Tidak Wajar Boikot Pilihan Raya Kecil


Orang Melayu yang ingin kembali menyokong Umno dan BN kerana bertambah yakin dengan kepemimpinan Umno dan negara sekarang akan kecewa dan hilang semangat.

A Kadir Jasin

WALAUPUN Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, “tidak ketepikan apa juga kemungkinan,” termasuk memulaukan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Penanti, Pulau Pinang, saya rasa adalah amat merugikan jika Barisan Nasional mengaku kalah sebelum bertarung.

Sekiranya BN memulaukan PRK itu atas apa jua alasan, ia adalah tindakan yang tidak demokratik, cetek fikiran dan merugikan pengundi.

Sebagai sebuah pertubuhan yang mendakwa sedang melakukan penambahbaikan dan restorasi, Umno wajib meyakinkan parti-parti komponen BN yang lain bahawa BN wajib bertanding di DUN Penanti.

Sikap menyerah kalah atau defeatist akan menyebabkan lebih ramai pengundi hilang keyakinan BN dan parti-parti komponennya. Umno dan BN perlu mempamerkan tahap keyakinan dan semangat juang yang tinggi.

BN mungkin tidak berjaya merampas semula kerusi itu daripada Parti Keadilan Rakyat tetapi ia masih mempunyai penyokong yang ramai yang pasti kecewa jika ia tidak bertanding.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohammad Fairus Khairuddin (PKR) mendapat 7,346 undi manakala Abdul Jalil Abdul Majid (BN) memperoleh 5,127 undi memberikan kelebihan 2,219 undi kepada Mohammad Fairus.

Lagipun, kalau betul analisis yang mengatakan semakin ramai pengundi Melayu di Bukit Gantang dan Bukit Selambau kembali menyokong BN pada PRK baru-baru ini, adalah sangat tidak bijak bagi BN memulaukan PRK Penanti.

Orang Melayu yang ingin kembali menyokong Umno dan BN kerana bertambah yakin dengan kepemimpinan Umno dan negara sekarang akan kecewa dan hilang semangat.

READ MORE HERE



Comments
Loading...