Saiful enggan ulas video liwat


(Utusan Online) – Bekas pembantu Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Saiful Bukhari Azlan hari ini enggan mengulas mengenai penyebaran video insiden liwat membabitkan dirinya yang dikatakan tersebar di Internet.

Beliau berkata, selagi perbicaraan kesnya di mahkamah belum bermula, tiada ulasan akan dibuat mengenai sebarang perkara yang berkaitan kes itu.

Beliau mengakui ada mendengar desas-desus mengenai video tersebut yang bukan saja diperkatakan oleh orang ramai di negara ini, malah di negara-negara jiran seperti Indonesia.

Kata Mohd. Saiful, beliau turut menerima beratus-ratus e-mel yang mahukan pengesahan mengenai desas-desus tersebut.

''Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya tidak mahu melatah. Saya tidak dapat mendedahkan apa pun selagi perbicaraan tidak bermula,'' katanya.

Beliau dipetik berkata demikian menerusi blognya di http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com/.

Kata Mohd. Saiful, walaupun perit menahan diri daripada mendedahkan segala bukti yang ada, beliau tetap bersabar kerana perlu menghormati mahkamah.

''Jadi, ada video rakaman atau tidak, sama-samalah kita tunggu 1 Julai 2009 nanti. Tak perlulah membuat sebarang spekulasi lagi,'' katanya.



Comments
Loading...