Sidang Dun Perak 7 Mei : Sivakumar guna kuasa speaker undang semua media buat liputan


(Suara Keadilan) : Speaker Dewan Undangan Negeri Perak mengeluarkan arahan membenarkan semua media membuat liputan sidang Dun yang dijangka berlangsung mulai 7 depan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini V. Sivakumar berkata mana-mana media yang telah dihalang untuk masuk Dun diminta untuk membuat permohonan bertulis di Pejabat Speaker, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Permohonan boleh dibuat mulai 9.00 pagi pada 4 Mei 2009.

Arahan beliau meliputi semua media cetak dan elektronik.

“Saya membuat ketetapan bahawa semua pihak media dibenarkan masuk untuk membuat liputan persidangan Dewan Negeri Perak pada 7 Mei 2009 ini,” tegas Sivakumar

“Semua media tidak terkecuali. Saya akan mengeluarkan surat kebenaran kepada media-media mengikut pertimbangan saya. Di sini, saya menggunakan Perintah-perintah 84 yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Negeri untuk mengeluarkan kebenaran am kepada wakil mana-mana jurnal menghadiri persidangan dewan,” jelas beliau lagi.

“Perintah-perintah tetap ini juga membolehkan Yang Dipertua Dewan untuk membatalkan kebenaran yang diberi. Arahan ini dikeluarkan untuk menjamin prinsip-prinsip demokrasi dan kebebasan media,” kata Sivakumar.

“Rakyat harus mengetahui apakah yang berlaku dalam persidangan secara telus. Tidak ada sebab untuk menghalang mana-mana media untuk membuat liputan. Rakyat berhak mengetahui segala gerak-geri wakil rakyat mereka di dalam Dewan Undangan Negeri,” tegas beliau.



Comments
Loading...