Polis Seperti Alat Umno – Anwar


(Suara keADILan)–  Tindakan Polis yang mengunakan meriam air untuk menyuraikan kira-kira 300 peserta perhimpunan dan menahan 17 orang termasuk Ahli Parlimen dikecam oleh Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar  tindakan pihak polis menangkap 17 aktivis berkenaan adalah seperti menjadi alat kepada Umno.

“Hendak buat laporan untuk mempertahankan rakan mereka di Kemunting ditangkap. Jadi, nampak polis ini macam alat atau ketua cawangan Umno,” kata Anwar yang juga ketua pembangkang.

Semalam  pihak polis  bertindak menahan 17 orang  termasuk ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan penyelaras badan pemantau polis dan jawatankuasa hak asasi manusia, S Jayathas.

Kesemua mereka berhimpun di luar ibu pejabat polis Brickfields untuk membuat laporan polis beramai-ramai berhubung layanan perubatan terhadap tahanan ISA, P Uthayakumar.

Menurut Anwar lagi, pihak polis tidak perlu mengunakan alasan lalu lintas untuk menahan kesemua mereka kerana dalam hal ini, pihak polis pernah mengawal lalu lintas ketika pihak Umno mengadakan perhimpunan

“Mereka (polis) boleh jaga lalu lintas… pada hal sebelum ini, saya pernah melihat perhimpunan Umno di Pulau Pinang, polis menjaga kesesakan lalu lintas dan tiada yang ditahan,” katanya.

Laporan berkenaan dibuat kerana  Uthayakumar yang juga pemimpin Hindaf  yang menghidap kencing manis kini tidak diberi rawatan perubatan sewajarnya.



Comments
Loading...