Ucapan Dasar UMNO – andainya saya Presiden


Apakah yang membuat parti kita dicemuhi, dibenci dan dicaci-cerca? Apakah bezanya masa kini dan masa lampau di mana parti kita adalah parti ulung? Apakah yang menjadikan masyarakat masa kini benci dengan kita?

Salam sejahtera saudara-saudari, teman-teman dan sahabat seperjuangan.

Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin parti kita. Parti ini parti kita, parti ibu-bapa kita dan ibu-bapa mereka. Parti ini terlalu penting buat kita dan buat negara kita. Kepercayaan saudara-saudari kepada saya merupakan satu penghormatan yang tidak terhingga bagi saya. Dan sememangnya kepercayaan yang diberikan ini membawa perasaan gembira dan bangaa kepada saya. Namun di dalam kegembiraan dan kebangaan diri, di dalam riuh-rendah ucapan tahniah dan tari kemenangan, saya akur pada satu kenyataan. Yang nyata ialah kedudukan saya sebagai pemimpin parti ini ialah satu amanah yang saudara-saudari berikan pada saya. Satu amanah yang maha berat untuk ditanggung dan dilaksanakan oleh saya.

Sememangnya mengikut konvensyen perlembagaan persekutuan, dengan kedudukan saya sebagai pemimpin parti ini, datanglah kedudukan saya sebagia Perdana Menteri negara kita. Dengan itu, jika ditinjau amanah yang saya perlu laksanakan, ianya berat sekali. Malah perlu saya katakan bahawa amanah ini tidak boleh saya laksanakan. Tiada manusia yang mampu melaksanakan amanah ini. Saya hanya boleh berjanji akan cuba dengan segala upaya saya untuk melaksanakannya. Dan Insya Allah, dengan pertolongan, bantuan dan semua sokongan saudara-saudari, beban perlaksanaan amanah ini akan menjadi sedikit ringan. Sama-samalah kita berusaha, sahabat-sahabat sekalian. Seperigi kita bermandian. Sesalur sungai kita berenangan. Setapak tanah kita kerjakan. Sepohon hijau kita berteduhan. Sehidang nasi kita bersarapan. Harapnya ketekunan kita bersama akan membuahkan kejayaan. Insya Allah.

READ MORE HERE



Comments
Loading...