Sindrom penafian Umno


SOMBONG, RAKUS DAN GELOJOH

Ternyata sekali angkuh dan sombong pimpinan memacu kuasa bersikap beraja di hati bersultan di mata.  Mereka bukan sekadar gopoh dalam membuat sesuatu keputusan malahan sanggup mengenepikan hak serta kebebasan rakyat. 

KAMAL AMIR MENULIS

Petang tadi saat bertandang ke rumah UMNO ternyata warga parti siasah yang kalah di lima buah negeri dan hilang penguasaan dua pertiga kerusi di dewan rakyat musim pilihanraya lalu masih belum sedar diri.

Kalangan pencacai apek lempang yang merupakan parasit politik masih bersepah-sepah di sana-sini menjala impian untuk meraih kesempatan mencari peluang kalau-kalau ada habuan digugurkan atau dihulur oleh kalangan calun majlis tertinggi.

Tiada sebarang tanda-tanda untuk memperbaiki imej umno yang begitu teruk tercemar kesan perlakuan sempang peranang serta korupsi politik. Setiap wajah yang ditemui mempamirkan muka selamba seolah-olah UMNO berada ditahap gemilang meskipun realitinya parti itu benar-benar berada dalam situasi nazak dan nyawa-nyawa ikan.

Seandainya situasi sedemikian terus kekal menerawang di rumah UMNO besar kemungkinan kehadiran pilihanraya umum ketigabelas parti tersebut bukan saja merudum tapi “ruyup” untuk tumbang kepada parti pembangkang.

Warga UMNO masih diselubungi sindrom penafian (denial state) untuk tidak segera bermuhasabah diri dan menyedari hakikat ia semakin terhakis pengaruhnya serta ditolak oleh rakyat kesan korupsi dikalangan pemimpin, angkuh dan sombong berada di anjung kuasa.

Pengharaman akhbar Harakah dan Suara Keadilan merupakan berterusannya ego pimpinan dalam UMNO bertindak sombong serta sanggup menafikan hak dan kebebasan rakyat untuk bersuara sejajar dengan kehendak perlembagaan.

Ternyata sekali angkuh dan sombong pimpinan memacu kuasa bersikap beraja di hati bersultan di mata. Mereka bukan sekadar gopoh dalam membuat sesuatu keputusan malahan sanggup mengenepikan hak serta kebebasan rakyat. 

Begitu juga cara pihak berkuasa melayan karenah parti pakatan rakyat di Sungai Petani malam kelmarin apabila tembakan gas pemedih mata dibedil bertalu-talu bersama semburan air atas alasan mahu menyuraikan majlis ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibatalkan permitnya disaat-saat akhir.

Tidak mungkin tindakan sedemikian boleh dilakukan secara sembrono oleh pihak berkuasa tanpa arahan tertentu dari mereka yang berada di anjung kuasa. Apakah selepas lebih lima puluh tahun merdeka begitu caranya pihak berkuasa melayan rakyat pembayar cukai.  Masih mahu dinafi lagikah suara rakyat suara keramat.

Sesungguhnya tindakan menggantung permit penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan serta perlakuan sonsang di Sungai Petani bukan membawa keuntungan atau setia rakyat terhadap UMNO tetapi ia lebih membawa padah dan menebalkan lagi kebencian di hati rakyat.

UMNO yang akan bersidang selama empat hari mulai 25 hingga 28 Mac bakal menyaksikan peralihan kuasa kepimpinannya daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Mohd Najib Tun Razak memulakan era terajunya dengan dua insiden yang amat bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi.

Apakah tindakan tersebut didalangi oleh pihak-pihak tertentu untuk menonjolkan gambaran sebenar era kepimpinan Najib yang akan diwarnai dengan kepelbagaian rencam serta corak diktator tanpa sempadan.

Media arus perdana melaungkan hampir setiap hari perlunya UMNO melakukan perubahan atau (rebranding) untuk dilihat mesra rakyat serta lebih sopan menangani sesuatu isu dengan cukup berhemah, namun apa yang berlaku terhadap Harakah dan Suara Keadilan serta majlis ceramah di Sungai Petani amat bertentangan dengan usaha perubahan tersebut.

