SAYA TIDAK MAHU JADI TUHAN


Apa yang berlalu sekiranya kita tersilap. Apa yang terjadi jika kita tersalah tangkap. Apa yang terjadi apabila kita tersalah temu bukti. Apakah kita dapat mengembalikan Derek kepada kakaknya? Tidak mungkin. Kita manusia yang tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan.

DARI JELEBU

Hishamuddin Rais

PEMUDA BUNUH JURUTERA AUSTRALIA KE TALI GANTUNG 

PUTRAJAYA: Harapan seorang pemuda berusia 24 untuk dibebaskan tahun depan selepas mengakhiri hukuman penjara 10 tahun kerana membunuh jurutera warga Australia, Hans Herzog, berkecai semalam apabila hukuman itu digantikan dengan hukuman mati.

RAKYAT MALAYSIA DIHUKUM MATI DI CHINA MAHU TEMUI KELUARGA

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Malaysia yang menunggu hukuman mati kerana kesalahan mengedar dadah di Xiamen, China memohon bantuan rakyat negara ini untuk mencari keluarganya sebelum menjalani hukuman itu dalam masa terdekat.

SAYA TIDAK MAHU JADI TUHAN

Iris kesorangan. Selama 45 tahun dia berjuang untuk menyatakan kepada dunia bahawa adiknya Derek Bentley tidak bersalah tetapi telah digantung pada tahun 1952 atas tuduhan membunuh.

Ketika di London saya sering terbaca tentang kesah Iris Bantley yang tidak putus putus menulis surat, berkempen dan menerangkan kepada umum bahawa adiknya bukan pembunuh. Satu kesilapan telah berlaku menurut si Kakak ini.

Menurut si Kakak, adiknya Derek tidak mungkin membunuh walau pun dia berumur 18 tahun tetapi dia bukan anak biasa – biolojinya 18 tahun – akalnya terencat berperangai seperti anak 11 tahun. Juga Derek menghidap sawan babi.

Akhirnya penat lelah setia kakak kepada adik menjadi satu ombak.

Sebenarnya pada ada dua kes besar – tersalah gantung – telah berlaku di Britain. Ini menjadikan masyarakat yang bertamadun jijik terhadap hukuman gantung. Pada tahun 1969 hukum gantung dihapuskan sama sekali di United Kingdom.

Si Kakak tidak putus asa walau pun hukum gantung telah dihapuskan. Apa yang diingini oleh Iris ialah Derek diakui sebagai tidak bersalah. Penggantungan adiknya adalah satu kesilapan.

Pada tahun 1991 Peter Medek membuat sebuah filem tentang Derek – Let Him Have It. Bila filem ini di buka di kota London, pada minggu pertama saya telah menontonnya. Filem ini telaah membawa kesedaran yang lebih meluas betapa satu kesilapan telah dilakukan ke atas Derek – anak muda terencat akal.

Akhirnya pada 29 July 1993 Derek Bentley telah diampunkan. Di pagi itu apabila saya membaca akhbar The Guardian saya telihat gambar Iris. Inilah kesetiaan seorang kakak yang sepanjang hidupnya ingin membuktikan bahawa adiknya tidak bersalah. Di pagi itu saya menghadiah sebuah doa kepada roh Derek agar tiada ada lagi sesiapa pun yang akan di gantung.

Saya adalah insan yang telah melaporkan diri untuk menolak hukuman gantung.

Saya tidak mahu jadi tuhan.

Saya seorang manusia yang banyak melakukan kesilapan. Saya tidak memiliki kudrat untuk mengundi agar si anu hidup atau si anu mati. Saya merasa bahawa manusia tidak memiliki keupayaan untuk mengadili satu insan hingga melucutkan hayatnya.

Betul pembunuhan berlaku. Betul ada kecelakaan. Betul ada mayat yang bergelempangan. Semuanya dibukti betul. Tetapi saya tidak sanggup menjadi tuhan untuk melupuskan hayat sesiapa sahaja.

Apa yang berlalu sekiranya kita tersilap. Apa yang terjadi jika kita tersalah tangkap. Apa yang terjadi apabila kita tersalah temu bukti. Apakah kita dapat mengembalikan Derek kepada kakaknya? Tidak mungkin. Kita manusia yang tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan.

Hari ini China, Iran, Saudi Arabia, Pakistan, Amerika dan Iraq adalah diantara negara yang terus meneruskan mengamalkan hukuman mati.

Sebanyak 93 buah negara telah meghapuskan hukuman mati. Sebanyak 32 negara masih ada hukuman mati tetapi selama 10 tahun kebelakangan ini hukuman ini tidak dijalankan. Sebanyak 64 buah negara masih memiliki hukuman mati didalam perundangan negara.

Undang undang di dalam negara ini – kita sebagai warga yang membuatnya. Apa sahaja yang berlaku dalam negara ini kita sebagai warga adalah bertanggung jawab. Salah benar hukum hakam dalam negara ini kita sama sama bertanggung jawab. Kita tidak boleh melarikan diri dari tanggung jawab ini.

Tanyalah diri kita sendiri apakah kita telah melintasi nilai dendam dan benci sehingga kita sanggup mencabut nyawa. Apakah kita tidak dapat memenuhi nilai kemanusiaan kita untuk melihat bahawa nyawa itu amat berharga.

Saya menolak niat membalas dendam diatas satu satu kes pembunuhan. Saya rasa membalas dendam bukan nilai yang positif. Jika kita mengakui bahawa kita bertamadun maka marilah kita buktikan untuk menolak hukuman mati. Pastilah kita memiliki akaliah untuk mencari hukuman lain sebagai jawapan.

Saya tidak sanggup menjadi tuhan untuk mengundi siapa hidup dan siapa mati. Saya hanylah seorang manusia yang penuh dengan kesilapan.



Comments
Loading...