Kemasukan semula Mahathir dalam Umno ‘gembirakan’ PSM


(Hrkh) – Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Mohd Nasir Hashim, 'gembira' dan mengalu-alukan kemasukan semula Dr Mahathir Mohamad ke dalam Umno kerana ini akan memberi lebih banyak 'peluru' kepada Pakatan Rakyat untuk terus 'menembak' parti 'reput' itu dan kerajaan.

Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, berkata kemasukan Mahathir ke dalam Umno pasti akan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat mendedahkan kelemahan dan kezaliman yang beliau termasuk dalam krisis Perlembagaan 1993 yang menyebabkan kuasa-kuasa raja Melayu terhakis.

Katanya, Mahathir mempunyai sejarah sebagai seorang pemimpin ego dan menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamatnya.

"Kita sedia maklum dengan gerak-geri dan modus operandi beliau dalam dunia politik tempatan. Maka tiada masalah bagi kita untuk menangani kehadiran beliau dalam persada politik tanah air.

"Walau bagaimanapun kita harus berwaspada dengan sifat Mahathir yang agak licik dalam aspek memanipulasi sesuatu isu," katanya.

Ditanya apakah kehadiran Mahathir pada siri kempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau memberi sebarang impak kepada BN pada keputusan pilihan raya kecil tersebut, Nasir berkata beliau tidak banyak membantu mencorak pengundian di sana.

"Sebaliknya ia lebih membantu calon Pakatan Rakyat, di mana rakyat telah muak dengan sikap hipokrit Mahathir," dakwanya.

Nasir turut melahirkan kebimbangan bahawa Perdana Menteri baru, Najib Razak akan menjadi budak suruhan Mahathir.

Katanya, ini terbukti apabila anak beliau, Mukhriz yang kalah dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno dipilih menganggotai Kabinet baru Najib sedangkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin langsung tiada tempat.



Comments
Loading...