Tiada pilihan raya kecil, Mano kekal ADUN Kota Alam Shah


(mStar Online) – Tiada pilihan raya kecil! Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan dari DAP telah memutuskan untuk tidak mengosongkan kerusi tersebut ekoran pembebasan beliau daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini.

"Saya akan memberikan khidmat terbaik di kawasan saya dan memastikan mereka mendapat yang terbaik daripada saya.

"Mereka telah hilang 14 bulan perkhidmatan saya dan kehadiran saya di DUN Selangor," kata beliau ketika ditemui di rumahnya di Bandar Kinrara di sini sebentar tadi.

Manoharan, salah seorang daripada baki tiga pemimpin Hindraf yang dibebaskan hari ini, tiba di rumahnya kira-kira 7 petang tadi dengan terus dipeluk oleh tiga anaknya sebaik sahaja beliau keluar dari kereta polis yang membawanya dari Pusat Tahanan Perlindungan Kamunting.

Beliau dibawa keluar dari Kamunting kira-kira 2.30 petang tadi.

Peguam itu memberitahu, beliau sememangnya telah berhasrat untuk meletakkan jawatan sebagai ADUN sebelum ini kerana rasa bersalah terhadap penduduk kerusi Kota Alam Shah.

Malah katanya, beliau telah pun menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada 24 April lalu menyatakan hasrat tersebut.

"Bagaimanapun saya tidak pasti macam mana perkara itu boleh bocor.

"Saya bercadang untuk mengumumkan perkara itu pada 19 Mei ini melalui Karpal Singh (Pengerusi DAP) kerana beliau akan berjumpa dengan saya pada hari itu.

"Tetapi memandangkan ia telah tersebar lebih awal, saya terpaksa menjawabnya," katanya lagi.

Ketika ketiadaan beliau, khidmat sebagai ADUN diuruskan oleh isterinya, S. Pushpaneela.

Manoharan berpendapat bahawa hasrat untuk mengosongkan jawatannya itu telah mempercepatkan pembebasannya kerana BN kemungkinan tidak mahu kepada satu lagi pilihan raya kecil.

Sambil menyifatkan pembebasannya sebagai hadiah sempena Hari Ibu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi Kota Alam Shah kerana bersabar menunggu 'kemunculannya'.

Ditanya sama ada beliau berterima kasih kepada kerajaan ekoran keputusan membebaskannya, Manoharan hanya mengelengkan kepala sambil berkata, "saya berterima kasih kepada kuasa rakyat."

"Saya rasa kerajaan belajar dan menghormati kuasa rakyat yang menyebabkan saya dibebaskan.

"Kalau tidak saya tidak tahu bila saya akan dibebas," katanya lagi.

Terdahulu pagi tadi, Pushpaneela ketika dihubungi mStar Online berkata, beliau akan meminta Manoharan supaya tidak mengosongkan kerusi DUN Kota Alam Shah, sebaliknya terus berkhidmat kepada pengundi-pengundi di bahagiannya.

"Harapan saya ialah beliau tidak akan melepaskan jawatan ADUN," kata beliau.

"Manoharan harus kekal untuk berkhidmat kepada pengundinya yang telah mengundi tanpa melihat muka beliau (kerana ditahan di Kamunting)," kata beliau.

Pushpaneela berkata, beliau akan menyampaikan hasrat itu sebaik sahaja Manoharan dibebaskan nanti.

Bagaimanapun beliau tidak tahu Manoharan akan dibenarkan pulang ke rumahnya.

Beliau dijangka keluar dari Pusat Tahanan Perlindungan Kamunting selewat-lewatnya Isnin ini.

Pushpaneela memberitahu, beliau tidak akan ke Kamunting sebaliknya hanya akan menunggu suaminya pulang di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong.

Minggu lalu, Pushpaneela selepas melawat Manoharan di Kamunting memberitahu bahawa suaminya sedang memikirkan dengan serius untuk mengosongkan kerusi DUN kerana tidak dapat memberikan khidmat dengan berkesan kepada pengundi-pengundinya.

Manoharan yang juga seorang pemimpin Hindraf akan dibebaskan bersama dua lagi pemimpin kumpulan haram itu, P. Uthayakumar dan K. Vasantha, dan 10 yang lain dalam tempoh terdekat ini seperti yang diumumkan hari ini oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Kota Alam Shah yang terletak di Selangor dimenangi oleh Manoharan dengan majoriti 7,184 undi.

Manoharan, seorang peguam, memperoleh 12, 699 undi manakala Ching Su Chen calon BN-Gerakan mendapat 5,515 undi.

Walaupun dalam tahanan ISA, Manoharan bertanding dalam pilihan raya umum dan menang kerusi tersebut.

Beliau antara satu-satunya tahanan ISA yang bertanding dan memenangi pilihan raya umum 2008.

Beliau ditahan di bawah ISA sejak Disember 2007.



Comments
Loading...