Suara rakyat suara keramat VI


BULAN KIAN MENGAMBANG DI KUALA TERENGGANU

Dengan mengheret nama Pengawal Peribadi Dato’ Seri Najib bernama Musa Safri dalam kes pembunuhan yang menjadi “saga” serta  pelbagai persepsi rakyat terhadap Timbalan Perdana Menteri dan calon Presiden Umno itu, tentunya semakin  sukar untuk dibendung atau diselindungi  kisah disebalik kematian Altantuya Shaaribuu.

KAMAL AMIR MENULIS

PERLETAKAN Jawatan Datuk Mat Razali Kasim sebagai Pengurus Pilihanraya kecil Parlimen P 36 di Kuala Terengganu merupakan satu kejutan di saat-saat akhir hari pembuangan undi di kawasan tersebut disamping itu mencatat sejarah baru dalam pilihanraya di negara ini.

Belum pernah berlaku sebelum ini mana-mana pegawai atau kakitangan kerajaan yang diamanahkan sebagai pengurus pilihanraya “lari” di saat-saat akhir.Meskipun ekoran dari peristiwa tersebut menimbulkan pelbagai persepsi serta cakap-cakap, namun yang pasti tindakan tersebut bukanlah sesuatu yang menguntungkan pihak pemerintah kerana dalam situasi sedemikian rakyat dan juga pengundi pastinya meyakini mungkin ada sesuatu yang tidak kena.

Dalam lain perkataan, dengan perletakan jawatan sebagai Pengurus Pilihanraya kecil  oleh Datuk Mat Razali Kasim, rakyat khususnya para pengundi di kawasan Kuala Terengganu bakal dijengah pelbagai pertanyaan kemungkinan ada yang “tidak betul” sedang berlaku.

Walaupun sebelum ini beberapa orang pemimpin dari Pakatan Rakyat telah mengemukakan bantahan dengan mendakwa Datuk Mat Razali Kasim berperanan cuba mempengaruhi pengundi agar memihak kepada calon Barisan Nasional Datuk Wan Ahmad Farid, dengan berlakunya perletakan jawatan tersebut  ia turut merupakan satu kemenangan moral bagi calon Pakatan Rakyat Abdul Wahid Endut.

Dan malam ini sewaktu memandu kereta berseorangan sekitar jam 12.30 malam saya memandang kelangit dan melihat sinar bulan purnama semakin mengambang. Jika cuaca masih berkekalan terang esok pastinya bulan akan mengambang penuh. Apakah ini turut merupakan bisikan alam yang semakin lantang berbicara bagai memberi tahu ada sesuatu yang lebih bermakna bakal terjadi.

Seperti yang seringkali saya kisahkan lewat tulisan di halaman ini ataupun di beberapa akhbar bagaimana “ alam juga  turut berbicara melihat kepincangan manusia”. Peristiwa  di pantai Pekan, Pahang, saekor Yu besar telah mati terkapar beberapa  bulan lalu bagaikan mahu menyatakan “bangkai gajah sudah tidak mampu ditutup dengan nyiru” lagi.

Dan hari ini Mahkamah Tinggi Shah Alam mula membicarakan kes pembunuhan paling sadis abad ini Altanttuya Sharibu di mana tertuduh utama Chif Inspektor Azilah menyatakan bahawa terdapat beberapa nama lain turut terkait sama. Selain dari al kisah Abdul Razak Baginda, beliau turut memberitahu mahkamah bahawa sebelum peristiwa tersebut berlaku Pengawal Peribadi Dato’ Seri Mohd Najib bernama Musa Safri telah memberikan arahan kepadanya.

Dengan mengheret nama Pengawal Peribadi Dato’ Seri Najib bernama Musa Safri dalam kes pembunuhan yang  menjadi “saga” serta pelbagai persepsi rakyat terhadap Timbalan Perdana Mentri dan calon Presiden Umno itu,  tentunya semakin  sukar untuk dibendung atau diselindungi kisah disebalik kematian Altantuya.

Sesungguhnya pilihanraya kecil Kuala Terengganu merupakan ujian asid bagi karier Dato’ Seri Najib  sebagai calon teraju utama di anjung Seri Perdana. Seandainya calon Barisan Nasional tumbang kepada Abdul Wahid Endut bererti laluan baginya ke puncak kekuasaan  bagaikan tersekat.

Ini disebabkan sejak menjadi Pengarah (general) Pilihanraya umum pada 8 Mac  2008 lalu beliau gagal mempertahankan lima buah negeri yang tumbang oleh arus kebangkitan “Suara Rakyat Kuasa Keramat” dan sekali gus menolak dominasi dua pertiga kerusi Parlimen.

Begitu juga dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, calon Parti Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja berjaya mempertahankan penguasannya di kawasan tersebut, malahan undi yang diperolehinya melonjak berganda-ganda mahoritinya. Situasi tersebut menggambarkan gagalnya beliau sebagai Pengarah Pilihanraya.

