Peralihan kerajaan pusat semakin dekat – pensyarah
(Hrkh) – Kegagalan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kelmarin secara tidak langsung memberi nafas baru peralihan kerajaan persekutuan seperti diuar-uarkan 16 September lalu.
Kedudukan Pakatan Rakyat di parlimen bertambah satu lagi menjadikan sekarang 83 kerusi manakala BN terus susut kepada 137 kerusi berbanding 140 pada Mac tahun lalu.
Ini kerana akhir tahun lepas BN kehilangan dua kerusi di Sarawak selepas SUPP keluar daripada BN.
Berdasar kepada perkembangan itu ramai pihak berhujah usaha Pakatan Rakyat untuk melangkah ke Putrajaya kini semakin hampir.
Seorang pensyarah Sains Politik di USM berkata, petanda kerajaan pusat akan bertukar tangan kemungkinan berlaku dalam waktu terdekat ini.
"Situasi ke arah itu kelihatan sudah tidak terlalu jauh dengan perkembangan yang berlaku di Kuala Terengganu Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi di sini.
Pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terangganu calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut memperolehi majoriti agak besar iatu sebanyak 2,631 undi.
Adun Wakaf Mempelam itu mendapat sebanyak 32,883 undi, manakala Dato' Wan Farid Wan Salleh daripada BN pula – 30,252 undi dan calon Bebas, Azharuddin Mamat, 193 undi serta hilang deposit.
Pilihan raya tersebut mencatat sejarah apabila pasukan polis paling ramai dikerah ke Kuala Terengganu, biar pun angka rasmi diberi Menteri Dalam Negeri sebanyak 3,500 anggota.
Maklumat tidak rasmi menyebut 10,000 anggota polis berligar di Kuala Terengganu yang turut dilengkapi dengan bantuan helikopter dan kereta perisai.
Pensyarah terbabit juga berkata, biar pun BN terus mengalami kegawatan sokongan rakyat, namun pemimpin parti terbabit masih lagi mengamalkan state of denial.
Katanya, pemimpin kanan Umno masih lagi menganggap kebencian rakyat terhadap parti terbabit seolah-olah sentimen yang hanya bersifat sementara, sedangkan hakikat sebenar tidak.
Pengerusi KeADILan Kelantan, Aziz Abdul Kadir berkata, rakyat tidak lagi termakan rasuah projek dan wang ringgit seperti yang ditabur di Kuala Terengganu baru-baru ini.