“Kejor mengejor di Perak”


POLITIK SEMPANG PERANANG

Kesan dari situasi tersebut menurut bancian yang dianjurkan oleh Malaysia Today melalui laman blognya sehingga jam 2.30 malam 3 Februari (Selasa) seramai 12,850 pembaca mahukan agar kerajaan Negeri Perak di bubarkan bagi membolehkan satu pilihanraya mengejut (snap election) diadakan.

KAMAL AMIR MENULIS

KELAM KABUT, bercelaru, bercempera dan cukup sempang peranang jadinya situasi politik di negeri Perak Darul Redzuan sejak tercetusnya cerita lompat melompat di kalangan ahli dewan undangan negeri tersebut.

Rencam merencam jadi tambah berserabut apabila Suruhanjaya Pilihanraya mengumumkan bahawa surat perletakan jawatan dua Adun dari Parti Keadilan Rakyat (Jamaluddin Mat Radzi, Dun Behran, dan Kpt (b) Osman Jailu, Dun Changkat Jering) tidak dianggap sah lagi mutlak bagi membolehkan diadakan pilihanraya kecil di dua kawasan tersebut meskipun Speaker Dewan Undangan Negeri Perak telahpun mengumumkan secara resminya kedua-dua kerusi milik PKR kosong.

Seminggu sebelum kejadian culik menculik dan ciluk menciluk cukup mengharu birukan landskap politik Perak, Adun kawasan Bota Datuk Nasharuddin Hashim yang mewakili  Barisan Nasional telah mengumumkan keluar dari gagasan BN  menyertai kerajaan Pakatan Rakyat atas  alasan mahu melaksanakan tugas dan tanggung jawab sebagai wakil rakyat secara lebih  efisyen.

Mantan Menteri Besar Datuk Seri Tajul Rosli pula dalam satu wawancara dengan media massa ada mengungkapkan kenyataan seperti berikut: “kita tengoklah sehari dua lagi apa perkembangan yang bakal terjadi, siapa yang akan keluar dari pakatan rakyat dan siapa yang  menyertai Barisan Nasional.“ Apakah cerita dua AdunPkr itu memang tersedia terancang?

Dan selepas membuat kenyataan tersebut beliau dilaporkan mengosongkan jawatan Pengerusi Perhubungan  Negeri Perak untuk diambil alih oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sehari selepas diadakan pertemuan tergempar di rumah Dato’ Seri Mohd Najib di Jalan Duta Kuala Lumnpur.

(Hairan juga bagaimana keseluruhan wakil rakyat dari Perak boleh berkumpul di rumah Dato Najib sedangkan Presiden Umno masih dipegang oleh Abdullah Ahmad Badawi… apakah beliau telah disingkirkan dari teraju tampok kuasa Umno?)

Dua minggu sebelum hu ha hu ha yang cukup berserabut wal kelamkabut, terdapat desas desus mengatakan bahawa Datuk Pakih Adam dari kawasan Sungai Siput dan Datuk Raja Ahmad Adun Selama dari Bahagian Larut diberitakan bakal meninggalkan Umno kerana tidak senang dengan percaturan poilitik cukup bercempera yang akhirnya bakal menjadikan Umno pecah belah.

Pepatah petitih orang Perak menyebut suasana politik di negeri tersebut berada dalam keadaan cukup “raban tebeng” yang membawa maksud bercempera, kelam kabut atau sempang peranang. Atau dalam bahasa baku situasi tidak menentu.

Keadaan jadi bertembah runcing apabila timbul pula dakwaan tentang perakuan bersumpah dari pimpinan PKR Perak bahawa Dato’ Seri Mohd Najib ada menyuarakan hasrat mahu membuat sogokkan sejumlah lima puluh juta ringgit kepada Mohd Fauzi seandainya beliau boleh membawa beberapa orang wakil rakyat Pakatan Rakyat menyeberang ke gagasan Barisan Nasional.

Kesan dari situasi tersebut menurut bancian yang dianjurkan oleh Malaysia Today melalui laman blognya sehingga jam 2.30 malam 3 Februari (Selasa) seramai 12,850 pembaca mahukan agar kerajaan Negeri Perak di bubarkan bagi membolehkan satu pilihanraya mengejut (snap election) diadakan.

Sebelum ini kerajaan Pakatan Rakyat telah dibentuk seusai pilihanraya umum ke 12 diadakan pada 8 Mac 2008 tahun lalu menyaksikan  gabungan Pakatan Rakyat menguasai 32 kerusi (18 DAP, 8 Keadilan dan 6 Pas) sementara Barisan Nasional sekadar mampu meraih 27 kerusi di mana dominasi terbesarnya adalah Umno sejumlah 26 kerusi danMCA pula terkontang kanting sebuah kerusi. Parti-parti lain dalam BN seperti PPP, Gerakan dan MIC terus “kantoi” di mana kesemua calonnya lesap dan lebur di telan kebangkitan “Suara Rakyat Kuasa Keramat”.

Hari ini selepas berlakunya lompat melompat dan ciluk menciluk, kedudukan kerusi di Dewan  Negeri adalah seperti  berikut: (DAP 18, Keadilan 7 ,Pas 6,MCA 1, Bebas 2 dan Umno 26).

