan persoalan politik.

Tulisan ini cuba mengaitkan realiti politik Terengganu yang boleh dikaitkan dengan fenomena 'penyu menangis'. Perlambangan politik (political imagery) yang dikaitkan dengan 'penyu menangis' ialah bagaimana penyu yang menangis pada kebiasaannya ialah apabila penyu tersebut sedang bertelur.

Kalau diperhati secara dekat, penyu yang sedang bertelur itu melalui satu keadaan yang memeritkan sehingga air matanya mengalir. Ia menangis kerana seoalah-olah ia sedar bahawa telur-telur yang dihasilkan dari badannya akhirnya akan dicuri atau dipergunakan oleh manusia dengan secara yang tidak betul.

Tidak dapat manfaat

Dari sudut perlambangan politiknya, penyu merujuk kepada negeri Terengganu dan telur-telur yang dihasilkan adalah merujuk kepada kekayaan negeri Terengganu terutamanya hasil royalti minyak. Apabila disebut negeri Terengganu, ia merujuk kepada seluruh rakyat negeri Terengganu. Dalam konteks ini sebahagian besar rakyat 'menangis' dalam ertikata tidak mendapat manfaat yang sewajarnya dari kekayaan yang terhasil dari negeri Terengganu.

Ini membenarkan hakikat ekonomi yang menyebut bahawa Terengganu merupakan negeri kedua terkaya di Semenanjung Malaysia tetapi dalam saat yang sama Terengganu juga merupakan negeri yang kedua tertinggi kadar kemiskinannya. Persoalannya ke manakah perginya duit royalti minyak yang begitu banyak?

Kenapakah kekayaan ini tidak digunakan untuk memajukan ekonomi rakyat Terengganu?

Pengundi-pengundi Kuala Terengganu tidak perlu kepada segolong ijazah dari universiti untuk menjawab soalan-soalan ini. Sudah semestinya ada sesuatu yang tidak kena atau tidak beres (istilah orang Terengganu) dengan pengendalian kekayaan ini; telah berlaku penyelewengan ekonomi bagi tujuan pribadi dan politik.

Dalam memenuhi tujuan pribadi ia telah memperkayakan segelintir pimpinan Umno negeri dan bagi memenuhi tujuan politik kekayaan ini telah digunakan untuk menaja projek-projek ekonomi dan politik di luar Terengganu yang ada kaitan dengan Umno.

Ekonomi Terengganu: Telur-telur yang dicuri

Hakikat Terengganu merupakan negeri kedua termiskin di Semenanjung Malaysia terbukti benar apabila sekitar 15 peratus daripada rakyatnya berada di bawah garis kemiskinan. Begitu banyak kekayaan (terutamanya dari royalti minyak) yang terkumpul begitu lama tetapi tidak teragih secara merata di kalangan rakyat diperlihatkan dari pemilikan kekayaan yang amat tidak setara apabila kita meninjau taman-taman perumahan sekitar bandar Kuala Terengganu.

Rumah-rumah agam (bukan lagi bunglow) tersergam indah yang merupakan realiti pemilikan kekayaan yang amat contrast dengan rumah-rumah biasa. Keadaan ini amatlah mendukacitakan kerana selama tiga dekad (sebelum jatuh kepada PAS pada pilihan raya umum 1999) Terengganu adalah di bawah pimpinan Wan Mokhtar Wan Ahmad, seorang Menteri Besar yang berpendidikan agama.

Bermula tahun 1978, Kerajaan Terengganu telah menerima 5 peratus setahun royalti minyak dari Petronas. Sebagai contoh, untuk tahun 1978, Terengganu menerima RM13.2 juta dan pada tahun 1999 pendapatannya dari royalti minyak ialah sebanyak RM498.7 juta.

Ini tidak termasuk pendapatan negeri dari sumber-sumber yang lain. Secara keseluruhan (dan secara konsisten) Terengganu adalah negeri kedua terkaya selepas Selangor.

Walaubagaimana pun, kekayaan yang Allah anugerahkan untuk rakyat Terengganu telah dinodai oleh pimpinan Umno seolah-olah harta kekayaan ini bukan milik Allah tapi milik peribadi mereka.

