Persidangan para badut negara


RAKYAT TERUS  DICEKIK….

Sementara itu di perkarangan pintu masuk ke bangunan Parlimen, sekumpulan  anak muda yang mendakwa mewakili Pergerakan Pemuda Umno telah melakukan tindakan cukup tidak bersopan dengan menyerbu dan membuat onar.

KAMAL AMIR MENULIS

DUA minggu telah berlalu, Dewan Rakyat bersidang  dengan menampilkan pelbagai aksi para badut negara mengutarakan seribu satu retorika politik. Dan untuk  tempoh tersebut beratus ribu wang rakyat dari kanun negara  lebur  bagi tujuan membayar elaun serta gaji mereka bergelar ahli yang berhormat di Parlimen.

Haprak, hampeh dan cukup “getik” beralun di hati melihat serta mendengar kepelbagaian retorika politik saban hari dilontarkan oleh kalangan wakil-wakil rakyat yang diberi mandat untuk membela untung nasib setiap warga tanpa mengira keturunan serta anutan agama.

Namun yang jelas di sebalik titah Baginda Agung  mahukan agar setiap ahli Dewan Rakyat menjaga integriti serta wibawa sebagai angota dewan dengan tidak menuturkan isu-isu remeh hingga menjadikan aura Parlimen tersungkur dilihat jelek, para badut negara bergelar “ahli yang berhormat” terus melontarkan ungkapan “celaka, sial, biadap” dan  mengemukakan permasalahan politik kepartian  bukan pembelaan untuk rakyat.

Anggota dari Barisan Nasional terus menyindir dan mencerca kalangan wakil dari Pakatan Rakyat sementara Wakil Rakyat pembangkang tersampuk untuk turut beretorika mencacai persoalan politik dalam senario saling tuduh menuduh.

Lebur dan lesap wang rakyat digunakan bagi membiayai gaji, elaun menghadiri persidangan sejumlah RM 350.00 sehari setiap anggota dewan, kos saraan penginapan serta perjalanan, sedangkan hasilnya rakyat sekadar dihidangkan retorika BN menuduh pembangkang tidak rasional dan pembangkang pula terperangkap menyahut cabaran anggota dari Barisan Nasional.

Sesungguhnya apa yang diharapkan oleh rakyat melalui persidangan di Parlimen adalah agar setiap anggota dewan mencanai minda mencari jalan bagaimana mahu memperbaiki taraf kehidupan rakyat serta  mencari hala cara bagi menangani kemelut krisis ekonomi kesan merudumnya ekonomi global….. hampeh sungguh cara dan sikap mereka bernama  wakil rakyat.

Dan mengakhiri minggu kedua persidangan Dewan Rakyat, tiba-tiba sahaja Menteri Kerjaraya membuat pengumuman untuk menaikkan kadar tol berjumlah 68 sen bagi setiap kilometer.

Tergamam rakyat mendengar satu lagi pengumuman dari seorang Menteri yang selama ini melaungkan selogan mahu membela kehidupan rakyat seandainya mereka diberi mandat dan kuasa memerintah.

Apakah dengan menaikkan  kadar tol tersebut membuktikan pimpinan dan pemerintah bersikap perihatin serta mesra rakyat? Alangkah dangkal dan tidak masuk akal melihat perilaku pemerintah  “mencekik” dan terus menghirup air mata rakyat  dengan sebegitu mudah menaikkan kadar tol yang tentunya sekali gus bakal  mencanakkan lagi harga barangan keperluan di pasaran.

Kesan kenaikan kadar tol tersebut tentulah kos pengangkutan turut meningkat dan secara tidak langsung barang keperluan seperti ikan, sayur, beras dan seribu satu keperluan lagi tentunya mencanak naiknya untuk berada dalam situasi tidak terkawal lagi.

Petang tadi kerani di pejabat saya telahpun melangsaikan bayaran cukai jalan untuk tempoh enam bulan (setengah tahun)  sejumlah RM 4,500.00 dan RM 15,000.00  bayaran  perlindungan insuran. Dan dengan kenaikan kadar tol tersebut seandainya saya mahu pergi ke Ipoh berkereta maka kadar tol sebanyak RM 102.00 harus di bayar  bagi perjalanan sehala.

