Perutusan Tahun Baru Cina 2009


Tahun Baru sudah menjelma.

Masyarakat Tiong Hua merayakannya tahun ini, setelah berlakunya beberapa rentetan peristiwa dan dalam suasana ekonomi global yang tidak memberangsangkan.

Pilihanraya umum 8 Mac 2008 telah menyaksikan pencorakkan pengundian yang jauh berbeza dari keputusan yang diperolehi pada tahun 2004.   Parlimen Malaysia kini meriah dengan adanya 82 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.   Sepuluh daripada Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat adalah wanita.   Kesemua mereka menjaga penjuru masing-masing dalam Dewan Rakyat demi kepentingan rakyat jelata.

Kemenangan juga diraih dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Terima kasih, rakyat Malaysia, khususnya para pengundi Tiong Hua kerana memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat.

Proses transisi transformasi di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat akan memerlukan sedikit masa.   Rakyat juga berperanan dalam memberi maklumbalas terhadap jentera kerajaan-kerajaan negeri dalam rangka memastikan keseluruhan jentera kerajaan mencapai wawasan, misi dan piagam pelanggannya.Terlalu banyak yang perlu diperbetulkan mengenai warisan yang ditinggalkan oleh kerajaan negeri Umno-BN yang lalu, khususnya di negeri Selangor.Pengurusan ekonomi yang lebih telus dan berorientasikan rakyat sepenuhnya sedang dibibitkan agar menjadi budaya di kalangan seluruh jentera dan kakitangan kerajaan negeri, khususnya negeri Selangor Darul Ehsan.

Wanita Malaysia membentuk kira-kira 50% bilangan populasi Malaysia.   Sungguhpun tercatat wanita Malaysia tidak mengalami terlalu banyak permasalahan dalam peluang-peluang ekonomi, pendidikan dan keperluan perkhidmatan kesihatan, masih banyak ruang untuk diperbaiki, terutamanya dalam proses membuat keputusan di berbagai aras.   Penglibatan wanita dalam menentukan sesuatu keputusan adalah sebahagian dari perlaksanaan sistem demokrasi.   Setelah lebih 20 tahun Dasar Wanita Negara wujud, aspek itu masih belum memenuhi peratus yang dikehendaki.   Ahli-Ahli Parlimen wanita masih terlalu rendah bilangannnya, dan bilangan Menteri dalam kabinet kerajaan makin merosot dari masa ke semasa sehingga kini.   Status sedemikian perlu diperbaiki agar 50% penduduk Malaysia diwakili dengan baik dan dapat pula difahami dan dijamin kebajikan dan keperluan hakiki mereka dengan baik.

Tahun 2009 telah dibuka tirainya dengan kematian ribuan wanita dan anak-anak Palestin di bumi Gaza.   Di beritakan bahawa anak-anak telah ditembak mati dari jarak dekat – suatu kezaliman yang tidak dapat diungkapkan hanya dengan kata-kata.   Bilakah unsur-unsur ganas, kehaiwanan ini akan berakhir?   Kelesuan dan kebisuan negara Islam, khususnya yang berbangsa Arab, ketika dan selepas Gaza diganyang oleh Zionis Israel, menambah sebak di dada.    Sikap kerajaan Mesir yang tidak membuka sempadan bersama Gaza telah dengan sengaja membiarkan rakyat Palestin di Gaza terkepung dan terdedah dengan kezaliman Zionis-Israel secara semberono hati; kazaliman yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah dunia dan kemanusiaannya (sila lihat teks perbahasan Ketua Wanita KeADILan menerusi Parlimen Ampang di Sidang Khas Parlimen 12 Januari lalu, selepas teks perutusan ini).

Wanita KeADILan telah dan akan terus mewarnai perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan.   Dalam perkembangan politik domestik, Wanita keADILan akan terus menjana dan melatih serta menyediakan takungan pemimpin wanita yang bersedia menggarap dan melaksanakan tuntutan reformasi pentadbiran negara.   Keadilan yang merata, tanpa mengira parti politik, ras dan agama, adalah menjadi ciri perjuangan.  

Dalam kesempatan perutusan Tahun Baru ini, Wanita Malaysia diseru untuk memainkan peranan mereka secara kolektif, bertujuan memberi impak yang berkesan dalam memenuhi berbagai agenda rakyat dari sudut perspektif gender.

Kepada seluruh warga Tiong Hua, Selamat Menyambut Tahun Baru, Gōngxǐ fācái, Xian Nian Hao.

Zuraida Kamaruddin

Ketua Wanita

Parti Keadilan Rakyat



Comments
Loading...