SPRM dan polis perlu siasat Ali Rustam


SEREMBAN, 23 Mac (Hrkh) – Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar, mengesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam, yang didapati bersalah mengamalkan politik wang.

"Saya mengesa supaya SPRM dan polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas Ali Rustam yang terbukti bersalah dengan rasuah oleh Umno sendiri.

"Saya juga mengesa supaya mana-mana pemimpin Umno yang didapati melakukan rasuah bukan hanya disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno sahaja tapi serah juga kepada SPRM dan polis supaya tindakan undang-undang boleh diambil," kata beliau.

Beliau turut hairan dengan tindakan segelintir ahli Umno yang mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin Umno yang telah membuat keputusan berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan oleh pimpinan mereka sendiri.

"Apa kita lihat yang peliknya sekarang ini ialah mereka sendiri mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin Umno itu sendiri sedangkan ianya diwujudkan oleh pimpinan mereka sendiri," katanya.

Umno kata Zulkefly sepatutnya menyerahkan 900 aduan salah laku politik wang yang dikatakan berlaku di dalam Umno itu kepada SPRM dan polis untuk memastikan ketelusan dan mereka yang terlibat rasuah dapat diadili.

"Semua pemimpin yang bertanding disiasat SPRM dan polis sama ada terlibat dengan rasuah atau tidak dan tugas ini bukan sekadar dilakukan oleh Lembaga Disiplin Umno saja," tegasnya.

Sementara itu, beliau menyelar kenyataan Ketua Penerangan Umno Jasin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman, kerana mengatakan SPRM perlu tunduk kepada Umno.

"Kenyataan Hasan itu mengambarkan kedangkalan pemikiran pemimpin Umno yang tidak memahami konsep parti dan kerajaan.

"Negara menjadi kucar-kacir kerana Umno tak boleh bezakan konsep parti dan kerajaan serta mereka menganggap semuanya adalah kepunyaan Umno.

"Umno kena buat kursus supaya mereka ini yang berfikiran kuno dapat memahami konsep pemisahan parti dan kerajaan, seterusnya mengambarkan bahawa Ketua Menteri Melaka pun berfikiran begitu," ujarnya. – mns _



Comments
Loading...