Dolah berbohong lagi


MANDI SUSU TANGKAL SAMI

Apakah Abdullah Ahmad Badawi memikirkan Brunei seperti Malaysia yang begitu mudah menyerah kalah dan membiarkan kedaulatan Pulau Batu Putih yang menjadi tanah jajahan negeri Johor terlepas kepada Singapura.

KAMAL AMIR MENULIS

DI SAAT akhir atau lebih tepat lagi dihari-hari terakhirnya Abdullah Ahmad Badawi bersama siding wazirnya masih lagi mahu berbohong dengan rakyat apabila beliau mengumumkan isu Limbang telah selesai seusai perbincangannya dengan baginda Sultan Brunei Darul Salam dalam jangka lawatannya ke negeri tersebut.

Sehari selepas pengumuman serta gembar-gembur berhubung kenyataan tersebut dicanangkan ke seantero dunia, tiba-tiba menteri luar Brunei membuat penafian bahawa persoalan Limbang yang tertangguh sejak era Mahathir lagi tidak pernah dibincangkan.

Ekoran dari kenyataan menteri luar Brunei itu Datuk Seri Rais Yatim memperjelaskan bahawa memang persoalan Limbang tidak diperbincangkan tetapi beliau berdalih konon apabila menyentuh persoalan sempadan maka ia turut mengambil kira isu Limbang.

Alangkah dangkal dan berserabutnya pemikiran Abdullah Ahmad Badawi bersama siding wazirnya menangani persoalan tersebut.  Di mana mahu kita sorokkan muka serta aib Negara kesan perlaku sembrono sebegitu.

Sewajarnyalah kesemua mereka (Abdullah dan sidang wazirnya) meletakkan jawatan supaya maruah dan aib Negara dapat ditebus semula.  Persoalan yang diwar-warkan olehnya dalam isu Limbang bukan isu kecil.

Sejarah dicatatkan isu tersebut  pernah dibincangkan di Dewan Rakyat sekitar tahun 1987 dan ia menjadi panas apabila ahli dewan rakyat meragui kemungkinan Brunei Darul Salam bersedia menyerahkan Limbang kepada Malaysia begitu saja.

Bagi sesebuah Negara yang berdaulat dan merdeka tidak mungkin akan menyerahkan biarpun seinci buminya kepada orang lain dan Brunei tentunya akan mempertahankan kedaulatan sedemikian tanpa kompromi.

Apakah Abdullah Ahmad Badawi memikirkan Brunei seperti Malaysia yang begitu mudah menyerah kalah dan membiarkan kedaulatan Pulau Batu Putih yang menjadi tanah jajahan negeri Johor terlepas kepada Singapura.

Apakah Abdullah Ahmad Badawi bersama sidang wazirnya merasakan rakyat Brunei adalah sama dengan rakyat Johor yang begitu mudah redha mengangkangkan buminya untuk terjajah dalam legasi pembangunan Wilayah Iskandar.

Tidak semudah itu percaturannya dan seharusnya seluruh rakyat Malaysia mengambil contoh ketegasan pimpinan di Brunei Darul Salam yang gigih serta tegar mempertahankan kedaulatan buminya.

Rencam politik bagaikan tidak mampu terkawal lagi.  Ada cerita siding bawah pokok, ada cerita kerajaan haram, ada cerita wakil rakyat dicolek, ada cerita korupsi politik malahan terbaru ada cerita pemimpin menggunakan khidmat sami hindu sambil mandi susu di rumahnya. 

Paling melucukan apabila lanskap politik di rumah UMNO sudah dijengah perbuatan khurafat menggunakan tangkal dan kemenyan yang diletakkan di bawah meja Presiden UMNO.

Kalaulah setiap kali ada mesyuarat majlis tertinggi UMNO, maka tangkal dan kemenyan digunakan bayangkan bukan sahaja Presiden boleh jadi lalok malahan silap haribulan bertambah dangkal dan bodoh serta separuh nyanyuk jadinya.  Mungkin kerana itulah banyak keputusan yang di buat oleh Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri dilihat bercelaru dan merencam malahan cukup simpang peranang.

Alahai amat jelik sekali percaturan politik di rumah UMNO parti yang meletakkan perjuangan membela agama, bangsa dan tanahair boleh begitu mudah hilang pedoman serta lari dari asas perjuangannya.

Bagaimana mahu diyakini rakyat UMNO sebagai wadah perjuangan mempertahankan agama kalau pemimpinnya boleh terjebak dalam perbuatan khurafat seperti menggunakan bomoh, tangkal azimat dan lebih jelik lagi sanggup disirami susu lembu oleh sami yang dibawa dari India.

Dapatkah dipertahankan yakin rakyat bahawa UMNO itu payung umat melayu yang asasnya beragama islam apabila pemimpinnya dengan begitu mudah mengamalkan budaya korupsi serta menyalahgunakan kuasa semata-mata kerana mengejar pangkat dan darjat.

Bolehkah UMNO mendabik dada menyatakan ia parti siasah politik yang mempertahankan kedaulatan Negara apabila dengan begitu mudah menyerah kalah untuk membolehkan tanah jajahannya jatuh ketangan orang lain.

Empat hari lagi pimpinan UMNO diperingkat akar umbi dari seluruh Negara akan berhimpun di bangunan PWTC untuk menyaksikan para badut politik Negara melakunkan adegan lelucon di sebalik retorika yang tidak pernah membawa faedah apa-apa kepada umat Melayu dan bangsa Malaysia secara amnya.

Mungkinkah akan tercabut lagi keris Sang Saka Bangsa untuk dikucup oleh ketua pergerakan pemuda UMNO.  Selepas adegan tersebut maka bergegas pula memohon maaf kalau-kalau ada hati yang tersentuh.

Quran mana pula lagi yang akan dijunjung untuk adegan sumpah sesumpah oleh pemimpin dalam membuktikan kononnya dirinya benar, betul serta bersih dari sebarang korupsi politik atau persepsi lain termasuk isu berkecainya tubuh Altantuya Shaaribu dibaham ledakkan bom C4.

Paling dinanti akan ternobatkah mereka-mereka yang telah dicalunkan sebagai pemimpin tersohor untuk memperolehi lesen besar bagi meneruskan agenda merampuk dan menyamun harta rakyat. 
Apa yang pasti kehidupan rakyat samaada para petani, buruh dan kaum nelayan akan terus dihimpit keperitan hidup dalam menghadapi gelombang krisis ekonomi global sementara warga UMNO yang bergelar para perwakilan memperolehi nikmat sementara sepanjang musim persidangan kerana akan dilayan dengan pelbagai keistimewaan bagi membolehkan mereka menghadiahkan undi kepada setiap calun memperolehi lesen besar membaham khazanah Negara.

Fikir-fikirkanlah…….



Comments
Loading...