Pilihan raya kecil 7, 14 Mac?


Pilihan raya kecil bagi dua kerusi di Perak dan Kedah ditentukan hari ini dengan dijangkakan diadakan awal bulan depan.

Antara tarikh menjadi perhatian ialah 7 dan 14 Mac.

Mengambil kira dua pilihan raya kecil sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di dipercayai akan memperuntukkan tempoh berkempen antara sembilan dan 10 hari.

Mesyuarat SPR hari ini membincangkan kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

SPR memaklumkan pihaknya telah menerima notis kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan.

Kelmarin Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya kecil hanya boleh diadakan jika SPR dapat memastikan bahawa adanya kekosongan pada satu-satu kerusi Parlimen atau DUN berkenaan.

Bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, kekosongan berlaku ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS akibat serangan jantung, selepas terjatuh daripada basikal yang dinaikinya ketika dalam perjalanan ke farmasi berdekatan Batu Gajah, Perak Isnin lalu.

Pada hari yang sama, V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan sebagai ADUN Bukit Selambau seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Peletakan jawatan itu yang berkuat kuasa serta-merta, dimaklumkan melalui surat yang dihantar Arumugam kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah; Azizan dan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Isa Ismail.

Sehubungan itu banyak pihak membuat andaian bahawa kerusi DUN Bukit Selambau tidak akan menyaksikan pilihan raya kecil, sama seperti yang berlaku bagi kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang di Perak.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi pagi tadi berkata,"Suruhanjaya akan membuat dua keputusan penting hari ini."

Kata beliau, kes Bukit Gantang adalah jelas dan akan ditentukan tarikh pilihan raya kecil.

"Bagi kerusi Bukit Selambau, SPR akan mengkaji segala surat dan maklumat bagi menentukan sama ada wujud kekosongan atau tidak.

"SPR yang berkuasa untuk tetapkan sama ada berlaku atau tidak kekosongan walaupun Speaker yang maklumkan notis tentang kekosongan yang berlaku," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa pilihan raya kecil perlu segera diadakan.

SPR memaklumkan pihaknya telah menerima notis kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan.

Minggu lalu SPR mengumumkan tiada pilihan raya kecil di DUN Behrang dan Changkat Jering walaupun Speaker DUN Perak V. Sivakumar mengumumkan kekosongan.

SPR memutuskan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) kekal sebagai ADUN di kawasan masing-masing kerana wujud keraguan pada surat peletakan jawatan yang dikatakan dihantar kedua-dua ADUN itu kepada Speaker DUN Perak.

Pilihan raya umum ke-12, 8 Mac tahun lalu, Roslan menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, manakala Arumugam yang bertanding atas tiket Bebas menewaskan S. Krishnan juga daripada BN.



Comments
Loading...