Dalam erti kata lain tampa mengira  biaya petrol, saya perlu menjelaskan RM 204.00 bagi bayaran tol. Sekiranya dicampur dengan kos petrol dan lain-lain biaya, hanya untuk pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Ipoh sekitar RM 500.00 diperlukan.

Jika di hitung untuk tempoh satu tahun saya melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh sebanyak dua puluh kali maka jumlah kos perjalanan adalah RM 10,000.00. Bukan kah ini tandanya mereka yang berada di anjung kuasa langsung tidak sedikitpun memikirkan soal kehidupan rakyat.

Bagi kalangan mereka yang berada di anjung kuasa seperti dalam tulisan saya yang lalu telah saya nyatakan, “mereka punya gaji, dan perojek ratusan juta yang boleh disamun untuk dibawa pulang mengisi tembolok anak isteri di rumah”, tapi bagaimana dengan rakyat? Gila…. hampeh…. cukup haram menjadah tidakan  yang diambil oleh seorang  Menteri sanggup menghirup air mata rakyat  sekadar melayan tuntutan pemilik konsesi lebuh raya yang telahpun mengaut keuntungan ratusan juta ringgit.

Sementara itu di perkarangan pintu masuk ke bangunan Parlimen, sekumpulan  anak muda yang mendakwa mewakili Pergerakan Pemuda Umno telah melakukan tindakan cukup tidak bersopan dengan menyerbu dan membuat onar. (Lihat laporan dari media elektronik).

Beginikah budaya politik yang mahu diperlihatkan oleh pewaris generasi merdeka? Sudah tertutupkah lunas-lunas perundangan sejajar dengan kehendak perlembagaan negara? Kenapa harus  “membabi buta” melakukan serangan yang memperlihatkan ciri-ciri tidak bertamadun di bangunan Parlimen?

Kalaupun merasa marah dan tercabar melalui tuduhan ahli dari Bukit Gelugor dengan mengutarakan kata-kata “pemuda Umno celaka” kenapa tidak diminta agar pimpinan pemuda seperti Hishamuddin Tun Husien Onn, Khairy Jamaluddin, Mukhriz Mahathir, Razali Ibrahim, Abd Rahman Dahalan, Sharifuddin Ismail dan Shamsul Nasrah serta beberapa orang jaguh pemuda yang berada di Dewan Rakyat?

Mereka semua yang mewakili barisan Pemuda Umno buat apa berada dalam Dewan? Hanya memanaskan kerusi atau sibuk mengira laba dan keuntungan dari perojek yang disamun? Atau sibuk menghitung gaji dan elauan puluhan ribu setelah bergelar wakil rakyat? Kenapa tidak diserahkan kerja berdebat itu kepada  kesemua pimpinan pemuda  bergelar “ahli Yang berhormat?”

Kenapa harus bertindak melulu sedemikian?  Bagaimana jadinya jika anak muda dari pakatan rakyat melakukan tindakan yang sama terhadap wakil rakyat dan pemimpin Barisan Nasional  kerana melontarkan  retorika politik seperti “Parti Khinzir Rakyat” seperti dilemparkan oleh Khairy Jamaluddin dipersidangan penggal pertama dahulu?

Bersikaplah secara rasional.  Sedarlah kehidupan rakyat semakin tenat kesan kelembapan dan kemerostan ekonomi global. Setiap buah fikiran harus digunakan untuk mencanai upaya bagaimana kita harus mengatasinya, bukan sekadar berpolitik dan beretorik tanpa noktah.

Sejak berakhirnya pilihanraya umum 8 Mac 2008 lalu hingga kehari ini, landskap politik  tanah air kita terus disimbah oleh noda-noda dan onar tanpa henti. Caci mencaci, carut mencarut dan dedah mendedah telahpun  mencemari  budaya sopan dan santun kita. Kenapa mesti dikotori lagi dengan tindakan serta perlakuan sembrono sedemikian?

Cukup-cukuplah mereka bernama pemimpin  meneruskan kelangsungan menipu  dan memanjara minda rakyat. Sewajarnya dalam situasi sebegini rakyat bersatu  untuk segera menghentikan lelucon para badut  negara di Dewan Rakyat. ….. Fikir-fikirkanlah.



Comments
Loading...