Bila pemimpin ciluk dan kaki belit


UMNO SEMAKIN PINCANG

Setelah menyedari diri mereka diperdaya oleh pimpinan maka pada malam terakhir kempen pilihanraya kecil itu jentera pemuda dibeberapa kawasan terutama di DUN Wakaf Mempelam dikatakan hampir lumpuh.

KAMAL AMIR MENULIS

KORUPSI, KRONISMA dan NEPOTISMA merupakan budaya lumrah yang semakin rakus meratah institusi politik tanah air. Warga watan bagaikan dipasung minda mereka untuk menerima perilaku songsang pemimpin atas nama menghormati dan taat setia. Kalaupun ada mana-mana individu cuba mencetuskan persoalan sedemikian, ia sekadar dianggap sebagai “suara – suara sumbang” serta “nyamuk-nyamuk kerdil”  yang tidak mampu mengugat atau menjejaskan sesiapa.

Cerita “bail out” atau  usaha menyelamat hanya tertumpu  di kalangan syarikat-syarikat milik kroni dan orang terdekat dengan pemimpin. Meskipun ratusan juta wang rakyat “lebur” dilaburkan melalui pelbagai skim namun warga bangsa hanya termampu mengeluh dan mengeluh.

Kekayaan negara hasil pelbagai sumber perladangan dan perlombongan termasuk aliran minyak  beratus billion setiap tahun bagaikan diagih-agihkan di kalangan  orang tertentu. Setiap anak watan biarpun bertaraf pribumi hanya dibenarkan untuk mendengar labun pemimpin tentang mewah dan kayarayanya bumi ini sedangkan hasilnya terus dikaut untuk mengisi tembolok orang keliling.

Jika ada mana-mana pihak cuba membangkitkan sesuatu isu yang ada hubung kaitnya dengan persoalan nepotisma, kronisma ataupun korupsi maka mereka akan segera diseret kemuka pengadilan untuk menghadapi pelbagai tuduhan seperti mengancam keselamatan negara ataupun lebih jelik lagi dituduh sebagai “racis”.Sila lihat untung nasib yang dialami oleh Raja Petra Kamaruddin yang terpasung seketika untuk direhatkan di Kemunting.

Seandainya sesaorang itu mengangotai partai politik pemerintah samada ahli Umno, MCA, MIC, Gerakan atau mana-mana parti gabungan cuba memperjuangankan soal keadilan untuk rakyat maka tindakan segera diambil terhadap mereka atas nama “tindakan disiplin” .  Mantan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan Kapten (B) Datuk Abu Zahar adalah contoh paling jelas yang  “ditendang” keluar dari Umno kerana cuba membangkitkan perilaku korupsi dan nepotisma di kalangan pemimpin tertinggi parti tersebut.

Hairannya, setiap ahli Umno yang hebat berucap di pentas politik kononnya sebagai pejuang bangsa  dan meletakkan perjuangan rakyat sebagai landasan berpolitik hanya sekadar mampu berdiam diri apabila melihat teman dan rakannya “ditendang keluar” dari Umno tanpa mampu melakukan sebarang protes atau bangkangan.

Melihat kenyataan tersebut saya teringat kata-kata Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail sekitar tahun 1989 di mana dalam satu majlis anjuran Pergerakan Pemuda Umno di Dewan Merdeka PWTC, Allahyarham secara lantang menyatakan, “ amat malang sekali apabila ahli Umno khususnya pimpinan pemuda hari ini sudah ketandusan idelisma.

“Pemuda Umno lebih banyak meletakkan kepentingan diri mengatasi perjuangan parti. Tidak seperti para pemimpin pasca kemerdekaan dan saat menuntut kemerdekaan dahulu, mereka lebih berani, vokal serta sanggup menghadapi sebarang kemungkinan dalam mempastikan perjuangan bangsa mengatasi segala-galanya.”

Kata-kata tersebut masih lagi  berdengung dalam petak pemikiran saya hingga ke hari ini. Dan ternyata apa yang disebut oleh Allahyarham bukan sekadar omelan tanpa realiti. Lebih malang lagi apabila ahli Umno diperingkat akar umbi semakin terpasung minda mereka untuk diperhambakan oleh pemimpin tanpa mampu menyanggah atau menyongsong setiap kepincangan.

Sewaktu musim pilihanraya umum dan pilihanraya kecil di Permatang Pauh serta Kuala Terengganu, saya melihat bagaimana liciknya pemimpin mendominasikan minda ahli-ahli Umno dengan pelbagai helah dan seusai musim pilihanraya mereka inilah yang gah bergaya menukar kereta baru serta melancong keluar negeri.

Kalangan  ahli pemuda di peringkat akar umbi  hanya sekadar diberi upah seratus ringgit untuk memasang bendera dan kain sepanduk berlatarkan gambar parti serta calon yang bertanding. Sedangkan pemimpin mereka “gemuk” mengaut untung ratusan ribu atas nama wang peruntukan pilihanraya.

Bertanyalah dengan ahli-ahli Pergerakan Pemuda Umno di Kuala Terengganu, berapa upah yang diperolehi oleh mereka sepanjang kempen pilihanraya kecil  di kawasan  tersebut dua minggu lalu. Menurut sumber  yang memberitahu saya ada kalangan jentera pemuda melopong tiada menerima upah memanjat tiang letrik dan telefon untuk memasng bendera serta kain sepanduk sedangkan dimesyuarat gerak kerja ada peruntukkan disediakan untuk mereka.

