Pencetus krisis di Perak perlu dihukum!


Apabila Menteri Bear yang masih berkuasa memohon untuk diperkenankan supaya Dun dibubarkan bagi membolehkan rakyat membuat pilihan pemerintah yang mereka mahu, ia wajib dihormati oleh semua pihak. 

Mohamad Sabu, Harakah

KITA memilih perjuangan untuk mendapatkan kuasa dan mempertahankan kuasa yang diperolehi melalui proses demokrasi.

Perlembagaan parti adalah bertujuan membentuk organisasi, dasar dan matlamat yang hendak dituju oleh ahli organisasi tersebut.

Perlembagaan negara menjadi naungan kepada organisasi berbentuk politik siasah, organisasi sosial, riadah, kemasyarakatan. Matlamat dan perjuangan organisasi mesti tidak terpesong daripada keizinan perlembagaan negara.

Oleh kerana kita memilih saluran demokrasi, maka suasana demokrasi dan syarat minimum demokrasi mesti ada di Malaysia. Perjuangan untuk mendapatkan suasana demokrasi mesti terus dituntut. Kebebasan untuk berhimpun, kebebasan bersuara, kebebasan akhbar mesti dan wajib diperjuangkan, dengan kita tetap mengambil kira kebebasan mutlak tidak akan diperolehi.

Pilihan raya yang adil dan dilihat adil itu adalah masih jauh untuk dilaksanakan di Malaysia. Pemerintah Barisan Nasional (BN) amat bergantung kepada penipuan dan manipulasi dalam pilihan raya untuk mengekalkan kuasa.

Daftar pemilih, penguasaan dan manipulasi media, serta undi pos masih menjadi talian hayat yang tidak demokratik yang dikekal dan diamalkan oleh pemerintah BN di Malaysia.

Beberapa prinsip asas dalam negara demokrasi ala Malaysia perlu dihormati dan diterima pakai oleh parti-parti politik dan pertubuhan. Konsep demokrasi dan raja berperlembagaan mesti diperjelas kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Parti-parti atau individu yang bertanding dalam pilihan raya mempunyai hak untuk membentuk kerajaan apabila parti itu mendapat sokongan majoriti jumlah Adun atau wakil rakyat di peringkat Parlimen.

Percubaan untuk melantik parti dan gabungannya yang mempunyai jumlah Adun yang sedikit akan menjadikannya seperti Sabah yang berada dalam krisis politik dan perlembagaan apabila kemenangan PBS cuba dinafikan oleh BN. Usno cuba menjadi kerajaan dengan bergantung kepada Adun yang akan dilantik, dan bukannya melalui jumlah kerusi yang dimenangi.

Pilihan raya Mac 2008 telah merubah hegemoni penguasaan Barisan Nasional di Malaysia. Walaupun begitu parti atau pihak yang menang berhak memilih Menteri Besar atau Ketua Menteri di kalangan parti mereka melalui keputusan ketua parti mereka.

Ketua Barisan Nasional Malaysia telah memilih Idris Jusoh untuk menjadi Menteri Besar di Terengganu setelah BN Terengganu mendapat cukup bilangan Adun untuk membentuk kerajaan. Pilihan ketua BN terhadap Idris sebagai Menteri Besar perlu dihormati dan dipatuhi.

Soal suka atau tidak suka kepada Idris bukan perkara pokok. Jika tidak suka kepada Idris, parti-parti boleh bertarung dan dedahkan kelemahannya pada rakyat. Tetapi Idris yang dipilih oleh ketua parti yang menang mesti dihormati setelah rakyat membuat keputusan dalam pilihan raya.

Percubaan pihak lain melantik orang yang bukan pilihan ketua parti BN di Terengganu untuk menjadi Menteri Besar sudah tentu menimbulkan masalah dan ia akan mencetuskan masalah baru kepada mana-mana parti politik yang mendapat majoriti dalam Dun pada masa akan datang. Ketua parti akan hilang fungsi, manakala konsep demokrasi dan raja berperlembagaan tercemar.

Begitu juga di Perlis, ketua parti BN telah memilih Shahidan Kasim sebagai Menteri Besar, maka parti-parti politik hendaklah menghormati ketua parti yang menang yang memilih Shahidan untuk mengetuai negeri Perlis.

Apabila ada pihak lain ditampilkan untuk menjadi Menteri Bear Perlis, maka mukadimah kekeliruan akan berlaku sekarang dan pada masa akan datang. Sekali lagi masalah raja berperlembagaan dicemari.

Apabila berlaku kemelut politik di Perak sepanjang Feb hinggaMac 2009, ia agak mudah diselesaikan. Menteri Besar yang sedang memerintah hendaklah dihormati.

Apabila Menteri Bear yang masih berkuasa memohon untuk diperkenankan supaya Dun dibubarkan bagi membolehkan rakyat membuat pilihan pemerintah yang mereka mahu, ia wajib dihormati oleh semua pihak.

Pilihan raya dan pilihan rakyat adalah menjadi jalan keluar yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik Perak sekarang.

Apabila kehendak parti-parti yang berkuasa di Perak tidak dihormati melalui Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin maka berlakulah kemelut perlembagaan di Perak yang menyusahkan semua pihak.

Menangguk di air keruh oleh pembangkang di Terengganu dalam isu pelantikan Menteri Besar selepas pilihan raya Mac 2008 adalah tidak baik dan melanggar prinsip demokrasi dan raja berperlembagaan.

Menganggu pelantikan Menteri Besar Perlis pilihan ketua BN selepas pilihan raya Mac 2008, juga dianggap tidak demokratik dan melanggar konsep raja berperlembagaan.

Begitulah juga dan amat ketara perlanggaran konsep demokrasi dan raja berperlembagaan apabila tidak menghormati parti-parti yang memerintah di Perak melalui Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin.

Krisis ciptaan BN di Perak amat merugikan rakyat, membazirkan wang negara, dan wajib dihukum oleh rakyat terutamanya terbantut program pembangunan dan keyakinan rakyat kepada sistem negara.

Kedaulatan rakyat, kedaulatan raja, dan keluhuran perlembagaan menjadi caca-marba.

 



Comments
Loading...