Jangan membuat permintaan yang bukan-bukan — Utusan Malaysia


(The Malaysian Insider) – APRIL 16:  Pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu kelmarin menyeru orang Melayu bangkit bersatu bagi menghadapi tuntutan kaum lain yang semakin keterlaluan.

Kita menyeru kepada bukan Melayu supaya jangan lagi membangkitkan dan mencabar ketuanan Melayu yang berkaitan dengan agama Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.

Dalam menjaga keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat majmuk, elok rasanya kita jangan mengungkit dan membuat permintaan yang bukan-bukan.

Terimalah apa yang telah diberikan. Mengapa masa kini perpaduan kaum dilihat kian longgar.

Jika kita kembali merenung lima tahun lalu, suasana perpaduan kaum kita dicemburui oleh negara-negara lain.

Tetapi kenapa sejak pilihan raya umum 2008, suasana tiba-tiba berubah.

Dengan pelantikan Perdana Menteri baru yang membawa bersamanya gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan, inilah masa untuk semua kaum bersatu membina negara kita mengharungi cabaran yang mendatang.

Alangkah baiknya jika kita ketepikan sengketa dan perbalahan atas nama politik.

Semua kaum harus sedar bahawa tunjang kestabilan negara ini ada di tangan orang Melayu.

Jika orang Melayu sendiri sudah berpecah kepada kumpulan-kumpulan yang memihak kepada parti politik tertentu dan yang tidak peduli apa pun yang berlaku, kestabilan negara boleh goyah.

Kesan perpecahan itu dapat kita lihat dan rasai sekarang.

Di samping itu, kaum bukan Melayu tidak sepatutnya mengambil kesempatan. Akibat perpaduan kaum tidak dijaga dan dipertahankan, ia turut menjejaskan kegiatan ekonomi dan hubungan masyarakat.

Para pemimpin yang mewakili masyarakat berbilang kaum patut menghentikan salah menyalah antara satu sama lain.

Sesungguhnya kedudukan orang Melayu dalam negara ini harus dihormati sebagaimana mereka banyak bertolak ansur dengan bukan Melayu.

Ambillah iktibar kekecohan politik negara Thai. Banyak kerugian ditanggung oleh kerajaan. Malah majoriti rakyatnya tidak menyokong tindakan yang merosakkan imej negara mereka.

Kita hanya ingin memperingatkan bahawa tindak-tanduk perpecahan di kalangan masyarakat majmuk sedang menjadi tontonan negara lain. Mereka sedang mengintai peluang untuk campur tangan jika kita terus lalai dan tidak bersatu.

Oleh itu, semua pemimpin politik dan masyarakat perlu membuat memikirkan masa depan anak cucu kita.

Bersatulah pertahankan perpaduan kaum yang telah kita bina lebih 52 tahun lalu. Jangan diulangi kesilapan lampau hingga kita dijajah lebih 400 tahun lamanya.

Segala kemajuan yang kita kecapi hari ini adalah atas dasar kerjasama dan perkongsian kuasa melalui kerajaan Barisan Nasional. Relakah kita melihat segala impian yang dibina hancur berkecai akibat perpecahan antara kaum.

Dalam konteks ini, tanamkan semula semangat perpaduan dengan didahulukan oleh parti-parti politik.



Comments
Loading...