Suspek kes bunuh ditahan dalam perarakan mayat Kugan


(Bernama) – Seorang lelaki yang dikehendaki polis adalah antara enam orang yang ditahan di hadapan pintu masuk utama Pusat Perubatan Universiti Malaya semasa menyertai perarakan membawa mayat suspek curi kereta A Kugan hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib berkata lelaki berusia 55 tahun itu disyaki terbabit dalam kes bunuh.

Dia dan yang lain ditahan antara jam 12.15 tengah hari dan 1.35 tengah hari kerana enggan bersurai setelah polis memberi arahan untuk berbuat demikian.

Polis dijangka membebaskan lima yang lain itu dalam waktu terdekat setelah keterangan mereka direkodkan. Lima lelaki itu berusia antara 39 tahun dan 52 tahun.

Seramai 300 orang berkumpul di dalam dan di luar perkarangan pusat perubatan tersebut dan dikawal 100 anggota polis. Beberapa ahli politik turut kelihatan.

Mayat Kugan kemudian dibawa ke balai polis Taipan di Subang untuk upacara keagamaan sebelum diarak kira-kira 500 meter dari Bangunan DHL ke Batu 14, Puchong, untuk acara pengebumian pada 5.45 petang tadi.

Kugan ditahan pada 15 Januari kerana disyaki terbabit dalam kes curi kereta.

Dia mati di balai berkenaan pada 22 Januari semasa disoal siasat.

Polis pada mulanya berkata dia mati akibat paru-paru berair tetapi keluarganya mengesyaki sesuatu dan meminta agar bedah siasat kali kedua diadakan.

Berikutan hasil bedah siasat itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, mengklasifikasikan kematian Kugan sebagai kes bunuh



Comments
Loading...