Penduduk Batang Ai perlu bijak pilih


(The Borneo Post) KUCHING: Penduduk di kawasan Batang Ai perlu bijak memilih calon yang sesuai sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan agar kehendak dan impian mereka dapat disuarakan kepada kerajaan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan kebiasaannya lebih peka kepada permintaan wakil mereka sendiri iaitu Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, sekiranya wakil daripada pembangkang dipilih maka dengan sendirinya kawasan itu akan terpencil daripada arus pembangunan.

“Kalau masyarakat di kawasan itu (Batang Ai) tidak menyokong BN, maka mereka akan hilang peluang untuk membangunkan kawasan berkenaan.

“Rekod baik dalam pilihan raya di negeri ini menunjukkan kita (BN) patut disokong oleh masyarakat.

“Kewujudan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) nanti menunjukkan pembangunan di negeri ini akan terus melimpah dan menjalar ke semua kawasan,” katanya ketika ditemui selepas majlis berzikir Maulidur Rasul, di Kampung Telaga Air, dekat sini, semalam.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, beliau cukup yakin BN tidak akan menghadapi masalah untuk memenangi pilihan raya kecil Batang Ai.

“Dengan perpaduan erat di kalangan ahli BN dan rekod baik kita dalam pilihan raya di negeri ini, saya yakin BN akan dapat mempertahankan kawasan itu,” jelasnya.

Mengenai isu tanah di kawasan berkenaan, beliau berkata masalah itu sudah dapat diatasi oleh Kerajaan Negeri dan ia hanya sandiwara politik pembangkang semata-mata.

“Kerajaan Negeri telah melaksanakan penyelesaian masalah tanah itu dengan cara sistematik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan membangunkan tanah di kawasan itu dengan menggunakan sistem yang difikirkan akan mendatangkan hasil yang lebih baik dan lumayan kepada masya-rakat.

“Saya terperanjat apabila mengetahui setiap individu yang terlibat dengan pembangunan tanah baru-baru ini telah menerima dividen antara RM30,000 hingga RM40,000.

“Apa yang digembar-gemburkan pembangkang mengenai isu itu adalah untuk memburukkan kerajaan dan mereka (pembangkang) tidak mengetahui fakta sebenar,” katanya.



Comments
Loading...