Malahan cara tersebut juga dilihat tidak bersikap politik anak jantan dan ia turut mengambarkan seolah-olah pimpinan UMNO begitu rakus dan gelojoh menggunakan kuasa secara sembrono dalam berhadapan dengan parti-parti pembangkang.

Amat malang sekali apabila sindrom lama UMNO yang selama ini menimbulkan rasa meluat serta jelek rakyat masih lagi belum mampu dihentikan. Pimpinan meneruskan agenda sombong, bongkak dan rakus sebagai jalan penyelesaian apabila berhadapan dengan sesuatu masaalah bukan ditangani secara berhemah.

Rakyat melihat situasi sedemikian bukan lagi budaya politik masakini.Rakyat juga tidak boleh dibohongi dengan kepelbagaian retorika tidak menentu. Persoalan Melayu semua akur ada peruntukan tertentu dalam perlembagaan Negara yang tidak boleh diganggu gugat. Rakyat pelbagai kaum sedia setia menjunjung kedaulatan perlembagaan.

Perlu apa lagi Umno menyinggul hati kaum lain dengan retorika dominasi Melayu serta kenyataan-kenyataan berbaur perkauman. Kenapa mesti menjual Melayu untuk menagih sokongan? Apa untungnya retorika yang berselindung atas nama Melayu dijaja sebegitu murah untuk digadaikan bagi mengimbau yakin umat Melayu.

Kepekaan dan iltizam untuk meneruskan perjuangan Umno demi bangsa agam dan Negara bukanlah retorika kosong. Tidak perlu lagi diselogankan pada setiap ucapan. Bukankah perjuangan Umno adalah untuk menegakkan lima prinsip rukun Negara.

Sebegitu lama rakyat telah memberikan amanah kepada pimpinan Melayu untuk menerajui Negara. Sebegitu lama jugalah amanah tersebut telah terlaksana oleh pimpinan terdahulu. Cuma sejak akhir-akhir ini ia telah dikhianati oleh pimpinan dalam Umno yang rakus menjeruk air mata rakyat.

Sebentar tadi Dato Najib menyatakan bahawa rakyat selama ini memberikan amanah dan mandat kepada Umno untuk menerajui kepimpinan Negara, hadirnya dipersada politik bukan sekadar berada dipergigian perjuangan tetapi sebagai teraju utama.

Malangnya semua amanah tersebut kini telah dikhianati membuatkan rakyat bangkit menjelmakan   suara rakyat kuasa keramat menolak kebobrokkan pimpinan Umno.Dan melihat dari wajah-wajah yang ada di rumah Umno petang tadi ternyata kepekaan tersebut sudah begitu menjauh.

Kalangan perwakilan yang hadir gagah mempamerkan lencana perwakilan dengan lagak seolah-olah mereka itu pemimpin tersohor. Tida lagi wajah-wajah kemesraan diukirkan sebagai tanda menghormati teman handai dan taulan.Puteri terus dengan lenggang lenggok mengoda, wanita terus becok bercakap itu ini seolah-olah merekalah penentu segala, pemuda pula bersidai di sudut warong kopi, sementara apek lempang politik berterusan melakukan urusan meminta itu ini sebagai upah dan laba politik.

Lebih terserlah lagi apabila etika pemilihan dalam Umno yang melarang calon-calon berkempen, mengedarkan kad pengenalan diri atau sebarang bentuk pemberian telah tidak diendahkan apabila masih berselerak apek lempang dan pencacai politik yang cuba meraih undi secara bergerombolan.

Mampukah jawatan kuasa disiplin Umno mengambil tindakan terhadap semua calon yang bertanding yang menggunakan ejen serta pelobinya? Hampeh…..cakap tak serupa bikin. Kalau orang lain mahu berkempen dihalang tetapi pimpinan tertinggi bebas melakukan apa sahaja… mampukah Umno bertahan untuk setahun lagi jika budaya sebegini masih berterusan?

Fikir-fikirkan lah……



Comments
Loading...