Fauzi dibawa temui Najib bangkitkan masalah peribadi


Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin mengakui membawa Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ipoh Barat, Fauzi Muda menemui Datuk Seri Najib Razak pada Mac tahun lalu bagi membolehkan pemimpin PKR itu memberitahu masalah peribadinya kepada Timbalan Perdana Menteri.

Katanya beliau tidak mengenali Fauzi sebelum itu tapi bersetuju membenarkannya mengikuti beliau dalam pertemuan dengan Najib itu kerana pemimpin PKR itu mengenali seorang kawannya bernama Suleiman Mansor.

“Kami menemui Datuk Seri Najib di kediamannya. Ada sekitar 10 orang tetapi sepanjang perbincangan itu, tidak timbul soal tawaran kepada wakil rakyat di Perak supaya menyertai Barisan Nasional,” katanya pada satu sidang akhbar di sini bagi merujuk kepada dakwaan Fauzi kononnya dia (Fauzi) ditawarkan RM50 juta untuk membawa masuk sekurang-kurangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak daripada PKR untuk menyertai BN. 

Zainal Abidin juga menafikan beliau terbabit dalam cubaan memujuk wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat menyertai BN.

Kepada satu soalan, Zainal Abidin berkata beliau bersetuju membawa Fauzi menemui Najib “semata-mata kerana mahu membantu seseorang yang memerlukan bantuan.” – Bernama 



Comments
Loading...