Bebas Manoharan: Najib takut hadapi ‘badi’ PRK


(Hrkh) – Naib Presiden dan Ketua Muslimat PAS Pusat sepakat mengatakan pembebasan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan di bawah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disebabkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak sanggup menghadapi 'badi' pilihan raya kecil.

Kata sepakat itu dicapai dalam sidang media bersama Mohamad Sabu dan Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, di Dewan Dato' Fadzil Noor, Taman Melewar, pagi tadi.

Menurut Mohamad, kerajaan BN tidak sanggup menghadapi kekalahan demi kekalahan dalam pilihan raya kecil sekiranya Manoharan meletakkan jawatan sebagai Adun Kota Shah Alam.

Manakala pembebasan 13 tahanan ISA itu tidak membuktikan bahawa kerajaan BN di bawah pentadbiran Najib lebih baik daripada Perdana Menteri sebelum ini.

Beliau berkata, sudah menjadi lumrah setiap kali pertukaran Perdana Menteri di peringkat awal pentadbiran mereka akan membebaskan tahanan ISA tetapi selepas itu operasi tangkapan beramai-ramai akan dilakukan.

Sementara itu, Nuridah menegaskan pembebasan Manoharan dan 13 tahanan lain itu sepatutnya telah dilakukan lebih awal atau bawa saja mereka ke muka pengadilan jika mereka benar-benar mengancam keselamatan negara.

Katanya, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) dan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) bersimpati dengan semua keluarga tahanan yang telah dibebaskan kerana mereka dibebaskan dengan bersyarat.

"Mereka masih dikenakan perintah 'tahanan dalam rumah' di bawah Restricted Residence Act (1933) di mana jika terdapat apa yang disifatkan sebagai pelanggaran syarat-syarat pembebasan, mereka menghadapi risiko ditahan semula bawah ISA.

Beliau turut kesal kerana ada lagi yang didakwa melakukan kesalahan sama sebagai Jemaah Islamiah (JI) dan itu adalah satu tindakan yang amat kejam.

Dalam pada itu, DMPP dan DMPWP mendesak kerajaan membebaskan segera tahanan Mat Shah Mohd Satray, Dr Abdullah Daud dan Shamsuddin Sulaiman yang sudah 8 tahun merengkok di ISA.

"Kerajaan tidak ada alasan munasabah dan kepentingan moral untuk menahan mereka lebih lama serta menzalimi ahli keluarga mereka," tegasnya.

DMPP dan DMPWP akan bersama-sama dengan Gerak Mansuhkan ISA (GMI) bagi menggerakkan kempen pembebasan tahanan 8 tahun ISA dalam negeri mahupun luar negara.

Nuridah menyeru seluruh rakyat supaya prihatin dengan nasib keluarga tahanan ISA dan berharap muslimat dalam menentang kezaliman seterusnya menyokong kempen GMI.



Comments
Loading...