Wahid, isteri, 5 anak paling awal mengundi


Mohd Nor Yahya, Harakah

Proses pengundi bagi menentukan lanskap baru politik negara sudah bermula sebentar tadi. Kira-kira jam 7 pagi tadi petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa masuk peti undi.

Ketika tempat pengundian dibuka calon PAS, Haji Mohd Abdul Wahid Endut bersama isterinya Wan Fatimah Wan Abdullah bersama lima anak antara pemilih pertama yang menunaikan tangggungjawab.

Sekurang-kurang sejak awal lagi PAS sudah mendapat tujuh undi pertama.

Mereka tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga kira- kira jam 7.45 dengan diiringi beberapa penyokong. Bagaimanapun pintu masuk utama ke tempat pengundian hanya dibuka jam 8.05 pagi.

Ketibaan Abdul Wahid disambut petugas PAS dan wartawan yang sejak awal menunggu. Petugas dari awal lagi memenuhi bangsal panas di kawasan berhampiran. Kedudukan bangsal panas PAS dan BN bersebelahan.

Petugas di bangsal panas PAS nampak lebih meriah dengan kehadiran ramai petugas tempatan dan bantuan dari negeri-negeri lain.

Suasana yang tenang tiba-tiba menjadi lebih rancak setelah pusat pengundian dibuka. Kehadiran anggota polis semakin ramai yang berkawal ketat di kawasan berhampiran.

Kedai-kedai makan di sepanjang jalan menghala ke tempat mengundi penuh sesak sejak awal pagi. Rezeki mulai melimpah bagi rakyat Terengganu sejak 6 Januari lalu.

Abdul Wahid bersama isteri membuang undi pada jam 8.15 pagi. Dan sebentar tadi sudah keluar dari pusat pengundian tersebut.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas itu beliau melahirkan rasa gembira di atas kesungguhan jentera parti dengan bantuan daripada rakan-rakan KeADIlan dan DAP.

"Saya juga berharap Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang baru dilantik menggantikan Datuk Bandar yang mengundurkan diri dapat melaksanakan tugas dengan adil dan saksama.

"Tindakan pengurus pilihan raya sebelum ini menarik diri menjelang saat-saat pembuangan undi merupakan satu sejarah baru di negara ini yang tidak pernah berlaku," katanya.

Wahid kini sedang meninjau kawasan pengundian di Sekolah Kebangsaan Sri Nilam yang juga terletak di kawasan Dun Wakaf Mempelam.

Sementara itu, kehadiran pengundi semakin ramai sekarang. Cuaca yang cerah dan bersinar pagi ini menyebabkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab lebih awal.

Situasi yang sama juga berlaku di Sekolah Kebangsaan Kuala Ibai, lapor Intan Abdullah.



Comments
Loading...