Atas fahaman inilah iaitu kekayaan negeri Terengganu adalah milik peribadi pimpinan Umno Terengganu, maka apabila PAS mengambil alih pemerintahan negeri selepas pilihan raya umum 1999, wang royalti telah dinafikan, malah istilah yang lebih tepat telah 'dirompak' dan ditukar menjadi wang ehsan.

Cerminan keangkuhan Umno

Di sini jelas betapa penggunaan perkataan 'wang ehsan' mencerminkan keangkuhan pimpinan Umno. Dengan ehsan atau kasihan belas pimpinan Umno sahaja rakyat Terengganu dapat menikmati kekayaan dari royalti minyak. Semua rakyat mesti 'kow tow' atau tunduk melutut pada Umno; Umno telah menjadikan rakyat Terengganu sebagai 'pengemis' atau peminta sedekah.

Pengundi Kuala Terengganu mesti sedar akan hakikat ini dan mesti bangkit pada 17 Januari 2009 ini untuk membersih dan mengangkat semula maruah mereka yang sekian lama tercalar dengan menolak calon Umno. Ini bagi menghantar mesej yang jelas pada pimpinan Umno bahawa rakyat/pengundi mempunyai maruah yang tersendiri yang tidak boleh diperkotak-katikkan kerana mereka adalah hamba-hamba Allah yang dilahirkan ke dunia ini dengan penuh kesempurnaan dan tidak sewajarnya diperhinakan sedemikian rupa.

Dari sudut ini, slogan yang digunakan oleh Umno bagi pilihan raya kecil ini iaitu "Dari Rakyat, Kepada Rakyat, Untuk Rakyat" merupakan satu lakonan politik murahan Umno semata-mata.

Dari sudut ini juga terbukti bahawa pimpinan Umno bukanlah individu yang terikat dengan nilai-nilai IHSAN yang taqwa kepada Allah yang sedar bahawa Allah senantiasa memerhatikan pergerakan mereka; malah gerak hati mereka pun Allah dapat mengetahuinya kerana Allah adalah Maha Mengetahui.

Atas hakikat pimpinan Umno tidak diikat dengan nilai-nilai ihsan, maka mereka menggunakan sewenang-wenangnya kekayaan negeri tanpa mengambil kira kepentingan rakyat terbanyak terlebih dahulu. Terkini,mereka membuat jalan dalam hutan bernilai RM50 juta.

Pencuri balak

Apakah ini untuk kemudahan pencuri-pencuri balak? Kecurian balak di akhir-diakhir ini berlaku secara agak berleluasa; dan ini diakui sendiri oleh Menteri Besar dalam sidang DUN yang baru berlangsung. Mereka membazirkan wang rakyat sebanyak RM500 juta untuk acara Monsoon Cup dan pembinaan Kelab Teluk Warisan.

Penganjuran Monsoon Cup sahaja menjangkau RM50 juta setahun.

Di Kelab Teluk Warisan inilah telah berlaku satu peristiwa yang 'menggemparkan' negara apabila Perdana Menteri, cucu kepada ulama yang terbilang, telah memegang lengan yang terdedah (besar kemungkinan dengan penuh ghairah!) seorang seniwati status antarabangsa yang berasal dari Ipoh.

Mereka (pimpinan Umno Terengganu) telah membina Taman Tamadun Islam bernilai RM259 juta. Secara tidak langsung mereka telah menjadikan Islam sebagai 'Islam untuk tujuan tontonan' atau lebih tepat 'Islam Pelancungan'.

Walhal, Islam dan syariatnya perlu dihayati dalam kehidupan harian oleh penganut-penganutnya. Mereka membina pulau termasuk Pulau Warisan (RM40 juta), Pulau Bidong (RM30 juta).

Saya yakin projek-projek pulau adalah bersifat elitis, untuk kegunaan mereka yang kaya raya (termasuk pimpinan Umno) untuk bersantai bukan untuk membila nasib nelayan yang sering kali dilambung ombak derita semasa musim tengkujuh saban tahun. Demikianlah beberapa contoh 'telur-telur' penyu yang dicuri oleh pimpinan Umno Terengganu yang menyebabkan penyu sentiasa berlinang si air mata.