Setelah menyedari diri mereka diperdaya oleh pimpinan maka pada malam terakhir kempen pilihanraya kecil itu jentera pemuda dibeberapa kawasan terutama di DUN Wakaf Mempelam dikatakan hampir lumpuh. Sejauh mana benar cerita ini ada baiknya kita bertanya dikalangan  ahli pemuda akar umbi.

Kejadian “ciluk menciluk” wang peruntukan  pilihanraya dilakukan oleh kalangan pemimpin Umno bukan lagi fenomena baru, malahan kejadian sedemikian dikatakan berlaku dikebanyakan musim pilihanraya kecil di mana  peribahasa “ tongkang pecah yu kenyang” menjadi realiti.

Berbeza dengan pimpinan parti pembangkang, mereka lebih telus dan jujur melaksanakan wadah perjuangan. Terkadang terdapat dikalangan ahli pimpinan pemudanya  duduk semeja makan “nasi bungkus” bersama dengan anggota jentera parti. Setiap sen wang peruntukkan dibelanjakan samarata tanpa adanya “ciluk menciluk, belit membelit”. Malahan ada kalangan pemimpinnya  tidur di masjid dan rumah kenalan, tidak di hotel-hotel mewah.

Kalau wang peruntukkan pilihanraya pun sanggup dikebaas oleh pemimpin, bagaimana pula jadinya wang rakyat beratus billion yang tetdapat di khazanah negara saat mereka ini diberi kesempatan berada di anjung kuasa?  Kerana itu tidak hairanlah jika rakyat semakin bosan melihat kebobrokkan dalam Umno.

Sesungguhnya parti Umno tidak salah, perjuangan Umno juga tidak tersasar, yang menjadikan Umno tempang bagaikan bahtera yang robek tiang layarnya adalah percaturan sempit serba “sempang  peranang” pemimpinnya.

Pemimpin Umno hari ini lebih rakus dari jembalang tanah. Bagi mereka ahli Umno hanyalah sekadar “hamba abdi” yang  wajar dibayar upah seratus dua ratus. Nilai dan martabat ahli Umno cukup dengan dihulur wang tiga empat ratus ringgit untuk dipasung minda mereka menjadi abdi setia.

Dengan bermodalkan wang ringgit, pimpinan Umno menabur umpan di kalangan ahli=-ahlinya untuk dipancing keyakinan  agar melihat diri pemimpin itu cukup hebat, cukup berketerampilan sebagai pemimpin. Mana –mana ahli yang cuba menentang perhambaan minda sedemikian maka dia harus bersedia untuk “ditendang keluar” tanpa sebarang belas kasihan berselindungkan disebalik “tindakan disiplin parti”.

Jangan lagi kita bermimpi untuk melihat suburnya kritikan kalangan ahli terhadap kepincangan pemimpin. Usah diharapkan  bakal munculnya pemimpin berani menentang arus kerana risiko terhadap mereka ini cukup mengharukan. Terkadang, kritikan dikalangan ahli dianggap sebagai ancaman kepada kerjaya pemimpin.

Keterbukaan untuk menerima kritikan serta teguran lebih subur dalam parti-parti pembangkang yang melihat suara ahli adalah “kuasa keramat” mampu menumbangkan sesaorang pemimpin. Meskipun hari ini Pakatan Rakyat telah menguasai lima buah negeri termasuk di Wilayah Persekutuan, namun setiap pimpinannya samada di peringkat akar umbi mahupun di peringkat pusat,  tetap bersedia mendengar pandangan dan kritikan ahli biasa.

Mungkin kerana itulah pimpinan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Tuan Guru Nik Aziz, dan pimpinan yang lain, bersedia  berhadapan pelbagai cacaian dan omelan berita bohong yang diutarakan oleh media arus perdana kerana sudah “mangli” dengan pelbagai bentuk kritikan.

Sementara itu pimpinan yang menerajui kerajaan Barisan Nasional, akan merasakan kritikan dari kalangan ahlinya adalah sebagai usaha untuk menjatuhkan mereka. Bertolak dari itulah sebarang bentuk pandangan atau kritikan ahli akan segera disanggah dan dikenakan pelbagai bentuk tindakan.

Selagi pemimpin Umno masih mahu dipuja dan dipuji, selagi minda ahli Umno dipasung untuk sentiasa takut membawa suara kebenaran, maka  semakin hampirlah parti umat Melayu bernama Umno akan ditalkinkan.

Datanglah berapa kali pilihanraya kecilpun diadakan untukmasa terdekat ini, usahkan untuk merampas semula kerusi yang dimiliki oleh pakatan rakyat, malahan  kerusi hebat di kubu kuat Umnopun pasti bakal mengalami kekalahan. Malahan seandainya diadakan pilihanraya umum sekali lagipun, hasrat mahu merampas semula lima buah negeri yang jatuh ketangan Pakatan Rakyat hanyalah bagikan mimpi di siang hari.

Dan khabarnya, Sarawak bakal menghadapi pilihanraya umum Dewan Undangan Negeri. Selagi pemimpin yang ada dalam kerajaan  Barisan Nasional masih ditakuk lama, yang pasti kebangkitan gelombang “Suara Rakyat Kuasa Keramat” akan menerjah. Hari-hari terakhir buat kerajaan Barisan Nasional bagaikan sukar untuk diselamatkan lagi…… fikir-fikirkanlah.



Comments
Loading...