Bukit Selambau: Calon bebas tarik diri, sokong KeADILan


(Hrkh) – Seorang peniaga yang sudah menyatakan hasratnya bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau menarik diri sehari sebelum hari penamaan calon.

Mohd Reduan Md Isa, 52, berkata beliau membuat pengumuman untuk bertanding pada tiga minggu lalu, tetapi kemudiannya menukar fikiran selepas berbincang dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

"Masa saya umumkan bertanding misi saya ialah untuk membela rakyat dan menerusi perbincangan dengan Anwar Ibrahim baru-baru ini, saya dapati misi kami sama iaitu untuk membawa perubahan dan oleh kerana itu saya tidak bertanding untuk memberi sokongan pada calon KeADILan," katanya kepada pemberita di bilik gerakan KeADILan di sini, hari ini.

Beliau menafikan dakwaan kononnya mendapat inisiatif daripada pihak tertentu untuk menarik diri.

Bekas Ahli Jawatankuasa PKR Bahagian Merbok itu, berkata beliau akan memberikan sokongan kepada calon KeADILan, S Manikumar yang akan bertanding.

Sementara itu Bernama melaporkan, Pengerusi Perhubungan KeADILan Kedah, Ahmad Kasim berharap lebih ramai calon Bebas menarik diri dan memberi laluan kepada KeADILan dan Barisan Nasional (BN) bertanding bagi satu lawan satu.

"Jika calon bebas itu mempunyai latar belakang daripada KeADILan, maka calon itu akan menarik sedikit sebanyak pengundi KeADILan. Jadi kalau ramai yang jadi calon Bebas daripada KeADILan, maka rugilah kita," katanya.

Setakat ini, 10 calon bebas sudah membayar deposit untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Mengenai hari penamaan calon esok, beliau menganggarkan kira-kira 10,000 penyokong KeADILan akan memberikan sokongan kepada calon mereka iaitu Manikumar.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau diadakan berikutan peletakan jawatan V Arumugam daripada KeADILan pada 8 Februari lalu.



Comments
Loading...