Polis didakwa sukarkan petugas PAS


(Hrkh) – Pihak polis didakwa telah menyukarkan petugas-petugas PAS di pusat pembuangan undi Unit Peti Undi (UPU) Chendering yang menjadi tumpuan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Laporan laman web pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang dikendalikan oleh PAS menyatakan, tinjauan di kawasan tersebut mendapati terdapat dua laluan yang digunakan oleh pengundi untuk masuk ke kawasan mengundi yang mana laluan utama telah dimonopoli oleh BN.

Menurut petugas PAS, pihak polis tidak membenarkan mereka mendirikan pondok panas di laluan utama tersebut.

Tindakan polis itu menyebabkan PAS terpaksa mendirikannya di laluan kedua yang kurang dilalui pengundi.

Perayu undi juga tidak dapat merayu undi di kawasan laluan utama kerana kawalan polis dan FRU yang ketat.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu menjangkakan peluang menang lebih cerah kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut.

Beliau yang ditemui di UPU Chabang Tiga itu turut dilihat bersama sebilangan pimpinan DAP dan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang turun melawat pusat-pusat pengundian sekitar Kuala Terengganu.

Beliau menyifatkan MCA dan Gerakan takut membantu kempen BN-Umno.

"Sehingga hari membuang ini saya masih tidak lihat kelibat mereka turun membantu, jauh sekali dalam membantu merayu undi, ternyata gelombang peralihan kaum Cina di sini sangat menakutkan parti-parti komponen kuat BN itu," kata beliau.

Menurut laporan wartawan bertugas, MIC dan PPP sendiri juga dilihat tidak datang membantu kempen Umno. Ternyata Umno kelihatan lemah bersendirian dalam pilihan raya kecil kali ini. Gambar-gambar di sini.



Comments
Loading...