Keangkuhan dan persoalan imej

Disebabkan individu-individu pimpinan Umno Terengganu tidak diikat dengan nilai ihsan, perasaan keangkuhan senang merayap ke dalam jiwa mereka. Mereka akan mendabik dada dan mengatakan bahawa mereka adalah pemilik harta kekayaan yang pada hakikatnya adalah milik dan anugerah dari Allah.

Dalam keseronokan kehidupan mereka yang dilambung kekayaan, mereka lupa hakikat asas ini sungguhpun mereka mengaku bahawa mereka juga adalah seorang Islam.

Sikap elitis dan angkuh ini menyebabkan pimpinan Umno Terengganu membina satu bentuk jarak sosial (social distance) antara mereka dengan rakyat terbanyak. Penyakit ini juga terhinggap kepada calon Umno (Wan Ahmad Farid) yang bertanding dalam pilihan raya kecil ini.

Perbandingan dibuat di kalangan pimpinan PAS Terengganu, malah di kalangan pimpinan Umno sendiri, betapa Wan Farid mempunyai personaliti yang jauh berbeza dengan bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu iaitu Razali Ismail yang katanya lebih mesra rakyat.

Hujah ini nampaknya ada benarnya, apabila billboard-billboard (papan-papan tanda besar) kempen pilihan raya mempamerkan wajah-wajah Wan Farid yang sentiasa senyum, bersimpuh di depan masyarakat kampung bagi memulih imej dan personaliti Wan Farid yang tidak mesra rakyat.

Wajah Wan Farid

Ini merupakan lakonan politik Umno yang bersifat segera dan sudah semestinya tidak bersifat original. Tidak mungkin personaliti seseorang yang telah lama tertanam dalam pemikiran rakyat dapat dipulihkan dalam masa sepuluh hari kempen pilihan raya. Pengundi Kuala Terengganu tidak mudah lupa!

Persoalan imej dan personaliti calon adalah satu persoalan yang serius dalam pilihan raya. Calon pilihan raya yang mempunyai imej yang negatif mempunyai risiko dan liabilitinya yang tersendiri.

Contoh yang paling ketara ialah apa yang berlaku di Kelantan semasa pilihan raya umum 2008 yang baru lalu.

Ia berlaku kepada bekas bakal Menteri Besar Umno iaitu Awang Adek. Beliau mempunyai imej yang sama dengan Wan Farid. Raut wajah yang serius (bagi sesetengah orang mentafsirkannya sebagai sombong), tidak pernah senyum, suka berkaroake, menghisap cerut yang berharga mahal. Akhirnya beliau dilabel sebagai Awang Agah (sombong) bukan Awang Adek.

Natijahnya beliau kecundang dalam pilihan raya. Atas hakikat dan hujah ini perkara yang sama boleh berlaku kepada Wan Farid.

Dalam gelombang kebangkitan rakyat yang dikenali sebagai tsunami politik dan atas faktor kedegilan Umno untuk membuat perubahan yang signifikan selepas dihukum oleh rakyat pada pilihan raya umum yang lepas, maka apa yang berlaku kepada Awang Adek boleh berlaku kepada Wan Farid.

Gelombang kesedaran rakyat yang bermula pada 8 Mac 2008 adalah sesuatu yang bersifat signifikan dan struktural. Ini bermakna ia mempunyai daya tahan yang lama dan besar kemungkinan berkekalan. Ini dibukti benar apabila gelombang ini terus merubah lanskap politik di pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Sungguh pun penganalisis politik menjangka bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menang tetapi tidaklah dengan majoriti undi yang begitu tinggi.

Hasil dari respons pengundi yang begitu tinggi kepada ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat di pilihan raya kecil Kuala Terengganu gelombang yang sama tidak mustahil akan berlaku pada 17 Januari 2009 nanti.

Dari saat ini penyu tidak akan menangis lagi!

 



Comments
Loading...