Antara dosa dan jenayah


Di Malaysia, saya masih menunaikan ibadat saya sebagai orang Islam, tapi kerapkali saya rasa menyampah kerana seolah-olah saya dan umat Islam yang lain sering "diperhatikan" oleh golongan tertentu. Saya merasa seperti kalau saya meninggalkan puasa, saya terpaksa menjawab kepada golongan ini dulu dan bukannya Allah. Bukankah ini tidak masuk akal?

By Shanon Shah (The Nut Graph)

KESIAN Ako Mustapha. Tanggal 22 April 2009 lalu, pelakon terkenal tersebut dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda maksimum RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur atas tuduhan berkhalwat. Menurut hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad, "Sekiranya satu hukuman yang tidak setimpal atau hukuman dikurangkan, masyarakat akan menganggap kesalahan ini sebagai remeh dan mungkin akan menjadi ikutan."


Ako Mustapha (Sumber: sinema-
malaysia.com.my)
Wan Mahyuddin juga berkata, "Tertuduh sebagai orang Islam sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat sama ada dalam lakonan atau luar lakonan supaya tidak mendatangkan fitnah kepada kesucian Islam."

Saya bersetuju bahawa agama Islam menyaran umat manusia supaya menonjolkan contoh yang baik, justeru penganut agama Islam perlu menjaga kesucian ini. Malah, bukankah ini benar tentang penganut mana-mana agama yang mulia di dunia ini? Bukankah ia benar tentang mereka yang tidak beragama, yang mungkin berpandukan falsafah Zaman Pencerahan di Eropah?

Namun, saya merasa tidak senang dengan logik yang menekankan pelbagai bentuk hukuman jenayah untuk dosa-dosa peribadi. Bagi saya, Ako sendiri sudah mengaku melakukan kesalahan berkhalwat. Dan sebagai seorang Muslim saya menghormati penginsafan ini. Baguslah kalau Ako sudah bertaubat. Saya tidak perlu menjaga tepi kain Ako. Apa yang dia buat itu antara dia dengan Allah, dan antara dia dengan si wanita yang terlibat dan dengan isterinya sendiri.

Kalau di Malaysia, orang Islam yang berfikiran seperti ini memang akan kena kecam teruk-teruk. "Jangan cabar kesucian Islam!" "Betulkah anda ini orang Islam?" "Pergilah bertaubat cepat-cepat!" "Cis, Islam liberal! Apa agenda anda?"

Alhamdulillah, saya memang berbesar hati apabila menerima teguran yang ikhlas daripada mereka yang lebih arif dalam isu keimanan dan Islam. Tetapi, saya mendapati ada perbezaan yang besar antara teguran ikhlas dan membina, dan "teguran" yang berbau ugutan.


Dzulkefly Ahmad
"Kebebasan untuk berdosa"?

Alangkah terkejutnya saya apabila bertemu dengan orang Islam dari negara Islam yang lain. Contohnya, baru-baru ini, saya sempat menghadiri seminar yang menampilkan Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, dan penulis Turki beragama Islam, Mustafa Akyol.

Saya sudah lama menghormati dan tertarik dengan wacana yang dibawa oleh Dr Dzulkefly, tetapi Akyol memang membawa pendirian yang jarang kita dengar di Malaysia. Antara hujahnya ialah, "Kita perlu pisahkan antara dosa peribadi dan jenayah."

Menurutnya, di dalam masyarakat Islam sekalipun, penganut Islam perlu diberikan "kebebasan untuk berdosa". Katanya, bila umat Islam ada "kebebasan untuk berdosa", mereka juga akan menikmati "kebebasan untuk bertaubat". Barulah keimanan dan proses taubat seseorang insan itu akan membawa makna yang mendalam.

Akyol memberi satu contoh yang menarik dengan memetik satu kajian yang membandingkan amalan kaum Muslim di Turki dan juga kaum Muslim di negara jirannya, Iran. Ramai yang tahu bahawa Turki merupakan republik sekular yang diterajui oleh parti Islam moderat, manakala Iran merupakan republik Islam yang mempunyai struktur kepimpinan ulama.

"Di Iran, mereka yang berdekatan dengan sempadan Turki akan cuba menyeludup masuk pada hujung minggu — wanita membuka tudung mereka, lelaki cuba meminum arak dan sebagainya," kata Akyol.

Namun menurut Akyol, kadar penganut Islam yang mengerjakan ibadat puasa pada bulan Ramadan di Turki jauh lebih tinggi daripada mereka yang betul-betul berpuasa di Iran.

"Di Iran, ramai yang cuba menunjukkan bahawa mereka berpuasa di khalayak ramai, tetapi dalam sembunyi mengecam mullah-mullah, manakala di Turki, orang Islam amat bersemangat menjalankan ibadat puasa atas kesedaran mereka sendiri," kata Akyol.

Aneh, bukan? Negara yang tidak mengamalkan sebarang undang-undang untuk menghukum mereka yang tidak berpuasa sebenarnya memperlihatkan populasi yang lebih komited terhadap ibadat tersebut.

Read more at: http://www.thenutgraph.com/antara-dosa-dan-jenayaha



Comments
Loading...