Seandainya di Kuala Trengganu esok calon Barisan Nasional (Datuk Wan Ahmad Farid) kecundang kepada Abdul Wahid Endut  calon Pakatan Rakyat mewakili parti Pas bererti jelas penolakkan rakyat terhadapnya kerana beliau juga adalah menjadi teraju serta pemain utamanya. Sewajarnya “Suara Rakyat Kuasa Keramat” dihormati oleh semua pihak.

Mungkin kerana itulah Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mula memberi bayangan bakal adanya perubahan besar di Parlimen nanti kerana cerita “lompat melompat“ kalangan ahli Dewan Rakyat bukan lagi cerita baru dan tidak sekadar cakap-cakap kosong. Sejauh mana dan seberapa ramai  wakil rakyat Barisan Nasional melompat ke lubuk Pakatan Rakyat, hanya waktu dan ketika penentu segalanya.

Tengahari tadi bertempat di Hotel Istana, mantan Menteri Kewangan dan Menteri Perdangan Antarabangsa Tengku Razaleigh Hamzah sekali lagi mendesak agar pimpinan kerajaan “bercakap benar” serta menginsafi bahawa  gelombang “tsunami” ekonomi semakin menghampiri melanda negara ini. Dalam nada penuh serious beliau mengungkapkan :-

Marilah kita bermula dengan mengakui bahawa kita tidak akan terlepas daripada kesan krisis ekonomi global ini. Para pemimpin kita boleh merosakkan kredibiliti kerajaan apabila mereka cuba menggambarkan suatu realiti lain bagi kita. Saya sedar  bahawa kita tidak mahu menakutkan atau menggemparkan pasaran kita dan para pengundi tetapi kita tidak hidup dalam dunia maklumat buih. Hanya orang yang benar-benar jahil akan berpura-pura bahawa keadaan kita di negara ini semuanya baik-baik belaka manakala dunia lain seluruhnya sedang menghadapi apa yang disebut oleh Jeffery Sachs “ekonomi dunia yang sedang berada di ambang malapetaka yang belum pernah berlaku  sebelumnya”.

Para pemimpin yang tidak mengakui wujudnya krisis yang serius ini haya akan menimbulkan syak di kalangan rakyat bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai apa-apa idea untuk menangani krisis itu. Mereka boleh merosakkan kredibiliti kerajaan sedangkan kredibiliti itu, yakni keyakinan, adalah merupakan  isu utamanya.

“Kita perlu memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi-institusi asas kita, terhadap kepimpinan kita, terhadap peraturan undang-undang dan terhadap Perlembagaan negara kita. Pendek kata, kita perlu memulihkan keyakinan orang terhadap Malaysia. Hal ini penting untuk kemajuan ekonomi negara.Keyakinan yang sebanarnya adalah harapan yang berdasarkan kesediaan dan kebolehan kita untuk memahami kebenaran.

Negara tidak lagi dapat bergantung pada politik yang terpisah daripada realiti dan pada kerajaan yang telah melupai tujuan dan matlamatnya. Kita perlu membaharui corak kepimpinan negara – ini merupakan langkah pertama dalam usaha kita untuk memulihkan keyakinan terhadap negara ini.

Statistik ekonomi hanya merupakan petunjuk tentang kegiatan dan harapan masyarakat Malaysia yang sedang kita bina; ini bererti bahawa membina ekonomi and membina negara dan mewujudkan kerajaan yang baik dan jujur, bukanlah matlamat yang dapat dicapai secara terpisah-pisah tetapi hendakkah bersepadu. Membangkitkan keyakinan samalah ertinya dengan memberi tenaga baru kepada projek membina Malaysia.

Sejauh mana pimpinan negara mahu menerima pakai saranan dari seorang ahli teknokrat bernama Tengku Razaleigh Hamzah ? Sejauh mana jujurnya ketua negara seperti Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak  bersedia menerima hakikat ini? Biar apa pun yang pastinya rakyat tidak mungkin bersedia merelakan kerosakan demi kerosakan  terus  berlaku. Masanya sudah sampai untuk rakyat segera menoktahkan percaturan politik semberono yang selama ini menjerut kehidupan rakyat.

Berita terbaru yang saya terima dari negeri Perak Darul Redzuan  menyatakan kemungkinan besar Ketua Umno Bahagian Larut Datuk Raja Ahmad bersama para pengikutnya bakalmembuat peristiharan keluar dari Umno kerana berasa kecewa oleh percaturan politik yang tercetus dibahagian tersebut.

Seandainya berita ini benar terjadi…. Quovadis masa depan Umno??????

Biar apa pun  kepada para pengundi di Kuala Terengganu  yang akan  melaksanakan tugasanggung jawab sebagai warganegara merdeka ini dalam tempoh  dua puluh jam dari sekarang saya ucapkan selamat  mengundi. Hargailah nilai setiap undi yang dipangkah bukan sekadar dua atau tiga ribu ringgit. Ia tidak boleh di jual beli. Selamat melunaskan “ Suara Rakyat Kuasa Keramat”.



Comments
Loading...