Pengundi Masih Marah Kepada BN
PADA hari Jumaat, 16 Januari, akhbar arus perdana Berita Harian menyiarkan tajuk berita berbunyi “Harapan BN Cerah” dan meramalkan parti kerajaan pusat itu akan mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Akhbar kembarnya, New Straits Times pula berkata : “Barisan Upbeat, Pas Edgy” (Barisan Yakin, Pas Gementar).
BH menokok tambah dengan menyiarkan temu ramah dengan Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak di mana Timbalan Presiden Umno itu menyangkal persamaan antara Kuala Terengganu dan Permatang Pauh.
Utusan Malaysia memilih tajuk berita yang lebih neutral berbunyi “Jangan Terpengaruh Serangan Peribadi” dan semalam (17 Januari) menyiarkan tajuk ringkas “Siapa Pilihan Pengundi?”
Ternyata sekali BH dan NST membuat ramalan yang songsang sama ada kerana maklumat dan perisikannya tidak tetap atau kerana mahu menjaga hati pihak-pihak tertentu.
Seperti umum sudah maklum BN gagal mempertahankan Kuala Terengganu malah telah kalah dengan teruk.
Calonnya, Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon Pas, Abdul Wahid Endut dengan 2,631 undi. Dia memperoleh 30,252 undi berbanding Abdul Wahid yang memperoleh 32,883 undi.