Sekiranya berlaku pilihanraya mengejut (snap election) jika itu pilihan terakhir oleh kerajaan Pakatan Rakyat, mampukah Umno kembali berkuasa di negeri yang satu ketika dahulu terkenal dengan lombong bijih timahnya? Dapatkah Umno mempertahankan rekod 27 kerusi yang telahpun terlepas satu di Bota? Berapa banyak lagi wang rakyat bakal dihamburkan hanya kerana mahu mempertahankan idelisma haprak merabut kuasa? Sedangkan saat begini rakyat amat mengharapkan agar pemikiran setiap pemimpin disatukan mencari upaya dalam menghadapi cabaran ekonomi sebegitu mendesak waktu kini.

Sewajarnya pimpinan Umno hari ini harus segera memperbaiki hala tuju parti itu dari terus “merepek” dan bermimpi disiang hari untuk mengimbau kuasa yang belum pasti. Apakah pimpinan Umno masih belum sedar lagi betapa tenat dan parahnya imej Umno dikacamata rakyat yang semakin meluat dengan pelbagai tingkah laku semberono pemimpinnya?

Masih belum serik lagikah Umno untuk terus menghadapi musim pipilihanraya kecil selepas  “raban tebeng” di belasah kebangkitan “Suara Rakyat Kuasa Keramat” menyaksikan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional di enam buah negeri serta  leburnya dominasi penguasaan kerusi dua pertiga di Dewan Rakyat? Apakah semua itu belum cukup menyedarkan pemimpin Umno bagaimana bahtera Umno sejak dipimpin oleh dua nakhoda (Abdulah dengan mahzab Islam Hadhari dan Mohd Najib dengan cerita kapal selam dan misteri pembunuhan sadis Altanttuya) berada dalam situasi cukup parah?!

Meneliti situasi sebegini saya teringat sewaktu bersembahyang Jumaat di Masjid Besar Kota Medan,(tiga hari sebelum Speker Dewan Undangan Sumatera Utara dibelasah oleh para demonstran hingga menemui ajal) di mana imam masjid tersebut berkhutbah, “kalau imam atau wazir di surau mahupun masjid tidak disenangi atau dibenci oleh para makmum, janganlah ia mengakibatkan umat tidak mahu bersembahyang di masjid tersebut. Kuasa yang ada harus digunakan untuk menyingkir imam atau wazir dan bukannya terus memulaukan masjid…”

Dalam erti kata lain, Umno yang cukup parah, Umno yang semakin bercempera dengan pelbagai skandal politik wang,korupsi, kroni dan nepotisma kesan perlakuan pemimpinnya harus segera kembali insaf, rakyat tidak membenci parti Umno tetapi yang paling jelas rakyat meluat melihat feel dan sikap kebobrokan pemimpin yang begitu rakus menghirup air mata rakyat serta menyamun harta rakyat.

Umno harus memperbetulkan rumah Umno yang sebegitu parah diserang oleh parasit politik yang menjadikan jawatan dalam parti sebagai lesan besar untukmembaham dan merampok harta rakyat.  Selagi  tidak diperbetulkan semua itu, jangan mimpi Umno mampu menghadapi kebangkitan “Suara Rakyat Kuasa Keramat”.

Gabungan Barisan Nasional yang didominasikan oleh Umno pasti akan  “bungkus dan tertirap” pada setiap kali diadakan sebarang pilihanraya kecil. Malahan seandainya negeri Sarawak memanggil pilihanraya umum bagi kerusi Dewan Undangan Negeripun pasti aklan tersungkur di tangan Pakatan Rakyat.

Kejayaan Pakatan Rakyat bukan kerana Anwar Ibrahim,bukan disebabkan oleh  Hadi Awang mahupun Lim Kit Siang atau siapa sahaja pimpinan yang berjaya menumbangkan calon-calon dari Barisan Nasional. Faktor terpenting yang wajar diinsafi oleh pimpinan Umno dan Barisan hari ini adalah penolakan mutlak rakyat yang tidak lagi bersedia untuk merelakan air mata mereka dijeruk oleh pemimpin.

Usahlah dicuba dengan apa cara sekalipun, tidak perlulah dicanai mimpi disiang hari. Pimpinan dalam kerajaan Barisan Nasional hari ini perlu insaf, tanpa sebarang pembetulan dan perubahan sikap serta bersedia untuk berubah, tidak mungkin rakyat akan berpaling lagi.

Kebangkitan “Suara Rakyat Kuasa Keramat” di Pilihanraya 8 Mac 2008, Pilihanraya kecil Permatang Pauh dan terbaru di Kuala Terengganu jelas mencernakan kehendak dan hati nurani rakyat yang tidak lagi bersedia untuk diperhambakan minda mereka lagi oleh pemimpin.

Baki kuasa yang masih ada untuk menerajui kerajaan usahlah digadaikan lagi. Kalaupun Abdullah Ahmad Badawi mahu berundur diri dari anjung kuasa dalam pelan peralihan kuasa, ada baiknya jika beliau menjenguk blog dalam Malaysia Today di mana 95% dari lebih 30,000 pembaca  tidak bersedia menerima kehadiran Mohd Najib sebagai penganti. Malahan bancian yang dilakukan oleh “Merdeka Survey” turut memperlihatkan penolakkan rakyat.

Dalam erti kata lain, seandainya Dato’ Seri Najib menerajui Seri Perdana dan memanggil sebarang pilihanraya samada di Sabah, Sarawak mahupun di semenanjung, yang pasti kekalahan demi kekalahan bakal dialami oleh Barisan Nasional……. fikir-fikirkanlah.



Comments
Loading...