Polis, SPR, media dan pencabulan seksual – Laporan NIEI


(Hrkh) – Pemantau bebas pilihan raya, National Institute for Electoral Integrity (NIEI) melihat pasukan polis tidak bertindak adil dan 'neutral' dalam banyak kejadian pada ketiga-tiga pilihan raya kecil yang berlangsung serentak pada 7 April lalu.

Pengarah Eksekutif NIEI, Amin Iskandar mendakwa sepanjang pemerhatian pihaknya di ketiga-tiga kawasan pilihan raya itu, pihak polis lambat bertindak untuk menyelesaikan bantahan atau laporan pihak Pakatan Rakyat.

Katanya, polis sebaliknya bertindak cepat menyelesaikan kes-kes yang berkaitan dengan kepentingan Barisan Nasional.

Malah katanya, polis dilihat berat sebelah apabila turut mengiringi konvoi motosikal biarpun Ketua Polis Negara mengeluarkan larangan konvoi motosikal tidak dibenarkan sepanjang kempen pilihan raya.

Dalam perkembangan berkaitan, Amin turut menegaskan Niei turut prihatin terhadap kejadian kekerasan seksual dan keganasan seperti kejadian pencabulan seksual yang dilakukan ahli Pemuda Umno terhadap anggota Serikandi KeADILan sewaktu berkempen di Bukit Gantang.

"Situasi yang berlaku ini menunjukkan kehadiran pasukan polis yang ramai gagal membawa keamanan dalam pilihan raya. Sehubungan itu Niei menyeru agar parti-parti bertanding berkempen dengan cara yang lebih beretika lagi.

"Seharusnya polis menyelesaikan segera kes pencabulan seksual serta mengambil tindakan yang sepatutnya dikenakan terhadap pelakunya agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,"katanya.

Tambahnya, sikap berat sebelah juga dilihat apabila media arus perdana memberikan laporan yang tidak seimbang, malah ada yang bertindak menjadi lidah rasmi kempen parti pemerintah kerajaan persekutuan.

Justeru, beliau berpandangan media seharusnya perlu bebas dan memberi laporan seimbang kepada semua pihak yang bertanding.

Dalam pada itu, Amin turut mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) yang mengadakan hari mengundi pada hari bekerja.

"Keputusan SPR mengadakan pilihan raya pada hari bekerja dililihat sebagai tidak menggalakkan peratusan keluar mengundi yang tinggi. Kebiasaannya, badan penggendali pilihan raya seperti SPR akan berusaha keras untuk memastikan peratusan keluar mengundi tinggi tetapi ini tidak berlaku untuk pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

"Keputusan SPR untuk meletakkan hari mengundi pada hari bekerja telah menyusahkan para pengundi terutamanya yang bekerja di luar daerah atau negeri untuk hadir pulang ke kampung halaman masing-masing,"katanya dalam kenyataannya kepada Harakah.

Jelas Amin, Niei turut tertanya-tanya mengapa SPR tidak mengira undi di pusat pembuangan undi di beberapa kawasan Batang Ai terlebih dahulu sebelum dibawa ke pusat pengiraan undi seperti yang dilakukan di parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.

Tegasnya, alasan untuk mempercepat proses pengiraan tidak dapat diterima akal kerana pilihanraya di Bukit Gantang dan Bukit Selambau melibatkan jumlah undi yang besar dan keputusan masih dapat diumumkan tepat pada masanya.

"Keengganan SPR membenarkan wakil-wakil calon ikut serta menaiki helikopter menimbulkan keraguan tentang ketelusan dan keabsahan pilihanraya tersebut,"tegasnya.

Sementara itu, Amin tmenyifatkan penggunaan jentera kerajaan untuk kempen parti-parti memerintah pada ketiga-tiga kawasan tersebut mencemarkan perjalanan proses pilihanraya yang demokratik:

"BN perlu telus dan tidak boleh menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen. Kerajaan adalah milik awam yang digerakkan kakitangan awam untuk kepentingan awam atas pembiayaan wang awam, bukannya kepentingan parti yang memerintah.

"Kementerian dan jabatan awam telah digunakan untuk berkempen. Contohnya, dalam kempen mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudahan, kakitangan dan jentera beberapa kementerian serta jabatan awam dikerahkan sepenuhnya untuk membantu kempen Barisan Nasional,"katanya.

Dalam pada itu Amin menegaskan, sebagai sebuah badan pemantau bebas, NIEI sedang menyiapkan laporan lengkap pemantauan pilihan raya kecil ini dalam jangkamasa yang terdekat dan akan dihebahkan kepada umum tidak lama lagi.



Comments
Loading...