“Saya mungkin kurang upaya, tetapi tidak tunduk kepada ugutan”


(Hrkh) – Kesemua 22 anggota Pemuda Umno yang terbabit mengepung Pengerusi DAP Karpal Singh di Parlimen semalam dilaporkan telah ditahan oleh polis Bukit Aman.

Insiden itu dikatakan berpunca daripada tindakan Karpal menggunakan perkataan 'celaka' yang ditujukannya kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam, serta mendakwa pergerakan itu menghantar peluru kepadanya.

Karpal bagaimanapun menarik balik perkataan 'celaka' itu setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut laporan Malaysiakini, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang semalam ketika ahli parlimen Bukit Gelugor itu masuk melalui pintu utama bangunan tersebut apabila kira-kira 20 hingga 30 ahli Pemuda Umno dipercayai dari Selangor mengepung Karpal Singh.

Bagaimanapun, Karpal kemudiannya menelefon Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan yang kemudian tiba bersama beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat lain.

Ekoran itu berlaku kekecohan antara kumpulan penyokong Umno dengan wakil-wakil rakyat pembangkang di situ sebelum pengawal keselamatan tiba untuk meleraikan mereka.

Tiga Ketua Pemuda Umno bahagian yang hadir telah bercakap dengan pemberita. Mereka ialah Ungku Salleh Ungku Jamal (ketua Pemuda Umno Serdang), Megat Zulkarnain Omar Din (ketua Pemuda Umno Gombak) dan Lat Sharizal Abdullah (ketua Pemuda Umno PJ Utara).

Mereka juga kemudiannya memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Sementara itu, ahli Parlimen DAP mengadu bahawa anggota keselamatan Parlimen tidak berbuat apa-apa untuk melindungi Karpal ketika mereka tiba di situ.

Ahli Parlmen DAP, Lim Lip Eng juga mendakwa beliau telah dipukul oleh kumpulan anggota Pemuda Umno itu.

Menurutnya, beliau dipukul beberapa kali di muka dan bahagian badannya.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia kesal dengan kejadian tersebut, yang menurutnya, pertamakali berlaku di Parlimen.

Katanya, beliau akan meminta Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat perkara itu dan berjanji akan memastikan parkara itu tidak berulang.

Manakala Karpal pula dengan tegas berkata, "saya mungkin kurang upaya, tetapi saya tidak tunduk kepada ugutan mana-mana pihak."

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong BN, Dato' Tiong King Sing memberitahu pemberita bahawa kesemua 22 anggota Pemuda Umno yang terbabit, telah ditahan oleh polis Bukit Aman.

Bagaimanapun, ini dapat disahkan dengan pihak polis.

Beliau juga turut memohon maaf kepada Karpal atas kejadian tersebut dan berkata akan meminta Speaker menghad jumlah penyokong parti politik yang dibenar masuk ke Parlimen.



Comments
Loading...