Harakah dan Suara Keadilan digantung tiga bulan


Tindakan ini bermakna kedua-dua media ini tidak boleh membuat sebarang liputan terhadap peralihan kuasa dari Datuk Seri Abdullah kepada Perdana Menteri baru hujung Mac ini.

Siasah

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menggantung permit suara rasmi PAS, Harakah dan suara rasmi PKR, Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan berkuatkuasa serta-merta.

Surat arahan yang dikeluarkan oleh Setiausaha bahagian Unit Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN Che Din Yusoh itu tidak memberi sebarang alasan tindakan tersebut.

Arahan itu telah difaks kepada pejabat Harakah dan pejabat PKR hari ini.

Surat kepada Suara Keadilan dialamatkan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan difaxkan kira-kira 5 petang ini yang berkuatkuasa serta-merta.

"Dukacita dimaklumkan bahawa kementerian ini telah membuat keputusan untuk menggantung permit penerbitan akhbar Suara Keadilan selama tempoh tiga (3) bulan berkuatkuasa serta-merta," surat KDN kepada PKR dipetik.

Tindakan ini bermakna kedua-dua media ini tidak boleh membuat sebarang liputan terhadap peralihan kuasa dari Datuk Seri Abdullah kepada Perdana Menteri baru hujung Mac ini.

Turut terlepas adalah pilihan raya di Batang Ai, Bukit Gantang dan Bukit Selambau 7 April nanti.
Isu terakhir Harakah menyiarkan di muka depannya tentang kuasa Yang Dipertuan Agung untuk melantik orang lain dari bakal presiden Umno, Datuk Seri Najib sebagai PM.

Suara Keadilan juga membuat berita mengenai perkara yang sama iaitu Abdullah akan kekal sebagai PM.

Sejak kebelangan ini Harakah dan Suara Keadilan sering dirampas di merata-rata tempat oleh KDN dengan alasan dijual di kedai-kedai akhbar sedangkan syarat telah ditetapkan ia boleh dijual kepada ahli sahaja.

Sebelum mendapat permit dari KDN tahun lalu, Suara Keadilan telah sekian lama berada di pasaran tanpa sebarang permit.

Harakah pula mula mendapat kembali permit dua kali seminggunya tahun lalu selepas kuasa dua pertiga BN hilang dalam Dewan Rakyat di samping kehilangan lima buah negeri kepada Pakatan Rakyat.

Sejak Mac 2000 permit Harakah telah dijadikan dua kali sebulan berbanding dua kali seminggu sebelum itu.



Comments
Loading...